Rabu, 17 Ogos 2016

Pewartaan Taman Marin Tun Mustapha beri impak besar

AHAD, 24 JULAI 2016
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman merasmikan Festival Kudat 2016 dan Pelancaran Taman Tun Mustapha
KUDAT: Pewartaan Taman Tun Mustapha sebagai kawasan perlindungan marin terbesar di rantau ini, diharap berupaya memberi impak besar kepada Sabah daripada aspek industri pelancongan dan akuakultur, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. 

Beliau berkata kejayaan pewartaan taman itu, meliputi kawasan perairan seluas 898,762.76 hektar melibatkan tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas, bukan sahaja membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara alam sekitar Sabah, bahkan terjemahan kesungguhan dalam memajukan sosioekonomi rakyat.

Sehubungan itu, Musa berharap pengurusan mapan biodiversiti marin di perairan Sabah terutama di Kudat, Pitas dan Kota Marudu akan dapat diwujudkan menerusi pewartaan itu dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Tabung Alam Sedunia (WWF), Jabatan Perikanan Sabah, Persatuan Nelayan dan masyarakat setempat.

"Dengan pewartaan ini juga, sudah pasti komitmen Malaysia dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu (CBD-UNEP), untuk melindungi sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kawasan pesisir pantai dan marin sebelum tahun 2020 akan tercapai," katanya merasmikan Festival Kudat 2016 dan Pelancaran Taman Tun Mustapha, di sini, hari ini. 

Taman Tun Mustapha yang diisytiharkan sebagai taman marin di bawah Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 (pindaan 2007) pada 19 Mei lepas adalah taman kesembilan dalam pengurusan Taman-Taman Sabah. 

Ia adalah taman marin terbesar di Sabah sekali gus di Malaysia. 

Usaha pewartaan sudah bermula sejak 2003 apabila kerajaan negeri meluluskan cadangan mewartakan taman itu sebagai kawasan yang dilindungi dan diurus secara lebih sistematik.

Musa berkata ini adalah satu lagi kebanggaan buat seluruh rakyat Sabah khususnya di kawasan terbabit dan berharap keseimbangan biodiversiti dan sosioekonomi boleh dicapai dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Wilayah Utara Negeri Sabah yang memberi fokus kepada sektor pelancongan. 

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata pewartaan berkenaan adalah satu kejayaan dan sejarah baharu untuk Sabah dan sekali gus amanah besar diberikan kepada kementeriannya bagi memastikan kelestarian taman marin berkenaan dilakukan dengan lebih cekap. 

Beliau berkata matlamat dan harapan penubuhan taman itu adalah untuk memulihara kepelbagaian hidupan marin serta pesisir pantai, dan dalam masa sama menambah baik industri perikanan agar lebih mapan bagi faedah komuniti setempat termasuk membuka lebih banyak peluang industri pelancongan di Sabah. 

"Sabah mementingkan pemuliharaan, kami mahu memastikan terdapat keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pemuliharaan. Kami mahu melabur demi untuk generasi akan datang di Sabah," katanya.



Suterabayu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan