Khamis, 8 Disember 2016

Kerajaan Negeri akan perluas Program Kampung Sejahtera

Musa ketika berucap merasmikan MESEJ Ternakan Burung Walid dan Pusat Keusahawanan Desa.

9/11/2016

Kudat : Kerajaan Negeri akan memperluas Program Kampung Sejahtera (PKS) dengan tumpuan khusus kepada kampung mundur dengan pendekatan lebih holistik.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, berdasarkan sambutan positif rakyat, Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 akan terus memperuntukan kewangan bagi melaksana semua projek di bawah PKS.

"Sejak 2014, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terdapat 31 buah kampung telah dilibatkan dalam PKS."

Musa menyampaikan replika kunci Bengkel Gerai Keusahawanan Desa.


"Bagi tahun 2017, sebanyak 20 buah kampung lagi dirancang untuk dilibatkan di bawah program berkenaan."

Salah satu pendekatan peningkatan pendapatan golongan sasar di luar bandar adalah melalui aktiviti keusahawanan," ujarnya.

Jelas Musa, matlamat akhir PKS adalah untuk mentransformasikan kampung-kampung mundur melibatkan tiga aspek utama iaitu pembangunan modal insan, kemajuan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup.

"Kita yakin pelaksanaan program pembasmian kemiskinan yang efektif akan berupaya mengurangkan lagi insiden kemiskinan tegar di negeri ini.

Musa melawat bengkel kraf batik, pembuatan coklat, pemprosesan hasilan laut serta pembuatan kek dan bakeri.

"Apa yang penting, rakyat dan para peserta ini perlu ada keazaman dan semangat untuk berusaha bagi merubah keadaan menjadi lebih baik," katanya ketika berucap merasmikan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Ternakan Burung Walid dan Pusat Keusahawanan (PKD) Kampung Perpaduan Ria di sini.

Terdapat empat bangunan telah siap dan akan beroperasi sepenuhnya untuk menempatkan para usahawan dalam bidang IKS seperti pemprosesan kraf batik, pembuatan coklat, pemprosesan hasilan laut serta pembuatan kek dan bakeri.

PKD

Rabu, 17 Ogos 2016

Pewartaan Taman Marin Tun Mustapha beri impak besar

AHAD, 24 JULAI 2016
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman merasmikan Festival Kudat 2016 dan Pelancaran Taman Tun Mustapha
KUDAT: Pewartaan Taman Tun Mustapha sebagai kawasan perlindungan marin terbesar di rantau ini, diharap berupaya memberi impak besar kepada Sabah daripada aspek industri pelancongan dan akuakultur, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. 

Beliau berkata kejayaan pewartaan taman itu, meliputi kawasan perairan seluas 898,762.76 hektar melibatkan tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas, bukan sahaja membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara alam sekitar Sabah, bahkan terjemahan kesungguhan dalam memajukan sosioekonomi rakyat.

Sehubungan itu, Musa berharap pengurusan mapan biodiversiti marin di perairan Sabah terutama di Kudat, Pitas dan Kota Marudu akan dapat diwujudkan menerusi pewartaan itu dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Tabung Alam Sedunia (WWF), Jabatan Perikanan Sabah, Persatuan Nelayan dan masyarakat setempat.

"Dengan pewartaan ini juga, sudah pasti komitmen Malaysia dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu (CBD-UNEP), untuk melindungi sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kawasan pesisir pantai dan marin sebelum tahun 2020 akan tercapai," katanya merasmikan Festival Kudat 2016 dan Pelancaran Taman Tun Mustapha, di sini, hari ini. 

Taman Tun Mustapha yang diisytiharkan sebagai taman marin di bawah Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 (pindaan 2007) pada 19 Mei lepas adalah taman kesembilan dalam pengurusan Taman-Taman Sabah. 

Ia adalah taman marin terbesar di Sabah sekali gus di Malaysia. 

Usaha pewartaan sudah bermula sejak 2003 apabila kerajaan negeri meluluskan cadangan mewartakan taman itu sebagai kawasan yang dilindungi dan diurus secara lebih sistematik.

Musa berkata ini adalah satu lagi kebanggaan buat seluruh rakyat Sabah khususnya di kawasan terbabit dan berharap keseimbangan biodiversiti dan sosioekonomi boleh dicapai dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Wilayah Utara Negeri Sabah yang memberi fokus kepada sektor pelancongan. 

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata pewartaan berkenaan adalah satu kejayaan dan sejarah baharu untuk Sabah dan sekali gus amanah besar diberikan kepada kementeriannya bagi memastikan kelestarian taman marin berkenaan dilakukan dengan lebih cekap. 

Beliau berkata matlamat dan harapan penubuhan taman itu adalah untuk memulihara kepelbagaian hidupan marin serta pesisir pantai, dan dalam masa sama menambah baik industri perikanan agar lebih mapan bagi faedah komuniti setempat termasuk membuka lebih banyak peluang industri pelancongan di Sabah. 

