Khamis, 29 Ogos 2013

Beluran: Lima termasuk tiga anggota polis trafik terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 53, Jalan Beluran-Telupid




Beluran: Lima termasuk tiga anggota polis trafik terbunuh, manakala empat lagi parah apabila sebuah kereta peronda polis bertembung dengan sebuah pikap dalam kemalangan ngeri di Kilometer 53, Jalan Beluran-Telupid, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, anggota daripada Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, Koperal Saudi Meting, Koperal Hedzrin Ginan dan Lans Koperal Khairul Firdaus Abraham meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di seluruh anggota badan.

Ketua Polis Daerah Beluran Deputi Superintendan V Shivanathan berkata, dua lagi mangsa yang terkorban penumpang pikap, Masiah Jailani, 47, serta adiknya, Layni Jailani, 45.

Menurutnya, mangsa yang parah seorang anggota polis trafik, Konstabel Zaini Mohd Radzuan dan tiga individu termasuk pemandu pikap terbabit yang belum dikenali identiti mereka. Semua mereka menerima rawatan di Hospital Beluran, di sini.

SUMBER

Rabu, 28 Ogos 2013

V.K Liew gagal tadbir LDP punca tewas PRU13?



SANDAKAN: Presiden Parti Liberal Demokratik, Datuk V.K.Liew berkata kekalahannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) padaPRU13 lalu bukan berpunca dari kegagalannya mengurus tabdir parti itu.


Sebaliknya menurut beliau, kekalahan itu adalah disebabkan jentera BN di kawasan berkenaan kurang berkesan dalam menterjemahkan kempen BN ketika mendekati rakyat serta sindrom politik semasa.


Beliau mendedahkan situasi itu ketika mengadakan perjumpaan dengan penyokong dan ahli-ahli LDP di pejabat parti berkenaan pada Ahad.



Oleh itu, dakwaan yang mengatakan beliau gagal mengurus tadbir parti itu adalah punca LDP kehilangan kerusi Parlimen Sandakan amat tidak tepat dan dakwaan itu mempunyai agenda tersirat yang sedang dirancangan pihak tertentu dalam parti.


“Pada PRU13 kita bergerak dalam satu pasukan iaitu BN tetapi inilah politik yang hakikatnya perlu diterima oleh rakyat terutamanya penyokong dan ahli LDP sendiri,” jelasnya.


“Oleh itu kita harus menerimanya secara terbuka dan dalam masa sama cuba jangan menimbulkan provokasi dalaman yang membahayakan parti sendiri dan menyumbang kepada keretakan perpaduan sesama ahli,” katanya.


V.K Liew percaya ada pihak tertentu dalam parti yang menjadi tangan ghaib yang berusaha menyingkirkan beliau dari pada jawatan presiden LDP.


Katanya, isu jawatan Presiden Parti yang sedang panas dibualkan dalam kalangan ahli dan pemerhati politik di negeri ini jelas menggambarkan LDP bergolak.


Beliau yang juga mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata tindakan setiausaha Agung LDP untuk mencabar beliau membuktikan adanya pelanggaran kepada keputusan mesyuarat yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi LDP sebelum itu.


Katanya,apa yang diputuskan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi LDP adalah proses peralihan kuasa secara berhemah dan berdisiplin yang mana ahli-ahli telah menyetujui bahawa ianya dilakukan secara muafakat yang kolektif.


“Itulah yang telah diputuskan, tidak seperti yang dikehendaki oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Teo Chee Kang yang berhasrat menjadi presiden LDP meskipun melanggar dasar parti,” kata Liew lagi.


Bagaimanapun, V.K Liew percaya keputusan Teo untuk mencabarnya ada unsur hasutan individu tertentu yang merupakan tangan ghaib dalam parti yang sudah dirancang sekian lama termasuk mencetuskan ketegangan antara LDP dengan komponen lain dalam BN.


Justeru itu, beliau mencabar kelompok itu supaya tampil dengan menyatakan pendirian masing-masing.


Berdasarkan laporan media, Teo kian mendapat sokongan bahagian-bahagian yang mahu beliau mencabar penyandang presiden ketika ini V.K.Liew termasuklah bahagian Lahad Datu.


Dalam perkembangan lain, ramai aktivis politik Cina di sini yang ditemui berpendapat bahawa walaupun Teo berjaya menjadi Presiden LDP, beliau tidak akan dapat membawa apa-apa perubahan kepada parti itu.

SUMBER

K'jaan sedia kaji beri elaun kepada anggota skim rondaan sukarela: Joseph Kurup




KOTA BAHARU: Kerajaan akan mengkaji kewajaran memberi elaun kepada anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara yang kini menjalankan tugas dengan baik, membantu mengurangkan jenayah dan isu sosial.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata setakat ini kerajaan memberi beberapa insentif kepada mereka seperti perlindungan insurans, jaket keselamatan dan alat komunikasi walkie-talkie.


“Kami sedar anggota SRS menjalankan tugas dengan cukup baik dalam menjaga keselamatan bersama pihak keselamatan lain. Atas kesedaran ini kerajaan akan mengkaji sama ada mereka perlu diberi elaun,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ketereh di sini, hari ini.




Kurup berkata SRS yang diperkenalkan dalam KRT dengan keanggotaan kira-kira 175,000 orang di seluruh negara setakat ini, melaksanakan tanggungjawab mereka berasaskan semangat kesukarelaan.


Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha dan memberi perhatian serius dalam soal perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya pelbagai program dan pendekatan sedang dan akan dilaksana bagi memastikan usaha itu dapat dilaksana dengan baik dan berkesan.


“Selaras dengan usaha tersebut adalah perlu bagi kita untuk mengekalkan semangat perpaduan serta persefahaman yang erat dalam kalangan anggota Rukun Tetangga dengan masyarakat setempat,” katanya.


Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-56 negara termasuk di kenderaan, rumah, bangunan pejabat dan premis perniagaan.

SUMBER

Isnin, 26 Ogos 2013

73 individu ditahan bersempena Ops Cantas



KOTA KINABALU: Seramai 73 individu yang dipercayai terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah ditahan sempena pelaksanaan Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) di negeri ini, menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.


Beliau berkata kesemua yang ditahan itu membabitkan 251 serbuan sepanjang tempoh sembilan hari operasi berkenaan dilakukan bermula 17 hingga 25 Ogos lalu di seluruh kontinjen polis negeri ini.


“Kita berjaya menahan seramai 73 individu setelah pemeriksaan terhadap 829 individu dilakukan pada tempoh berkenaan.


“Sementara itu, dalam operasi terbabit juga menyaksikan sebanyak lapan senjata berjaya dirampas daripada individu-individu yang ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan dekat sini kelmarin.


Hamza berkata, pihaknya akan terus komited dalam melaksanakan operasi terbabit dari masa ke semasa selaras dengan saranan daripada Ketua Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha membanteras jenayah di negara ini.

“Kontinjen Sabah akan terus berusaha membendung kegiatan jenayah dari masa ke semasa ditambah lagi dengan adanya Ops Cantas yang telah dilancarkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini,” katanya.


Untuk rekod, Ops Cantas terbabit akan meliputi meliputi sekatan jalan raya, pemeriksaan premis perniagaan dan kediaman serta mengesan bekas banduan yang pernah ditahan mengikut Akta Ordinan Darurat (EO) yang disyaki aktif semula dalam kegiatan jenayah.


Sementara di IPK kelmarin, turut berlangsung majlis penyerahan tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah membabitkan Datuk Tan Kok Liang dan Datuk Abdul Malek Harun yang disaksikan oleh Hamza dan ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua polis daerah di negeri ini.



Abdul Malek akan menyandang jawatan sebagai pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah sementara Tan akan menggantikan tugas beliau sebelum ini iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Makmal Forensik).


Kedua-dua mereka akan bertukar portfolio masing-masing berikutan Abdul Malek sebelum ini telah bertugas sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Bukit Aman.



Ketika ditemui, Abdul Malek berkata ini merupakan kali pertama beliau ditugaskan secara rasmi di negeri Sabah memandangkan sebelum itu telah menjawat jawatan terdahulu selama enam tahun.
“Saya telah bertugas di Bukit Aman selama enam tahun sejak 2007 dan turut berkesempatan bertugas di Sarawak sebelum ini.


“Dengan pelantikan ini, saya berharap dapat membantu Kontinjen Sabah dalam pelbagai pencapaian dari masa ke semasa,” katanya yang berasal dari Alor Gajah, Melaka itu.



by RUZAINI ZULKIFLIruzainiub@gmail.com.

Ketua Menteri Sabah mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Fitri Kolej Yayasan Sabah





Kota Kinabalu: Ketua Menteri SabahYAB Datuk Seri Musa Haji Aman hari ini mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kolej Yayasan Sabah yang telah diadakan di perkarangan bangunan Kolej Universiti Yayasan Sabah Kampus Bandaraya Sembulan.







Pada majlis ini, beliau juga yang merupakan Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkesempatan menyampaikan Derma Siswa Biasiswa Yayasan Sime Darby kepada pelajar yang cemerlang dalam keputusan akademik dan kualiti kepimpinan serta membantu mereka meneruskan pembelajaran di peringkat Vokasional., sijil diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.



Selain menikmati hidangan yang disediakan, majlis juga diserikan dengan persembahan hiburan dan tarian kebudayaan oleh Kumpulan Kebudayaan KYS dan juga Fashion Show daripada pelajar-pelajar Program Kraftangan KYS menggamatkan lagi suasana Majlis Rumah Terbuka Kolej Yayasan Sabah pada kali ini.


Turut hadir pada majlis ini Pengarah Yayasan Sabah YB Datuk Haji Sapawi Bin Haji Ahmad, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar YB Datuk Masidi Manjun serta beberapa Kenamaan yang lain.





 


Ahad, 25 Ogos 2013

Isteri maut ditikam suami

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ke atas mayat mangsa di rumah kongsi berhampiran 
tapak pembinaan di Kampung Ganang, Kepayan kelmarin.



KOTA KINABALU: Angkara terlalu cemburu, seorang lelaki warga asing menikam isterinya sendiri sehingga mati dalam satu kejadian di sebuah rumah kongsi berhampiran tapak pembinaan di Kampung Ganang, Kepayan, dekat sini, pagi kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Suria Amuk, 45, meninggal dunia di tempat kejadian, akibat kecederaan parah di bahagian badan selepas ditikam beberapa kali oleh suspek menggunakan senjata tajam dalam insiden sekitar jam 9.45 pagi berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran lokasi sedang berehat di tempat penginapan mereka, sebelum didatangi oleh suspek yang kemudian menengkingnya.

Difahamkan berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri terbabit. Suspek mendakwa isterinya berlaku curang serta menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketika pergaduhan itu, suspek dipercayai meluru ke dalam rumah dan mengambil sebilah pisau sebelum menikam mangsa beberapa kali sehingga mati Suspek kemudian menyerah diri kepada polis yang tiba sejurus kemudian di lokasi kejadian.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata sepasukan anggota digegaskan ke lokasi kejadian dan menahan suspek yang menyerah diri. Polis menerima maklumat berhubung kes itu sekitar jam 9.50 pagi.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan awal, kita mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badannya,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata pihaknya tidak menolak motif kejadian itu disebabkan cemburu kerana suspek dikatakan mendakwa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan individu lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Ejen PKR dakwa kertas undi dikira sekali sahaja

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya semalam diberitahu oleh seorang ejen mengundi PKR bagi kerusi Parlimen Kota Marudu, Ainin Akon bahawa ketua tempat mengundi di saluran mengundi tempat beliau bertugas membuat pengiraan undi sekali sahaja pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas.

Baginya kertas undi perlu dikira dua atau tiga kali, tetapi ketua tempat mengundi di saluran mengundi di Sekolah Kebangsaan Indaraon Laut, berkata tidak perlu.

“Saya ada membuat bantahan. (Tetapi) KTM (ketua tempat mengundi) berkata tidak payah kira (kertas undi) lagi kerana kotak undi akan dibawa ke Dewan Masyarakat Kota Marudu. Di sana akan kira lagi,” katanya.

Ainin memberi keterangan pada mahkamah itu yang mendengar petisyen pilihan raya terhadap kerusi Parlimen Kota Marudu pada PRU13.


Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak diberikan salinan Borang 14, yang merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan bilangan undi rosak.

“Saya sepatutnya diberikan salinan Borang 14. Tetapi KTM tidak menyerahkan salinan borang kepada saya dan KTM berkata telah diberi arahan oleh pegawai pengurus supaya tidak mengedarkan Borang 14 kepada sesiapa,” katanya.

Dalam petisyen itu, calon PKR Datuk Maijol Mahap menamakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya Lovita Koisun sebagai responden kedua dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 13 Ogos lepas, Hakim Datuk Yew Jen Kee memutuskan supaya dakwaan amalan rasuah terhadap Ongkili digugurkan daripada petisyen itu, tetapi Ongkili kekal sebagai responden kerana beliau merupakan pemenang kerusi berkenaan. — Bernama

Kerajaan berusaha tangani masalah, cabaran dihadapi rakyat Sabah


Tambah(Dari kiri) Abu Bakar, Mohd Irwan, Ahmad Husni, Teo dan Sukarti semasa perasmian
 Majlis Konsultasi Bajet 2014 Sabah di Shangrila Tg Aru Resort & Spa pada Khamis.

KOTA KINABALU: Menyedari cabaran yang dihadapi oleh rakyat negeri Sabah yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan akan berusaha menangani permasalah itu sewajarnya bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dan menyeluruh dapat dilaksanakan.

Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata melihat kepada permasalahan itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan isi rumah termasuk di Sabah.

“Antara program dan inisiatif yang dilaksanakan merangkumi program 1Azam, pemberian BR1M, penyeragaman harga, pemberian subsidi pengangkutan serta Kedai Rakyat 1Malaysia.

“Di samping itu, program Skim Latihan 1Malaysia serta usaha menaiktaraf institusi latihan yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran dan pendapatan belia di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena perasmian Majlis Konsultasi Bajet 2014 Sabah, di Shangri-La Tanjung Aru Resort & Spa, di sini kelmarin.

Ahmad Husni berkata, usaha-usaha yang dilaksanakan itu telah menyumbang ke arah pengurangan kadar kemiskinan isi rumah Sabah daripada 19.7 peratus pada tahun 2009 kepada 8.1 peratus pada tahun 2012.

Katanya, inisiatif yang dilaksanakan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha memakmur dan mensejahterakan rakyat secara menyeluruh. Ia bersesuaian dengan tema Majlis Konsultasi Bajet 2014 ‘Mengotakan Janji, Merancak Transformasi’.

Menyentuh mengenai sumbangan ekonomi Sabah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), beliau berkata Sabah telah menyumbang hampir enam peratus kepada keseluruhan KDNK negara, terutama melalui sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Di samping itu, pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) juga berjaya meyakinkan pelabur dan masyarakat peniaga terhadap prospek ekonomi Sabah.

Ahmad Husni berkata, dalam usaha untuk merealisasikan matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, kerajaan sentiasa memantau rapi perkembangan ekonomi global.

“Ia terbukti dengan prestasi ekonomi Malaysia yang mencatat momentum pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus bagi tempoh separuh tahun pertama 2013 walaupun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

“Keyakinan pelabur juga menunjukkan peningkatan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, di mana indeks Bursa Malaysia mencatat paras tertinggi sebanyak 1,810 mata pada 24 Julai lalu.

“Perkembangan yang menggalakkan ini berikutan pengurusan makroekonomi yang pragmatik dan asas ekonomi yang kukuh, persekitaran perniagaan yang kondusif serta aktiviti ekonomi yang pelbagai,” katanya.

Berkenaan pengurusan kewangan pula, Ahmad Husni berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk mengukuhkan kedudukan fiskal.

Untuk itu, semasa Majlis Konsultasi Bajet 2014 di Putrajaya baru-baru ini, Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Polisi Fiskal bagi mengurangkan defisit fiskal, mengukuhkan kedudukan kewangan dan memastikan kemapanan fiskal dalam jangka panjang.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan mensasarkan defisit sebanyak tiga peratus kepada KDNK pada tahun 2015 berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012 dan seterusnya empat peratus pada tahun ini.

