Selasa, 29 April 2014

Persatuan Seni Kreatif Sabah sambut baik Promosi Kraf Malaysia 2014

KRAF CERMIN BUDAYA DAN SENI IDENTITI KEPADA SESUATU BANGSA

Julie Sabran
KOTA KINABALU: Selaras dengan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang kaya dengan budaya, penekanan yang lebih harus diberi kepada pembangunan budaya, seni dan warisan kepada generasi belia. 

Penekanan ini adalah selaras dengan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dalam membangun modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berdaya saing dari segi ekonomi, tetapi juga berketerampilan progresif dan bernilai murni termasuk nilai budaya positif. 

Industri berkaitan kebudayaan, kesenian dan warisan terutamanya kraf juga adalah digalakkan sebagai satu sumber pertumbuhan ekonomi kepada golongan belia. Kata Puan Julie Sabran EXCO Puteri UMNO Malaysia, Biro Kebudayaan & Warisan, Puteri UMNO Malaysia merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Beluran ketika dihubungi mengulas lebih lanjut lawatan Persatuan Seni Kreatif Sabah ke pejabat dan tapak pameran sempena Promosi Kraf Malaysia 2014 anjuran Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah baru-baru ini.




Menurutnya lagi selaku Penasihat kepada Persatuan Seni Kreatif Sabah, kesungguhan kerajaan untuk memastikan industri kraf negara terus unggul dan berkembang diterjemahkan melalui peruntukan yang besar untuk industri kraf, sehubungan dengan itu saya menggesa Persatuan Seni Kreatif Sabah supaya memainkan peranan penting bagi meningkatkan kesedaran dan minat terhadap perusahaan kraf tempatan di kalangan persatuan khususnya dan golongan belia bumiputera minoriti Sabah amnya dalam menggiat dan membangunkan produk kraf yang berkualiti dan berorientasikan pasaran serta memperluas saiz pasaran produk tempatan. Katanya.



Golongan belia hari ini harus menepis persepsi masyarakat yang beranggapan bahawa industri seni kreatif khususnya kraf bukanlah bidang kerjaya yang tidak menjamin pendapatan yang tetap. Kurangnya kesedaran terhadap kepentingan industri kreatif yang berkait rapat dengan industri pelancongan dalam kalangan masyarakat merupakan antara isu yang dihadapi oleh pengiat seni kreatif di negeri ini. Kata Abidin Mohd. Alam Pengerusi Persatuan Seni Kreatif Sabah.



Masyarakat sering memandang rendah kepada mereka yang terlibat dalam bidang ini. Malah, masyarakat beranggapan bahawa bidang ini tidak mempunyai nilai ekonomi dan komersial yang tinggi. Dengan adanya sokongan dan penggalakan daripada beberapa agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia adalah diharapkan belia hari ini lebih proaktif dalam memajukan sektor pelancongan menerusi industri kraf tempatan. Katanya lagi.


Persatuan Seni Kreatif Sabah.