Ahad, 29 September 2013

Seminar Kefahaman Islam anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Kudat


KUDAT :  Umat Islam perlu memperkukuhkan perpaduan mereka agar tidak menjadi mangsa pihak yang mahu mengambil kesempatan atas kelemaham mereka.

Timbalan Yang Dipertua (USIA) Sabah, Datuk Hj. Yusuf Bin Haji Apdal merangkap ADUN N50 Lahad Datu berkata, perpaduan dan kekuatan masyarakat Islam kini sedang diuji dengan isu akidah yang boleh menyebabkan mereka berada pada keadaan yang sedikit goyah. 

Berucap pada Seminar Kefahaman Islam anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Kudat, beliau berharap (USIA) di seluruh bahagian di negeri ini, akan menjadikan pertubuhan ini sebagai platform bagi masyarakat islam bersatu padu dengan menjadikan pertubuhan ini sebagai wadah perjuangan.



''Bukan sahaja sebagai pertubuhan yang menegakkan syiar islam, namun jadikan pertubuhan ini sebagai landasan penyatuan masyarakat Islam dalam membendung ajaran Syiah yang memberi banyak kesan kepada akidah Umat Islam di setengah negara-negara lain yang mengamalkan ajaran tersebut.'' katanya.




Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan Ketua (USIA) Bahagian Kudat En. Awang Bin Haji Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Penganjur Seminar Kefahaman Islam berkata. ''adalah diharapkan kepada ketua-ketua cawangan (USIA) daerah Kudat mengambil langkah proaktif bagi mempergiatkan lagi kempen penambahan keahlian di seluruh cawangan di daerah ini, agar pertubuhan ini lebih mantap dan kukuh sesuai dengan perananya sebagai pertubuhan Islam yang bukan sahaja mengutamakan dakwah sebagai asas perjuangan namun ianya menjadi platform bagi Umat Islam terus bersatu padu.'' katanya.


SUTERABAYU

Sabtu, 28 September 2013

Faizal tanding Ketua Pemuda Umno Kudat

Antara calon termuda rebut kerusi Ketua Pemuda Umno Bahagian




KOTA KINABALU :  Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kudat, Mohamed Faizal Mohamed Murtaza menawar diri bertanding Jawatan Ketua Pemuda Bahagian Kudat pada pemilihan parti itu Oktober depan.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Putera Umno Bahagian Kudat telah bergiat aktif dalam pergeakan Pemuda Umno sejak 2005, percaya masanya sudah tiba untuknya mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam memertabatkan perjuangan memperkasa Umno.

''Adalah menjadi hasrat saya untuk membawa idea-idea segar dan perubahan yang positif seiring dengan peredaran masa kini dengan menawarkan diri bagi kerusi Ketua Bahagian Umno Bahagian Kudat.'' katanya.

Mohamed Faizal, 30, merupakan antara calon termuda di Malaysia yang merebut kerusi Ketua Pemuda Umno Bahagian. Pertama kali menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno Bahagian, beliau akan berhadapan persaingan lima penjuru calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kudat.

Mohamed Faizal yang juga seorang ahli perniagaan berkata penawaran diri bagi bertanding kerusi Ketua Pemuda Umno Bahagian Kudat ini bukanlah untuk sekadar mengisi jawatan mahupun untuk mempromosikan diri.

''Keputusan menawarkan diri ini adalah kerana saya nekad membawa harapan baru untuk masa depan khususnya kepada golongan belia di bahagian Kudat. Saya juga bertekad untuk menyahut cabaran membawa pergerakan ini ke satu tahap yang lebih tinggi dan berdaya saing,'' katanya.

Beliau percaya masanya sudah tiba untuk Umno khasnya Pemuda Bahagian Kudat melangkah setapak ke hadapan selaras dengan slogan''Transformasi'' dan ''Meremajakan Umno'' yang diilhamkan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menerapkan politik berasaskan idea ke dalam parti.

Katanya, dengan mengambil kira jumlah pengundi yang berada di dalam lingkungan usia 21 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 5.5 juta pengundi pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, adalah menjadi matlamatnya untuk membantu parti menawan hati golongan belia ini untuk berada di belakang Umno dan Barisan Nasional (BN).

''Ini merupakan sebuah perkara penting, kerana golongan ini membentuk 41.86 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi dan akan menentukan keputusan pilihan raya umum akan datang.''

Oleh itu, saya berhasrat untuk menerajui sayap Pemuda Umno Bahagian Kudat dengan mengambil langkah mendekatkan diri dengan golongan belia sambil memahami permasalahan dan kehendak mereka,'' katanya.

Mohamed Faizal berkata di samping itu, beliau juga sentiasa dan akan terus mengamalkan sikap keterbukaan dalam menerima kritikan, cadangan dan idea dari semua pihak untuk memantapkan parti.

''Ini kerana saya percaya sebuah pergerakan yang mantap dan jitu tidak akan dapat dibina oleh seseorang individu tetapi memerlukan penglibatan semua pihak,'' katanya.

''Dengan masih mempunyai sekurang-kurangnya tiga penggal dalam pergerakan Pemuda Umno ia memberi saya kelebihan untuk merancang program jangka masa panjang yang dapat memberi impak berterusan di samping menjaga kelangsungan program-program yang telah dirancang.'' katanya.

Beliau juga berhasrat untuk membantu golongan belia khususnya belia di bahagian Kudat untuk meningkatkan kadar pendapatan dan menaikan taraf kehidupan mereka. Program-program seperti penempatan ke institusi pengajian tinggi, bengkel-bengkel kemahiran dan ekspo pekerjaan akan dilaksanakan bagi mencapai hasrat ini.

Katanya, untuk menjayakan kempen ini, sebuah gerakan akar umbi yang kuat dan teratur amatlah diperlukan.

''Dengan itu, saya menjemput semua yang mengenali saya untuk bersama-sama turut serta dalam kempen ini dan membantu saya dalam usaha untuk membawa perubahan.


SUMBER 






Jumaat, 27 September 2013

ADUN LUYANG KELUAR DAP, JADI WAKIL RAKYAT BEBAS


KUALA LUMPUR:  Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Luyang daripada DAP, Hiew King Cheu, mengumumkan keluar parti itu dan berkata beliau akan menjadi wakil rakyat bebas.

Hiew, yang meletak jawatan sebagai penasihat kepada jawatankuasa perhubungan negeri DAP beberapa minggu lepas, berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti lain.

"Ya, saya membuat keputusan untuk keluar parti. Bagaimanapun, saya akan kekal sebagai (Adun) Bebas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hiew berkata beliau akan menghantar surat peletakan jawatannya kepada ibu pejabat parti lewat hari ini.

Selepas pilihan raya umum Mei tahun ini, Hiew bertelagah dengan beberapa pemimpin DAP Sabah susulan keputusannya untuk menyokong Adun Klias Datuk Lajim Ukin sebagai Ketua Pembangkang Sabah sedangkan parti itu menyokong Adun Tamparuli Datuk Wilfred Bumburing.

Ini membawa kepada kritikan terbuka rakan-rakannya dalam jawatankuasa perhubungan negeri sehinggakan mereka mahu tindakan disiplin dikenakan terhadap beliau.

Bagaimanapun sebelum tindakan sedemikian diambil, Hiew melepaskan jawatan sebagai penasihat kepada DAP Sabah.

Sejak itu, terdapat spekulasi bahawa Hiew mungkin keluar daripada parti itu yang memenangi empat kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen di Sabah pada pilihan raya umum lepas.

Spekulasi mengenai Hiew keluar parti semakin memuncak selepas pengumumannya minggu lepas bahawa beliau menarik diri daripada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan tidak  akan menghadiri kongres khas DAP yang dijadual Ahad ini.

Sementara itu, Setiausaha Pengelola DAP kebangsaan Anthony Loke, ketika dihubungi berkata parti itu tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada Hiew dan hanya mendapat tahu  mengenainya daripada laporan media.

BERNAMA

Khamis, 26 September 2013

Mastari teruskan hasrat tanding Ketua Bahagian Kudat



Mastari Kanjabun
KUDAT :  Hasrat Setiausaha Cawangan Umno Kampung Landung Ayang Kudat, Mastari Kanjabun' (g a m b a r) untuk bertanding jawatan ketua bahagian dalam pemilihan Umno Kudat tetap diteruskan untuk memperjuangkan beberapa isu yang sebelum ini gagal diperjuangkan oleh kepimpinan bahagian.

Beliau berkata walaupun peluangnya agak tipis untuk menang melawan penyandang Ketua Bahagian, Datuk Bolkiah Haji Ismail, tatapi beliau mahu mengetengahkan isu-isu yang selama ini luput dari perhatian pucuk pimpinan.

Katanya, antara isu yang diperjuangkan oleh beliau ialah isu kemiskinan dan peningkatan taraf ekonomi bukan sahaja di kalangan kepimpinan Umno di peringkat cawangan.

Mastari mendakwa walaupun Sabah sudah 50 tahun merdeka tetapi masih ada rumah ketua cawangan Umno di Kudat yang tidak berlampu, terpaksa membuat penyambungan haram dan tinggal di kawasan setinggan.

''Padahal nasib dan masa depan mereka sepatutnya diperjuangkan oleh kepimpinan bahagian,'' katanya.

Beliau berkata walaupun sudah lama merdeka, masih terdapat cawangan Umno yang terpaksa bermesyuarat di tempat yang tidak sesuai kerana ketiadaan dewan atau balairaya.

''Perkara-perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku memandangkan kita adalah parti yang memerintah. Sepatutnya perkara ini dikemukakan kepada pihak atasan untuk tindakan lanjut. Tapi kerana kelemahan kepimpinan, menyebabkan kesejahteraan masyarakat terabai.'' katanya.

Satu lagi isu yang mahu diketengahkan ialah masalah tanah perkuburan orang Islam di Kudat yang semakin kritikal tanpa ada sesuatu tindakan konkrit yang dilakukan oleh kepimpinan di peringkay bahagian,'' katanya.

''Ketua bahagian gagal dalam kepimpinan dan gagal menjaga kesejahteraan rakyat, maka itu saya menawarkan diri,'' katanya kepada Utusan Borneo.

Mastari berkata, langkah beliau bertanding juga adalah menyahut seruan transformasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya ada konsep pemisah kuasa antara wakil rakyat dan ketua bahagian.

''Jika dipilih, kita ingin membantu wakil rakyat untuk melaksanakan tugasnya.

''Sebagai ketua bahagian, kita mahu membantu memperkasa Umno supaya parti yang kita sayangi ini tetap relevan di hati rakya, '' katanya.

Pertandingan Ketua Bahagian Umno Kudat agak menarik kerana ia melibatkan Ketua Bahagian, Datuk Bolkiah Haji Ismail, Mastari Kanjabun dan Haji Mhamad Ayung.
 

SUMBER

Rabu, 11 September 2013

PENUBUHAN PRIBUMI SABAH DAPAT RESPON

OLEH: SHAIMON S JUMADI

TAWAU:- Pertubuhan Pribumi Rakyat Sabah (PPRS) yang ditubuhkan hampir setahun lalu di negeri ini telah mendapat respon daripada segenap lapisan masyarakat yang bertaraf anak jati Sabah.

Presidennya Datuk Mohd Jeffry Rosman (gambar) berkata kepada wakil Sutrabayu kelmarin antara lain menjelaskan tujuan PPRS ditubuhkan di negeri ini adalah berpaksikan untuk membela nasib rakyat di negeri ini dalam beberapa aspek antaranya mengenai tanah-tanah adat (NCR) yang sering diceroboh oleh orang-orang luar.

Selain itu juga menjaga hal ehwal adat resam budaya anak jadi Sabah agar tidak ditelan zaman dan melalui PRIBUMI banyak adat-adat budaya daripada suku kaum yang ada dinegeri Sabah seperti kaum Kadazan, Murut, Dusun Bajau dan Brunai dapat dipertingkatkan

“Perlu saya jelaskan dalam menerajui kepimpinan PRIBUMI sebagai badan NGO kami tidak akan mencampuri hal-hal politik kepartian di negeri ini, fokus utama kami ialah menjaga kebajikan ahli-hali kami walaupun setakat ini keahlian PRIBUMI di seluruh pelusuk Sabah sudah mencecah 10,000 orang, ramai di kalangan ahli-ahlinya yang terdiri dari ahli dan fahaman politik daripada pelbagai parti dalam PRIBUMI bukanlah satu masalah dan soal-soal fahaman dan idologi politik yang berbeza itu kita ketepikan” ujar Jeffry

SUTERABAYU

PENDUDUK LOCK YEN SUDAH 10 TAHUN TERUS DILANDA BANJIR

OLEH: SHAIMON S JUMADI


BATU SAPI: Sudah hampir sepuluh tahun penduduk Kampung Lock Yen Jalan Bypass Seguntor yang membabitkan 30 keluarga daripada 8 buah rumah terus berdepan dengan masalah banjir pada musim hujan.

Air yang melimpah ruah dari beberapa batang parit yang tersumbat menyebabkan kawasan perumahan kerap kali banjir bukan saja menenggelami beberapa batang jalan bahkan rumah-rumah berhampiran.


Yapp Thien Sung seorang penduduk yang mengadu kepada Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong yang turut dipelawa untuk memeriksa situasi dipersekitaran Kampung Lock Yen bersama-sama wakil Sutrabayu menunjuKkan sebatang jalan penghubung dengan beberapa rumah yang ditenggelami air.


Bukan sehari dua masalah ini berlaku bahkan sudah sepuluh tahun berlarutan lamanya namun tiada sesiapa yang ingin mengambil tahu masalah penduduk tersebut walaupun sudah beberapa kali diajukan kepada pihak-pihak yang berwajib.

Menurut Yapp Lock Yen, Jalan Bypass Seguntur adalah di bawah kawasan DUN Gum-Gum dan Parlimen Libaran dan sepatutnya masalah tersebut sudah lama diambil perhatian dan ditangani oleh kedua-dua wakil rakyat berkenaan.


Tambah Yapp lagi keadaan air yang menenggelami jalan tersebut sedalam kira-kira satu meter itu tidak pernah berubah walaupun hari tidak hujan, keadaannya sama sahaja dan para penduduk yang menggunakan jalan tersebut sebagai laluan utama mereka terpaksa berjalan kaki kerana tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil kecuali kenderaan jenis pacuan empat roda sahaja.


“Hari-hari kami basah, jalan mesti buka kasut dan yang kesiannya budak-budak yang pergi ke sekolah terpaksa basah kuyup baru sampai ke jalan lain dan begitu juga bila pulang ke rumah pun dalam keadaan sama''



''YB Zakaria, YB Juslie tidak kesian kah sama kami yang hidup dalam kesengsaraan ini hampir sepuluh tahun ini tolonglah YB ” jelas Yapp dengan nada sedih dan sayu.

Jelas Wong, ''walaupun kawasan Libaran bukan di bawah jagaan saya tetapi sebagai Wakil Rakyat yang berkhidmat kepada rakyat saya amat bersimpati dan kasihan terhadap nasib malang yang menimpa 30 keluarga yang membabitkan lapan buah rumah di kampong Lock Yen itu”

Sutrabayu ada menghubungi penduduk berkenaan bahawa jalan tersebut masih dalam keadaan yang tidak berubah masih ditakongi air sedalam hingga satu meter dan pihak yang berkenaan langsung tidak mengambil sebarang tindakan.

“Dengan itu saya memohon jasa baik kepada ADUN Gum-Gum Datuk Hj Zakaria Hj Edress dan Ahli Parlimen Libaran Datuk Hj Juslie Ajirol agar dapat menghantar para pegawainya membuat spot check atau melawat ke Kampung Lock Yen agar dapat melihat sendiri mengenai keadaan sebenar dan selanjutnya menemui para penduduknya yang 100 peratus mereka adalah warga tempatan daripada kaum masyarakat cina pengundi Libaran ” tegasnya.

Kata Wong lagi kepada Yapp pihak pejabat Parlimen Sandakan akan membantu untuk mengutus surat rasmi kepada ADUN Gum-Gum dan ADR Parlimen Libaran bagi memaklumkan mengenai masalah seperti yang dilaporkan supaya mereka mencari jalan alternatif bagi menangani masalah tersebut dengan kadar segera.



SUTERABAYU

Jeffrey: Hari Malaysia adalah Hari Penjajahan

Malaya telah mengambil alih Sabah daripada British dan kini Malaya menjajah semula di bawah nama Kerajaan Persekutuan Malaysia.


KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan boleh muflis tanpa sumbangan kewangan dari Sabah dan Sarawak.
Menurut ADUN Bingkor, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Sabah dan Sarawak harus dilayan sebagai rakan kongsi yang sama di Malaysia dan bukan sebagai negeri ke-12 dan ke-13 dalam Malaysia.
“Kerajaan Persekutuan mengambil masa 50 tahun, bagi mengiktiraf sebagai “Hari Malaysia,” katanya.
Beliau mendakwa Malaya telah mengambil alih Sabah daripada British dan kini Malaya menjajah semula kami di bawah nama Kerajaan Persekutuan Malaysia.
“Di manakah janji-janji “kebebasan mutlak, kemakmuran dan keselamatan?” soal Dr Jeffrey lagi.
Katanya lagi, Mereka (Malaya) mengawal sumber minyak dan gas kita, memungut hasil kita, menjalankan kerajaan kita dan sengaja mengubah demografi kami (melalui Projek IC , Ops Durian Buruk, pengundi hantu dan membuat miskin Sabah dan tidak selamat.
Beliau mendakwa sekarang Sabah hanya satu negeri “orang suruhan” Putrajaya.
“Sudah 50 tahun pembentukan Malaysia, namun tidak ada “Kemerdekaan” dan kebebasan untuk bercakap. Sebaliknya, Sabah telah “dijajah” oleh Malaya segi politik, ekonomi dan sosial,” dakwanya lagi.
Beliau berkata jika Sabah dan Sarawak memilih untuk keluar daripada Malaysia mungkin kewangan kita jauh lebih baik, dengan hasil negeri melebihi RM40 bilion berbanding kepada RM3.7 bilion ketika ini.
“Sabah menyumbang RM18 bilion dan Sarawak RM40 bilion kepada Petronas pada 2012. Sabah dilaporkan telah menyumbang lagi RM24 bilion dalam cukai persekutuan manakala jabatan-jabatan persekutuan di Sabah seperti Imigresen, JPJ, Kastam dan lain-lain akan telah mengumpul berbilion lagi. Dalam sektor swasta, banyak syarikat termasuk GLC seperti Sime Darby, Guthrie dan Felda, di Semenanjung terutama syarikat perladangan menjana berbilion-bilion keuntungan bersih dari Sabah dalam sumbangan cukai pendapatan mereka kepada kerajaan persekutuan,” katanya lagi.
Beliau mencadangkan supaya hak-hak istimewa dan autonomi Sabah dipulihkan semula.
Beliau menyeru agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan pilihan ini jika dia mahu untuk menyelamatkan Malaya / Malaysia untuk tempoh 50 tahun akan datang.

SUMBER

Selasa, 10 September 2013

MNLF Bantah Keganasan Dilakukan Kumpulan Misuari


Pemimpin kumpulan lebih besar dalam Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) tidak menyokong tindakan puak pimpinan Nur Misuari yang menyerang Zamboanga dan mengambil beratus-ratus orang sebagai tebusan.


Mereka memberi jaminan kepada kerajaan Filipina bahawa MNLF terus mengiktiraf pelan damai 1996 dan tidak terbabit dalam serangan oleh pengikut Misuari.

“Kumpulan kami tidak ada kaitan dengan tindakan mereka. Kami tidak melihatnya baik untuk proses damai Mindanao,” kata Jurucakap Forum Pemimpin Kanan MNLF, Abdul Sahrin, kepada wartawan.

Forum itu dianggotai pemimpin tinggi MNLF termasuk bekas Gabenor Sulu, Yusoph Jikiri dan puluhan lagi yang bersidang minggu lalu di Zamboanga serta Gabenor Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM), Mujiv Hataman.

Forum itu diharapkan memegang peranan untuk melaksanakan program membanteras kemiskinan penduduk Moro dalam ARMM.

Sahrin berkata, mereka juga tidak menyokong peristiharan kemerdekaan oleh Misuari baru-baru ini selepas menuduh kerajaan gagal patuh kepada beberapa fasal tertentu dalam perjanjian damai.

Bekas Timbalan Datuk Bandar Cotabato, Muslimin Sema yang mengetuai kumpulan terbesar dalam MNLF menerusi 20 puak di semua kawasan Mindanao termasuk Palawan, berkata mereka terus setia kepada gencatan senjata 17 tahun dengan Manila.

“Kami tidak akan berpaling daripada perjanjian damai selagi ada mekanisme yang boleh diterima MNLF dan kerajaan untuk dilaksanakan dan memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak,” kata Sema kepada akhbar tempatan.

Malah, katanya, beliau sudah memberi arahan kepada semua ahli supaya tidak mengambil apa-apa tindakan sejajar dengan komitmen mereka kepada Jawatankuasa Keamanan Selatan Filipina yang dibentuk oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

MNLF, tegasnya, menyokong resolusi secara aman jika berlaku sebarang salah faham dengan Manila mengenai pelaksanaan fasa akhir perjanjian damai. 

300 penyokong Misuari dikepung


Tentera Filipina mengepung beratus-ratus lelaki bersenjata yang membunuh kira-kira enam orang penduduk termasuk dua anggota tentera dan menjadikan 20 orang lagi sebagai tebusan di selatan Filipina hari ini, dalam usaha mereka untuk mengganggu rundingan damai antara kerajaan dan kumpulan pemisah.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, tentera mengepung Zamboanga selepas antara 200 dan 300 anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) memasuki enam kampung di luar bandar raya itu sebelum subuh tadi.

''Mereka cuba berarak menuju ke Dewan Bandaraya dan kami tidak boleh membenarkan perkara itu berlaku.

''Dua lelaki bersenjata telah ditangkap,'' katanya pada sidang media di Manila, hari ini.

Datuk Bandar Zamboanga, Maria Isabelle Climaco-Salazar berkata, dua anggota pasukan keselamatan dan empat orang awam terbunuh dan 1,500 orang terpaksa melarikan diri dari rumah mereka bagi menyelamatkan diri.

Presiden, Benigno Aquino mengutuk serangan tersebut dengan para penganalisis berkata, kejadian itu merupakan usaha MNLF untuk mengkhianati rundingan damai antara kerajaan dan kumpulan pemisah bagi menamatkan pemberontakan selama 42 tahun yang menyaksikan 150,000 orang terkorban.

Jurucakap Aquino, Edwin Lacierda berkata, pihak berkuasa mengambil tindakan untuk mengawal keadaan dengan cara terbaik bagi mengurangkan risiko ke atas orang awam dan mengembalikan keamanan kepada Zamboanga City secepat mungkin.

Letupan kuat kedengaran di sekitar bandar raya tersebut dan jalan-jalan lengang, manakala sekolah, kedai dan bangunan kerajaan serta lapangan terbang ditutup.

Seorang wartawan AFP melaporkan, kakitangan keselamatan bersenjata dan tentera mengawal lapangan terbang, hotel, bank dan bangunan-bangunan lain.

''Kami masih dapat mendengar bunyi tembakan. Kami tidak tahu jika ia dilepaskan oleh tentera atau MNLF,'' kata seorang kakitangan Dewan Bandar Raya, Ramon Bucoy. 

Diketepikan dalam rundingan


Sekurang-kurangnya 600 (300?) anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) menyerbu bandar Zamboanga awal semalam yang mencetuskan pertempuran dengan askar menyebabkan enam maut dan 24 cedera.

Kumpulan pimpinan Nur Misuari itu juga menjadikan 300 orang sebagai tebusan menyebabkan Filipina menghantar 800 askar yang kini mengepung beberapa perkampungan sekitar Zamboanga.

Serangan ini menyusuli perisytiharan kemerdekaan bulan lalu oleh Misuari kerana tidak puas hati kumpulannya diketepikan daripada rundingan di antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan Malaysia menjadi pengantara proses damai itu. MNLF dilaporkan menahan tebusan di beberapa kawasan padat penduduk termasuk di Sta Catalina, Sta Barbara, Lustre dan Kasanyagan, lapor Manila Bulletin dan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Seorang anggota kanan MNLF, Simin Husin, mendakwa mereka menempatkan 1,000 anggota kumpulan di sekitar Zamboanga, 300 daripada mereka berada di daerah Sta Barbara, Sta Catalina, Kasanyagan dan Rio Hondo.

*Nampaknya seperti ada pihak tertentu yang cuba menyalahkan kumpulan utama MNLF diatas serangan ganas pengikut Nur Misuari.

SUMBER






Malaysia Keluar Amaran Keselamatan




KOTA KINABALU: Malaysia mengaktifkan amaran keselamatan di sepanjang sempadan perairan negari itu dengan selatan Filipina berikutan serangan pemberontak Moro di Zamboanga City.

Amaran keselamatan di Sabah dikeluarkan untuk meneliti sebarang kemungkinan insiden yang berlaku di selatan Filipina pada pagi Isnin turut menular ke negeri ini.

Kira-kira 400 lelaki bersenjata yang dipercayai ahli kumpulan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) menyerang Zamboanga City yang terletak kira-kira 460km dari Sandakan.


Menurut laporan terbaru, pemberontak Moro itu turut mendakwa mereka telah menawan tujuh orang penduduk kampung dan meminta kedutaan Indonesia untuk campur tangan dalam perkara tersebut.

Dilaporkan sekurang-kurangnya seorang polis Filipina maut manakala beberapa lagi cedera dan 30 orang dijadikan tebusan.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad memberitahu The Star Online bahawa pasukan keselamatan telah mengambil pendekatan untuk mengkukuhkan sempadan perairan di samping memantau perkembangan serangan di Zamboanga.

“Kami telah memaklumkan pasukan keselamatan kita supaya bersedia dan Esscom juga akan bekerjasama berikutan insiden itu,” katanya.

Kedudukan Sabah yang terletak berhampiran Selatan Filipina menimbulkan kebimbangan bahawa pemberontak mungkin melarikan diri ke negeri itu dalam usaha mengelak daripada ditangkap pihak keselamatan Filipina.

MNLF yang diketuai oleh Nur Misuari yang disisihkan daripada perjanjian damai antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kelihatan tidak senang duduk dan mengisytiharkan kemerdekaan untuk wilayah selatan Filipina termasuk Sabah pada 13 Ogos lalu.


SUMBER

Ahad, 8 September 2013

PRIBUMIS TUBUH KOPERASI JANA EKONOMI

Oleh : Syed Kamal

Ahli Lembaga Koperasi yang dilantik semasa mesyuarat Agung penubuhan Koperasi Pribumi Anak Sabah Berhad

KOTA KINABALU : Penubuhan Koperasi Pribumi Anak Sabah Berhad oleh Pertubuhan Pribumi Rakyat Sabah (PRIBUMIS) dijangka mampu memperkasakan ekonomi dalam kalangan mayarakat khususnya ahli ahli Pribumis.

Presidennya, Datuk Mohamad Jeffry Rosman berkata, selain mampu meningkatkan ekonomi, koperasi tersebut bakal memberikan pelbagai manfaat kepada ahlinya.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan kepada ahli ahli yang menyertai koperasi itu termasuk peluang perniagaan dan latihan sebagai langkah menambahkan pendapatan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pribumi Anak Sabah Berhad Jumaat lalu.

Menurut beliau, kewujudan pelbagai koperasi di Malaysia menunjukkan bahawa industri ini telah berkembang pesat sekali gus mampu menjana ekonomi negara jika ia bersifat aktif.