Katanya, Bajet 2014 dijadual akan dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan di Parlimen pada 25 Oktober akan datang.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata majlis seumpama itu penting sebagai paltform untuk kerajaan khususnya Kementerian Kewangan berinteraksi dengan masyarakat peniaga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat mengenai langkah-langkah yang sesuai untuk diumumkan dalam Bajet 2014.

Beliau yakin melalui majlis seperti itu, idea baharu akan dikemukakan dan secara langsung, ia akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sabah dan Malaysia.

Turut hadir di majlis itu adalah Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan.



Jumaat, 23 Ogos 2013

Lawatan Timbalan Menteri Pendidikan ke Akademi Batik & Kraf Kolej Yayasan Sabah KYS

                                                                                                         

  23 Ogos 2013

Kota Kinabalu :  Timbalan Menteri Pendidikan YB Datuk Mary Yap Ken Jin hari ini telah meluangkan masa melawat Akademi Batik & Kraf Kolej Yayasan Sabah KYS dalam rangka lawatan kerja beliau ke negeri Sabah.


Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana negeri Sabah mempunyai kolej seumpama ini yang menekankan program-program pendidikan berbentuk latihan kemahiran teknikal seni kreatif sebagai salah satu 

bidang yang bakal melahirkan usahawan seni kreatif yang berjaya kelak. Beliau juga turut dibawa melawat di sekitar kawasan kolej yang menempatkan kelas, bengkel dan galeri yang terdapat di kolej tersebut.

                                      

Ketua Eksekutif  Dr. Dayang Aminah Ali memberi tahu, Akedemi Batik & Kraf KYS ini diwujudkan bagi melatih dan melahirkan pakar dalam seni kreatif khususnya dalam bidang batik dan kraf serta melahirkan modal insan yang berdaya saing dalam industri kraf negara.


Turut hadir dalam majlis tersebut Pengerusi Kolej Yayasan Sabah Datuk Kamal D.E Quadra, Pegawai-Pegawai Kementerian dan Yayasan Sabah serta Kakitangan Kolej Yayasan Sabah.


 


Sumber: Suterabayu274@yahoo.com

Rabu, 21 Ogos 2013

Kongsi kehebatan aksi #MetallicaKL malam ini

KUALA LUMPUR: Ramai yang tidak sabar dan teruja untuk menyaksikan konsert kumpulan Rock antarabangsa, Metallica yang akan berlangsung malam ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Peminat yang menghadiri konsert pada malam ini boleh sama-sama berkongsi aksi-aksi menarik dan kemeriahannya di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter dengan menggunakan hashtag #MetallicaKL.

Tiket-tiket sudah pun habis terjual walaupun tarikh konsert itu diadakan pada hari bekerja.

Ini merupakan kali pertama, Metallica mengadakan konsertnya di Malaysia dalam siri jelajahnya ke negara Asia.

Sebelum ini pelbagai tumpuan diberikan kepada Singapura, apabila Metallica mengumumkan bakal mengadakan konsert di sana.

Namun, Metallica membuat kejutan apabila memilih Malaysia terlebih dahulu daripada Singapura.

Metallica yang dianggotai oleh James Hetfields (penyanyi, gitaris), Lars Ulrich (dram), Kirk Hammett (gitaris) dan Rob Trujillo (basis) dikatakan telah membuat pengumuman rasmi mengenai tarikh konsert itu menerusi laman web mereka iaituwww.metallica.com.

Selepas berkunjung ke Kuala Lumpur, Metallica yang terkenal dengan album seperti Masters of Puppets, Ride The Lightning dan Justice For All, akan mengadakan konsert di Singapura pada 24 Ogos ini.

Berita mula diterbitkan pada: Ogos 21, 2013 13:30 (MYT)
Tag: Konsert Metallica, Metallica, Stadium Merdeka

SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI SK PERAPAT LAUT 2013 MERIAH!!

SAMBUTAN RAYA AIDIL FITRI SK PERAPAT LAUT 2013









Kudat-  Kg. Perapat Laut hari ini meriah dengan sambutan Hari Raya yang telah diadakan di Dataran SK Perapat Laut, pada 21. Ogos 2013 yang telah dianjurkan oleh Guru-Guru SK Perapat Laut bersama PIBG. Majlis ini diadakan bagi menikmati pelbagai juadah enak yang disediakan di samping dapat bertemu mesra mengeratkan silaturahim dan bermaaf-maafan diantara warga pendidik, PIBG dan penduduk kampung sempena Aidilfitri. Majlis sambutan Hari Raya ini turut diserikan dengan beberapa hiburan dan 'game show' yang telah disediakan oleh penganjur bagi memeriahkan suasana. Turut hadir Pemimpin-Pemimpin Masyarakat serta penduduk kampung.

Selasa, 20 Ogos 2013

PKR YANG BARU DILANTIK DIGESA TURUN PADANG KETAHUI MASALAH RAKYAT: MUSA


21st August, 2013
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta semua Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) yang baru dilantik di negeri ini supaya sentiasa “turun padang” untuk mengetahui masalah dan keperluan rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, ini penting kerana PKR adalah mata dan telinga kerajaan dan wakil rakyat.
“Jangan malas melawat kampung atau mendekati rakyat, kerana inilah antara punca rakyat peringkat akar umbi akan marah kalau kita tidak melawat kawasan masing- masing.
“Oleh itu adalah penting bagi semua PKR dan Wakil Rakyat sentiasa turun padang dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik seperti yang diharapkan oleh rakyat.
“Sekiranya kita tidak melawat di pelosok kampung, maka apa juga masalah yang timbul di kawasan itu, kita tidak akan tahu sehingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada seramai 48 orang PKR yang mengangkat sumpah pada Majlis Angkat Sumpah di Bilik Persidangan, Wisma Innoprise, di sini, kelmarin.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, menteri- menteri dan pembantu-pembantu menteri.
Musa berkata, pelantikan PKR bukan satu keistimewaan tapi satu tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh semua PKR yang baru dilantik.
Beliau juga berharap agar PKR dan wakil rakyat dapat mengeratkan hubungan baik bagi membolehkan mereka bekerjasama menyelesaikan masalah rakyat.
“Harus ada hubungan baik antara PKR dan wakil rakyat supaya apa sahaja masalah yang timbul di kawasan mereka dapat dibincangkan dan diselesaikan bersama,” katanya.
Katanya lagi, tanggungjawab dan peranan PKR juga penting untuk memastikan semua program, projek pembangunan dan dasar-dasar kerajaan dapat disalurkan dan memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Musa berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah diberikan mandat oleh rakyat kerana mereka percaya kerajaan BN dapat membawa perubahan dan membela nasib mereka.
Beliau juga berharap agar semua pemimpin termasuk PKR sentiasa berwaspada terhadap anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang cuba memfitnah kerajaan BN dan wakil rakyat yang mewakili kawasan masing-masing.
“Adalah menjadi tanggungjawab PKR untuk menepis segala fitnah agar rakyat tidak keliru dengan fakta-fakta yang diputarbelitkan.
“Kita sedar senario politik sudah berubah sejajar dengan perubahan dunia. Dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pelbagai saluran termasuk laman sosial digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan rakyat.
“Oleh itu saya meminta kepada semua PKR supaya tidak ketinggalan meningkatkan pengetahuan dalam ICT. Saya percaya semua PKR tahu menggunakannya untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya.











Isnin, 19 Ogos 2013

Jabatan Pelajaran Sabah digesa beri kuasa lebih

KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak menggesa Kementerian Pendidikan untuk memberikan kuasa lebih kepada Jabatan Pelajaran Sabah.
Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata usaha ini perlu untuk mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek dan program meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini, terutamanya di kawasan luar bandar yang mencapai keputusan kurang  memberangsangkan dalam peperiksaan pusat.
“Perwakilan kuasa perlulah disokong dengan dana mencukupi dan mengurangkan proses birokrasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran guru-guru di sini hari ini.
Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata banyak usaha pembangunan pendidikan di Sabah terjejas berikutan amalan kini yang gemar merujuk ke Putrajaya berkaitan perkara-perkara remeh.
“Banyak bangunan sekolah di negeri ini memerlukan usaha penambahbaikan dan projek pendidikan tidak dilaksanakan secara sistematik kerana amalan ini,” katanya sambil menambah, kuasa yang lebih kepada Jabatan Pelajaran Negeri adalah selari dengan transformasi bidang pendidikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kementerian Pendidikan sebelum ini telah bersetuju untuk mewakilkan kuasa kepada setiap Pengarah Pelajaran Negeri Sabah dan Sarawak bagi menguruskan pemberian projek pembangunan pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Konvensyen Tahunan ke-26, Parti Bersatu Sabah (PBS) di KDCA, Penampang dipetik sebagai berkata, ia adalah munasabah untuk mewakilkan kuasa itu, memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang besar dari segi jumlah mahupun saiz sekolah.
“Saya melihat kesesuaian dalam mewakilkan kuasa ini kepada Sabah dan Sarawak. Satu cara adalah mewakilkan kuasa itu kepada Pengarah Pelajaran negeri untuk melihat bagaimana sesetengah projek yang kita laksanakan di peringkat negeri boleh sama-sama diuruskan,” Muhyiddin dipetik sebagai berkata.
Dalam hal ini, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri berharap Kementerian Pendidikan dapat menyegerakan pelaksanaan perwakilan kuasa kepada Jabatan Pelajaran Sabah demi rakyat, negeri dan negara ini.
- BERNAMA

ADUN Kadamaian sertai PBRS?

Ada ahli PBRS mendakwa Uku sudah bertemu dengan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup
KOTA BELUD : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremy Uku Malajad, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikhabarkan akan menyertai Barisan Nasional (BN) melalui Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Khabar angin tersebut mula bertiup di pekan ini hari ini dan bertambah kencang sebab ada ahli PBRS di sini mendakwa Uku sudah bertemu dengan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Setakat ini PBRS hanya mempunyai seorang ADUN iaitu Datuk Ellron Angin dari Sook dan seorang anggota parlimen iaitu Kurup sendiri dari Pensiangan.
Menurut desas-desus di Kadamaian sekarang, Kurup dikatakan dijangka mengumumkan penyertaan Uku ke parti itu minggu depan.
Ketika dihubungi FMT petang ini mengenai desas-desus itu, Uku mengesahkan bahawa desas-desus itu hanyalah khabar angin buat masa ini.
“Belum ada. Itu khabar angin,” jawab Uku dalam teksnya bila ditanya ada khabar menyatakan beliau akan menyertai PBRS tidak lama lagi.
Sebelum ini, Kadamaian diwakili ADUN dari Parti Bersatu Sabah (PBS) iaitu Datuk Herbert Timbun Lagadan. Uku menewaskan Herbert seorang naib presiden PBS, dan dua calon lain dari Star dan SAPP pada pilihanraya umum Mei lalu.
Sementara itu seorang penyokong PKR Kadamaian memberitahu FMT semuanya akan terjawab pada minggu depan, menguatkan lagi desas-desus itu berkemungkinan berasas tetapi masih disimpan sebagai rahsia oleh semua pihak.
PBRS pada masa yang sama difahamkan mengintai peluang mana-mana wakil rakyat pembangkang yang mungkin ingin menyertai kerajaan demi untuk pembangunan rakyat di kawasan masing-masing serta ingin memperkukuhkan kedudukan PBRS dalam BN negeri.

Oleh: Nuraniz Ghaus

Kecewa dengan reaksi rakyat Malaysia sempena pelancaran Proton Suprima

KUALA LUMPUR: Pada hari Ahad,  Proton Suprima dilancarkan. Kerana saya punyai saudara rapat yang bekerja dengan Proton, saya memang menanti-nantikan projek ini. Semasa Preve dilancarkan dahulu, saudara saya telah mula bercakap berbentuk “teaser”, bahawa tidak lama lagi ada yang lebih hebat daripada Preve akan dikeluarkan.

Menanti sekian lama, hari itu tiba juga, tapi saya kecewa. Bukan dengan Proton, tapi dengan rakyat Malaysia.

Di laman sosial penuh; tapi bukan semua, mempersenda produk Malaysia yang terbaru ini. Soalnya mengapa? Di mana silapnya, sehingga rakyat Malaysia jadi begini? Sudah tidak ada perasaan bangga, sudah tidak ada cinta pada negara.

Jika bicara tentang kedaifan pengetahuan tentang Proton ini, ada satu kes yang saya kira lucu. Pernah dahulu ada bangkai kereta yang sudah hangus di susur keluar plaza tol. Semasa itu saya masih kecil. Terdengar orang-orang membuat spekulasi sesama sendiri “Itu mesti Proton”.

Rupanya Alfa Romeo. Ye lah. Tak boleh disalahkan mereka juga kerana kereta itu hangus teruk. Tapi kenapa terus anggap kereta itu keluaran Proton?

Kalau bercakap tentang pengalaman orang lain, memang mudah. “Kawan aku punya kawan punya ibu tiri beli Saga BLM, power window baru sebulan dah jammed”.

Kawan baik saya sendiri beli Saga FL. Masih megah di jalan raya. Pernah masuk bengkel cuma kerana orang yang langgar kereta dia.

Adik saya juga masih memandu Proton Saga lama. Saga lama! Bukan yang baru.

Kereta ini benda berenjin. Enjin itu buatan manusia. Manusia tidak sempurna. Pastinya kereta buatan lain juga ada menghadapi masalah cuma... ehem! Dah bayar mahal-mahal pasti malu lah nak mengaku Honda City buat hal tepi jalan, betul?

Tapi kalau pemilik kereta Proton buka but depan di tepi jalan raya waktu pagi, sudah pasti 90% pemandu yang lalu akan jadi penganalisis kereta.

Orang yang lantang mengutuk Proton, berapa peratus yang pernah pandu uji Proton Preve? Berapa peratus yang berniat memandu uji Suprima?

Belum sempat dicuba, sudah bermacam-macam gurauan bodoh yang dibuat, seolah-olah Proton sebelum ini hanya mengeluarkan lesung batu. Nama Suprima pun boleh dijadikan bahan ketawa. Mengapa? Begitu marahkan mereka dengan Malaysia sehingga setiap usaha syarikat Malaysia dipersenda? Marah itu kenapa?

Kebetulan saya baru tonton Habibie & Ainun di Astro Best. Semasa Indonesia mula-mula menghasilkan pesawat sendiri, ada juga yang mempersenda. Lalu saya simpulkan, setiap negara memang ada golongan begini. Memang ada yang terlalu “bijak” sehingga semua usaha kerajaan nampak remeh di matanya.

Bukan setakat kereta sebenarnya. Banyak lagi produk Malaysia yang diremehkan oleh rakyat sendiri. Contohnya filem. Bukan tidak ada yang bagus. Tapi kebanyakan rakyat memilih untuk menonjolkan yang buruk-buruk. Kalau yang puji-pujian cuma dua daripada sepuluh ulasan. Yang lain adalah kutukan. Kritikan boleh jadi membina tapi lebih banyak yang mengutuk berbanding mengkritik secara ikhlas untuk menambahbaik.

Terus terang, saya kagum dengan rakan-rakan saya dari Indonesia yang saban hari dalam “status updates” memperkatakan yang indah-indah tentang negaranya. Korupsi di Indonesia juga teruk. Tapi yang korup itu manusia. Tanah air masih milik rakyat, layak disayangi dan dijulang.

Saya juga mengakui kerajaan tidak sempurna, tapi kerajaan dan tanah air adalah entiti yang berbeza. Kerajaan cuma organisasi mentadbir. Fahami perbezaan itu, dan mulalah mencari peranan untuk membangunkan negara.

Bersembunyi di belakang nama samaran dalam talian tidak akan bawa anda ke mana-mana, dan tidak akan membantu bawa Malaysia ke mana-mana.

Sebenarnya ada juga yang tidak tahu apa-apa, tapi sebab mengutuk ini sudah jadi satu budaya. Kalau tak kutuk Proton, tak “cool” sebab semua orang buat. Heh.

