Ahad, 18 Mei 2014

Persatuan Seni Kreatif Sabah KYS di Pelancaran Sambutan Hari Belia Negeri Sabah 2014

Musa Aman Ingati Belia Jangan Terikut-ikut Golongan Bawa Porak-Peranda


Belia hindari golongan bawa porak-peranda - Musa
RANAU, 17 Mei -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan golongan belia supaya menghindarkan diri serta tidak terikut-ikut dengan tindak-tanduk golongan tidak bertanggungjawab yang cuba memporak-perandakan masyarakat kerana ia membawa natijah tidak baik kepada semua pihak.

Beliau sebaliknya mengajak golongan belia yang mewakili 41 peratus daripada keseluruhan penduduk Sabah supaya terus menyokong dan bersama-sama dengan kerajaan bagi menjayakan pelbagai program dan aktiviti yang diperkenalkan untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat khususnya para belia.

"Kita mahukan keaamanan, makmur dan hidup sentosa. Kita ingin melihat rakyat terus hidup tenteram tanpa rasa takut. Inilah harapan kerajaan dan ibu bapa," katanya ketika merasmikan pelancaran sambutan Hari Belia peringkat negeri di Kompleks Sukan Ranau di sini Sabtu.


Beliau turut merasmikan pembukaan kompleks tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin.

Menurutnya, kerajaan amat memahami hasrat serta aspirasi golongan belia dan akan terus berusaha memberi ruang kondusif dan peluang kepada kumpulan berkenaan untuk memajukan diri berdasarkan kencenderungan masing-masing dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi memudahkan mereka mengambil bahagian.


Musa berkata komitmen tinggi kerajaan untuk membangunkan potensi belia yang merupakan pelapis kepimpinan negara masa depan, termasuk menyediakan peruntukan besar yang meningkat setiap tahun kepada pelbagai kementerian dan agensi bagi menjayakan pelbagai program seperti kemahiran dan keusahawanan untuk belia.

Beliau berkata pada masa lalu, peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah cuma sekitar RM10 juta namun bagi tahun 2014, kerajaan memperuntukkan hampir RM100 juta atas kesedaran mengenai pentingnya peranan belia dalam pembangunan negara.


Sebahagian peserta penerima Anugerah Hari Belia 2014 Sabah
Mengenai kompleks sukan tersebut yang dibina sejak 2007 melalui tiga fasa dengan kos keseluruhan RM37 juta, katanya kerajaan sanggup berbelanja besar untuk membangunkan kompleks berkenaan sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap kehendak dan keperluan belia.

Musa turut menyampaikan anugerah kepada individu dan persatuan yang telah berjaya serta banyak berjasa dan menyumbang kepada pembangunan belia dan masyarakat dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang keusahawanan, kerja kesukarelaan dan kewartawanan.

Persatuan Seni Kreatif Sabah KYS dan peserta pertunjukan motor bike turut serta memeriahkan sambutan
Sementara itu Tawfiq berkata sambutan Hari Belia Negeri Sabah tahun ini yang bertemakan 'Dari Belia Untuk Belia' membawa kelainan apabila sambutannya tidak lagi tertumpu di kawasan bandar utama sahaja sebaliknya turut disambut di daerah kecil di kawasan pedalaman. Katanya selain di Ranau, sambutan akan turut diadakan di Kudat, Tawau, Beaufort, Papar, Keningau, dan Sandakan.