"Sabah mementingkan pemuliharaan, kami mahu memastikan terdapat keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pemuliharaan. Kami mahu melabur demi untuk generasi akan datang di Sabah," katanya.



Suterabayu

Isnin, 23 Mac 2015

15,000 Warga Kudat Meriahkan Program 'Kalau Dah Jodoh' Bersama Ustaz Kazim Elias

Kehadiran Ustaz Kazim Elias tarik perhatian lebih 15,000 pengunjung


KUDAT: Program KALAU DAH JODOH bersama Ustaz Mohd Kazim Elias yang diadakan di Pusat Sukan Daerah Kudat baru-baru ini mencatat kehadiran yang memberansangkan apabila dianggarkan hampir 15,000 umat islam datang untuk memeriahkan program yang disiarkan di ASTRO OASIS ini.


Sapdin Ibrahim


Tahniah kepada Badan Dakwah Daerah Kudat khususnya kepada Tuan Sapdin Ibrahim, Pegawai Daerah Kudat yang juga merupakan Pengerusi Badan Dakwah daerah Kudat serta semua Ajk badan dakwah yang turut menjayakannya.

Ustaz Kazim bersama pemimpin dan ribuan warga Kudat

Program Kalau dah Jodoh adalah sebuah program yang membincangkan perihal kekeluargaan terbitan ASTRO dan dikelolakan oleh Ustaz Kazim Elias ini turut dihadiri pemimpin tempatan termasuklah ADUN PITAS, Datuk Bolkiah Hj Ismail dan ADUN Banggi Datuk Abdul Mijul Bin Unaini serta pemimpin-pemimpin masyarakat.


Kredit Foto JEFF KATIK-KATIK.

Khamis, 29 Januari 2015

Cadangan akta baharu merotan anak jadi kesalahan jenayah dibantah.

KOTA KINABALU: Awal minggu ini sahaja, masyarakat dikejutkan dengan kenyataan daripada seorang menteri yanag mengatakan merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2011 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, selewat-lewatnya Julai depan diluluskan.

Perkara yang menjadi perdebatan dan mengundang pelbagai reaksi kebanyakan golongan ibu bapa di negeri ini, yang mana rata-rata daripadanya membantahakan keputusan itu.

Mohd Razeet
Bagi seorang pegawai eksekutif, Mohd Razeet Rasmat, 28, untuk membimbing anak beristiqamah pada jalan benar, mengajar untuk memberi pengajaran dan pengalaman selain menepati kehendak agama tidak hanya terletak pada kaedah merotan dan memukul sahaja, sebaliknya ibu bapa seharusnya mampu mempelbagaikan teknik khususnya teknik dorongan dalaman.

" Mendidik anak perlu menggunakan kepelbagaian teknik yang berterusan contohnya dengan memberikan pemahaman jelas, tepat, pengajaran dan peringatan supaya akidah anak bertapak kukuh dalam jiwa mereka, " katanya.

Seorang usahawan juga ayah kepada dua cahaya mata, Sher Ali Khan Shah Nazar 28, berkata, hukman rotan adalah cara yang efektif untuk menanamkan sikap disiplin di dalam diri anak, lebih-lebih lagi bagi mereka yang degil dan sering melakukan kesalahan sama berulang-ulang kali.

"Oleh itu, dengan mengenakan hukuman rotan, anak-anak ini akan dipupuk dengan sikap disiplin di dalam diri mereka dan mereka tidak akan melakukan perbuatan yang melanggar peraturan sekolah.

"Tetapi cadangan untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang adalah tidak patut sama sekali kerana merotan adalah salah satu cara mendidik anak-anak," katanya.



SUMBER




Ahad, 23 November 2014

Pasukan bola tampar Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu akhiri kemarau 11 tahun emas

MERAIHKAN KEMENANGAN emas dan perak pasukan bola tampar lelaki dan wanita Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Selepas 11 tahun penantian, pasukan bola tampar lelaki Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu akhirnya merampas kejuaran bola tampar lelaki di Pesta Sukan Antara Wilayah Yayasan Sabah PESAWI ke-12 yang selama ini didominasi oleh pasukan daripada pantai timur seperti Tawau dan Lahad Datu.

Pengurus pasukan bola tampar lelaki Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu, Encik Abidin Mohd. Alam berkata, para pemain menonjolkan aksi terbaik mereka sepanjang kejohanan ini apabila memenangi kesemua perlawanan di peringkat kumpulan sehingga ke perlawanan akhir.
“Saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemain dalam usaha merampas kejuaraan pada kali ini yang juga banyak didorong oleh kesungguhan juru latih yang berpengalaman iaitu Encik Mohd. Idris Mohd. Shafi,” ujar beliau.
Idris (tengah) juru latih pasukan bola tampar lelaki dan wanita Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu. 
Dalam kejohanan pada kali ini pasukan bola tampar lelaki membenam cabaran pasukan bola tampar Tawau pada penentuan juara kumpulan seterusnya menjadi juara keseluruhan dalam perlawanan yang sengit sehingga membawa ke set penentuan. 
Sementara itu pasukan wanita juga tidak kurang hebatnya selepas berhempas pulas menentang cabaran pasukan Tawau dan akhirnya tunduk di set penentuan dan mendapat tempat ke dua dalam kejohanan tersebut.
Antara aksi perlawanan yang sempat dirakam
Juru latih pasukan Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu En. Idris Mohd. Shafi berkata, kejayaan pasukan ini bukan sahaja didorong oleh latihan dan disiplin yang konsisten dalam pasukan tapi semangat berpasukan dan kepercayaan antara pemain juga merupakan kunci utama kemenangan pada kali ini.