Artikel ini merupakan pendapat penulis mengenai reaksi segolongan masyarakat sempena pelancaran Proton Suprima.

Berita mula diterbitkan pada: Ogos 19, 2013 08:08 (MYT)
Tag: proton suprima, kecewa, rakyat malaysia

Dalang penculikan di Lahad Datu diburu polis


Kota Kinabalu: Polis giat memburu seorang lelaki dipercayai dalang kes penculikan dua bersaudara di Lahad Datu, November lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, suspek Mohd Amin Bacho, 30, yang dikesan berada di Tawau dipercayai melarikan diri dan tidak menolak kemungkinan dia di negara jiran.

“Kami masih menunggu maklumat dan pengesahan daripada pihak keselamatan negara berkenaan selain giat menjalankan siasatan sekiranya masih ada rakyat tempatan terbabit. dalam kes ini.
“Polis yakin kejadian itu didalangi ramai individu dan yang kini menyembunyikan diri daripada buruan pihak berkuasa,” katanya. ketika dihubungi, semalam. Dia dipercayai terbabit kes penculikan dua bersaudara Tung Wee Jie, 26, dan Tung Wee Wei, 34, di ladang milik keluarga mereka di Tambisan, Lahad Datu.

Mohd Amin disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 kerana terbabit dalam kes penculikan.

Wei Jie melarikan diri pada 4 Ogos lalu, manakala Wee Wei dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tawanan penculik di Jolo, Filipina, akibat masalah kesihatan.

Dua pasangan kekasih suspek samun bersenjata Labuan House dicekup

KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas saki baki suspek yang terlibat dengan kes samun bersenjata membabitkan pejabat milik usahawan makanan segera berpangkat Datuk di Labuan House, Luyang dengan tertangkapnya dua pasangan kekasih di ibu negeri baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata dua pasangan kekasih itu yang berusia lingkungan 21 hingga 22 tahun telah ditahan berhampiran pasar besar ibu negeri di dalam kenderaan jenis Honda Civic yang dinaiki mereka sekitar jam 8 malam.
“Hasil maklumat awam dan risikan, pada Ahad lepas sekitar jam 8 malam lalu sepasukan polis telah berjaya mengesan serta menyerbu keempat-empat suspek iaitu dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai pasangan kekasih di dalam sebuah Honda Civic.
“Setelah diperiksa, kita berjaya menemui beberapa barangan seperti sebilah samurai, pemutar skru, sejenis senjata buku lima, pengumpil besi, dompet dan jam tangan yang kesemuanya dipercayai berhubung kait dengan kejadian samun tempoh hari di Labuan House,” katanya.
Mengulas lanjut, Chandra berkata dua wanita yang ditahan itu dikatakan pelajar kolej swasta tempatan sementara pasangan mereka tidak bekerja dan dipercayai terlibat secara langsung dengan kejadian berkenaan.
Menurut beliau, susulan tangkapan pasangan kekasih itu pihaknya berjaya membawa kepada penemuan dan pencarian seorang lagi suspek yang difahamkan antara dalang utama kes samun itu.
“Hasil soal siasat susulan tangkapan itu, kita akhirnya berjaya mengesan seorang lagi suspek yang masih belum ditahan.
“Suspek itu dikenali sebagai Mohd Riddzy Foo berusia 20 tahun dan alamat kali terakhir di Lot 7 Taman Nosoob Jaya, Fasa 1 Jalan Kobusak Penampang.
“Sehubungan itu, kita meminta kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek untuk terus menghubungi Inspektor Jamirin Tintai di talian 016-5877111 atau 088-24211 bagi membantu siasatan,” katanya.
Setakat ini, 11 individu telah ditahan dengan enam daripadanya dituduh di mahkamah berhubung kejadian samun membabitkan kerugian hampir RM400,000 kepada pemilik kediaman jenis banglo yang dijadikan pejabat urusan perniagaan makanan segera.
Kes terbabit disiasat mengikut 395/397 Kanun Keseksaan.

‘UMNO Dahulu dan Sekarang’

Walaupun agak pahit untuk ditelan, apa yang diluahkan oleh Tun Dr Mahathir dalam laman blognya bertajuk ‘UMNO Dahulu dan Sekarang’ adalah satu hakikat yang tidak mampu ditolak oleh ahli dan penyokong UMNO khususnya orang Melayu. Ini kerana UMNO yang wujud hari ini pada pandangan beliau sudah tidak lagi dipandang tinggi dan tidak lagi disokong seperti dahulu kerana ramai orang Melayu sekarang sudah meluat dengan UMNO kerana parti itu dilihat tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air.
 
Dalam tulisannya Tun Dr Mahathir juga menganggap UMNO hari ini sudah dianggap tidak lagi releven oleh sesetengah orang Melayu dan parti itu perlu ditolak kerana UMNO yang mereka lihat hari ini lebih mementingkan orang-orang tertentu didalamnya dan ahli-ahlinya sahaja. Atau lebih tepat UMNO hari ini hanya berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati dan untuk poket sendiri.
 
Apa yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir ini tentunya akan menguris hati sesetengah pihak dalam UMNO atau mampu membuatkan mereka yang pernah berjuang bersama UMNO menitiskan air mata. Tidak kurang yang akan menyangkal dakwaan itu berdasarkan pencapaian UMNO yang muncul sebagai parti paling berkuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Memang UMNO muncul sebagai parti yang memenangi paling banyak kerusi baik di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi apakah kemenangan itu benar-benar boleh dijadikan bukti bahawa UMNO sememangnya bertambah kuat pengaruhnya atau ada sebab-sebab lain yang membantu kemenangan tersebut.
 
Dalam soal ini Tun Dr Mahathir ada pandangan tersendiri. Menurut beliau, kemenangan UMNO dalam PRU-13 bukan bermakna orang Melayu masih menyokong UMNO tetapi disebabkan orang Melayu tidak ada pilihan. Orang Melayu takut kalau pakatan pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menang bersama DAP, maka hancurlah harapan orang Melayu. Orang Melayu masih menganggap walau seburuk mana pun UMNO, parti itu masih boleh diharapkan untuk memelihara dan menjaga kepentingan orang Melayu dan atas pertimbangan itu lah orang Melayu masih memilih UMNO kerana mereka sudah tidak punya pilihan.
 
Mengambil kira pandangan Tun Dr Mahathir ini, terlalu banyak banyak persoalan yang perlu dicari jawapan. Apakah UMNO benar-benar tidak lagi releven bagi orang Melayu dan jika parti itu sudah dianggap tidak lagi mewakili dan menjamin kepentingan orang Melayu, apakah sandaran orang Melayu selepas ini? Di mana kedudukan politik Melayu selepas ini ketika orang-orang Melayu berpecah kepada tiga puak dan apakah Pas yang juga berakar umbikan orang Melayu bakal mengambil alih kedudukan UMNO sebagai pembela orang Melayu?
 
Sebenarnya apa yang berlaku pada PRU-13 lalu sudah cukup untuk memberikan satu pengajaran kepada UMNO dan orang-orang Melayu kerana perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu hari ini hanya mendatangkan mudarat. Sebagai kaum yang membentuk majoriti, orang Melayu memerlukan sebuah parti yang bukan sahaja kuat tetapi juga mampu menyatukan semua bangsa Melayu.
 
Walau ada pihak yang menganggap tugas dan peranan itu mampu dipikul oleh Pas, ia perlu dilihat daripada sudut realiti dan hakikat kedudukan dan pengaruh Pas itu sendiri. Melihat kepada konsep pakatan parti itu bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kedudukan dan pengaruh Pas jelas masih dibayangi oleh kedua-dua sekutunya itu. Jadi bagaimana untuk Pas muncul sebagai sebuah parti mewakili aspirasi orang-orang Melayu jika Pas sendiri tidak mampu untuk meletakkan dirinya diyakini oleh majoriti orang-orang Melayu?  Ini lah yang menjadi masalah utama Pas dan mengapa orang-orang Melayu menjarakkan diri dengan parti itu kerana majoriti bangsa Melayu masih sangsi dengan hala tuju Pas melainkan jika parti itu kembali bergerak secara bersendirian dan ini mungkin akan mengubah pandangan orang Melayu terhadap Pas.
 
Selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang, sukar untuk Pas menyakinkan orang Melayu apatah lagi untuk menjadi juara dalam membela dan memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam. Melihat kepada situasi itu, UMNO tidak punya pilihan. Seperti yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO perlu mengambil serius soal ini dan pada pilihan raya akan datang, UMNO tidak boleh harap keadaan ini berterusan.  Jika Umno tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain.
Apa yang dibangkitklan oleh Tun Dr. Mahathir ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. Buktinya setiap kali perhimpunan parti itu, ramai yang bercakap tentang soal perjuangan dan perlunya UMNO untuk kembali menjadi sebuah parti yang menjadi sandaran dan diyakini oleh bangsa Melayu. Tetapi, saranan itu seperti kebiasaannya hanya bergema seketika di dalam dewan, keluar dewan perhimpunan, masing-masing lupa soal perjuangan, lupa soal bangsa sebaliknya leka untuk mengejar pangkat, jawatan dan memperkayakan diri.
 
Mungkin tidak adil untuk menuduh semua ahli dan pemimpin UMNO sedemikian rupa kerana masih ada sebahagian pemimpin dan ahli yang kental jiwa dan perjuangan bangsanya. Malah ramai juga orang Melayu yang berada di luar UMNO yang masih sayangkan UMNO dan mahu melihat parti itu terus menjadi payung kepada bangsa Melayu. Cuma mereka tidak diberi peluang untuk menjadi sebahagian ahli parti kerana pelbagai sekatan yang akhirnya menyebabkan UMNO gagal untuk berubah.
 
Seperti kata Tun Dr Mahathir, ini lah kesan yang dihadapi oleh UMNO hari ini. Keahliannya bukan sahaja tidak bertambah selaras dengan pertumbuhan jumlah bangsa Melayu tetapi mereka yang berkebolehan dan berbakat tidak lagi berpeluang untuk menyertai UMNO. Mereka yang boleh menyertai UMNO hanyalah mereka yang kurang berkebolehan berbanding dengan yang sedia ada. Disebabkan kemasukan atau penyertaan ke dalam parti mestilah melalui cawangan, biasanya yang masuk menjadi ahli ialah mereka yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan.
 
Apabila ini berlaku, ia akan menyebabkan UMNO semakin kehilangan pemimpin-pemimpin berbakat yang layak untuk menjadi calon dalam pilihan raya sekali gus akan melahirkan pemimpin dalam kerajaan yang juga di kalangan mereka yang kurang berbakat dan berkebolehan. Akibatnya ramai di kalangan mereka yang tidak diterima ini akan mengalih perhatian kepada kepada pihak lain yang bijak mengambil ruang dan peluang.