Sumber

Kegiatan sukan mampu tingkatkan kerjasama - SAPAWI


SAPAWI diperhatikan oleh Pengurus Kumpulan Kanan Sumber Manusia dan Perkhidmatan Koperat Kumpulan Yayasan Sabah Rosmawati Lasuki menyampaikan piala kepada ketua kontinjen Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu Dr. Karim Samsuri yang menjuarai kejohanan PESAWI ke-12
KOTA KINABALU: Kegiatan sukan mampu meningkatkan dan mengukuhkan semangat kerjasama yang sedia ada. Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata, sukan tidak hanya ditumpukan untuk mencapai kemenangan semata-mata tetapi ia juga perlu dilihat ke arah skop yang lebih luas.

''Jadikan sukan sebagai salah satu pentas untuk kita memperkukuhkan dan meningkatkan semangat kerjasama dan semangat kerja berpasukan.'' katanya pada majlis penutupan Pesta Sukan Antara Wilayah Kumpulan Yayasan Sabah di Kompleks Sukan Tun Adnan Yayasan Sabah di sini kemarin.

Beliau berkata, perbezaan jabatan dan anak syarikat tidak harus menjadi penghalang ke arah mewujudkan semangat kerjasama dan semangat kerja berpasukan.

Sama ada sebagai staf Yayasan Sabah atau Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) atau anak syarikat, katanya, semangat seumpama itu perlu diwujudkan dalam usaha menjadikan pemangkin kecemerlangan dalam kumpulan Yayasan Sabah.

KONTINJEN Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu merakamkan kenangan sejurus diumumkan menjuarai kejohanan tersebut.
Sehubungan dengan itu Sapawi memberitahu mereka yang gagal mencatatkan kemenangan dalam sukan itu tidak harus merasa kecewa sebaliknya terus memberikan sokongan semangat kepada mereka yang berjaya.

Katanya mereka yang berjaya dan akan mewakili Kumpulan Yayasan Sabah ke peringkat kebangsaan pula hendaklah terus berusaha meningkatkan prestasi masing-masing.

''Tiada sebab untuk kita merasa kecewa sebaliknya kita bertindak sebagai pemberi semangat kepada mereka yang berjaya pula hendaklah terus berusaha,'' katanya lagi.


Sumber

Selasa, 23 September 2014

KUDAT BAKAL JADI LOKASI AGRO PELANCONGAN UTAMA SABAH

 Yang Berhormat Datuk Radin Malleh mendengar Taklimat Pembangunan Daerah Kudat oleh Pegawai Daerah Kudat
KUDAT- Terkenal dengan industri perikanan dan pelanconganya Kudat kini mengorak langkah dengan perancangan dan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dalam menjadikan Kudat sebagai sebuah kawasan yang produktif, maju dan menarik serta menguntungkan.
 Yang Berhormat Datuk Radin Malleh
Menyentuh mengenai pembangunan daerah Kudat, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Yang Berhormat Datuk Radin Malleh berpuas hati dengan perancangan dan pelaksanaan pembangunan dan kemajuan yang sedang rancak berjalan khususnya di daerah Kudat ini. 

Hakikatnya, Daerah Kudat telah banyak memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan dan kemajuan negeri, Daerah ini juga berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu lokasi pelancongan utama negara berikutan keunikan tersendiri yang dimiliki selain terletak di daratan paling hujung dalam peta kepulauan Borneo, Katanya selepas melakukan lawatan kerja sehari ke Daerah Kudat.

Pada masa yang sama juga beliau turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi kawasan Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kampung Perpaduan Ria Kudat yang juga menempatkan 13 buah projek pembangunan seperti kawasan komersial, kawasan perumahan awam, kawasan perumahan PPR, MESEJ (Burung Walit), kawasan taman awam, sekolah menengah ugama, sekolah menengah, sekolah kebangsaan, MESEJ (Akuakultur), loji rawatan kumbahan, balai polis, tanah perkuburan dan kawasan IKS.
Radin menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kampung Perpaduan Ria Kudat 

Pegawai Daerah Kudat Encik Sapdin Ibrahim berkata, 'Kita sedar bahawa dalam merealisasikan dan mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi dan infrastuktur daerah Kudat, perusahaan IKS memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memberikan sumbangan signifikan kepada peningkatan sosio-ekonomi rakyat dari segi penyediaan peluang pekerjaan, perniagaan, menjana pendapatan dan melahirkan ramai usahawan berjaya khususnya di daerah Kudat ini'.


Suterabayu