"Keaktifan sesebuah koperasi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada keberkesanan penubuhannya. Selain itu, pihak pengurusan koperasi perlu memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan pencapaian mereka.

"Jika koperasi itu berjaya, sudah pasti ahli-ahlinya akan turut mendapat manfaat dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan masing-masing," tegas beliau.


Rabu, 4 September 2013

PRIBUMIS WAKIL NGO SERTAI PERBARISAN HARI KEBANGSAAN KE 56 PERINGKAT NEGERI SABAH

Oleh : Syed Kamal

PATRIOTIK...Kontinjen Pribumis turut serta dalam Perbarisan Hari Kebangsaan ke 56
Peringkat Negeri Sabah.

KOTA KINABALU - Pertubuhan Pribumi Rakyat Sabah (PRIBUMIS) telah menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan ke 56 peringkat Negeri Sabah. Kontinjen di wakili seramai 50 orang terdiri dari Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan ahli ahli telah turut serta dalam perbarisan ini.


Sebanyak lebih 100 kontinjen terdiri dari jabatan kerajaan, badan berkanun, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO), IPTA dan IPTS telah mengambil bahagian pada perbarisan itu yang melibatkan kontinjen berjalan kaki, kenderaan berhias/kenderaan serta aset/kenderaan khas badan beruniform seperti ATM, PDRM, APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam.


Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Bin Haji Mahiruddin menerima Tabik Hormat dari semua kontinjen perbarisan. Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, menteri-menteri kabinet, dif-dif kehormat dan ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri Sabah.


Menurut Naib Ketua Penerangan Pribumis, Afidah Afie penglibatan kontinjen PRIBUMIS dalam perbarisan Hari Kemerdekaan ke 56 peringkat Negeri Sabah pada tahun ini boleh dikonklusikan sebagai ‘BERJAYA’ walau serba kekurangan berikutan persiapan di saat akhir. Dengan penyertaan kali pertama ini ianya telah dapat menonjolkan PRIBUMIS dikalangan masyarakat setempat.

SUMBER

Selasa, 3 September 2013

Pribumis : Kaji semula kenaikan harga minyak



Pertubuhan Pribumi Rakyat Sabah (PRIBUMIS) berkata, keputusan kerajaan menaikkan harga jualan minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, adalah pahit untuk ditelan oleh semua lapisan masyarakat. 


"Ini memandangkan kenaikan kedua-dua komoditi tersebut bakal meninggalkan kesan yang jelas serta nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia," kata Ketua Penerangan, Syed Kamarul Sufian. 

Menurutnya, kenaikan harga minyak akan mendorong kenaikan caj-caj perkhidmatan, kos sara hidup dan harga barang keperluan, yang pastinya membebankan, terutama di kalangan rakyat berpendapatan rendah.


 "Mereka yang tinggal di bandar merupakan golongan yang akan terjejas teruk disebabkan kos sara hidup yang tinggi yang segalanya bergantung kepada kuasa membeli bagi mendapatkan sesuatu barang, berbanding di kampung, yang setidak-tidaknya boleh memanfaatkan hasil tani.


"Kita sedar bahawa kenaikan ini mungkin tidak boleh dielakkan disebabkan faktor kenaikan minyak global, namun demikian Pribumis beranggapan, tindakan kerajaan menaikkan harga minyak adalah terlalu drastik dan mendadak," katanya.


Suterabayu

Drama Lakonan Datuk Seri Najib Razak


KUALA LUMPUR – Bersempena dengan kemerdekaan yang ke-56, Bernama Radio24 (BR24) milik pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bakal menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam drama khas kemerdekaan bertajuk ‘Ikrar Perwira’ hasil tulisan dan arahan Nizuan Hanaffi.
Drama ini berdasarkan peristiwa berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. Drama ini turut dilakonkan oleh Man Raja Lawak atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Kasim, juara Raja Lawak musim kelima.
“Tidak mudah mendapatkan perdana menteri untuk berlakon tetapi kami berjaya melakukannya,” kata Azlan Idris, Ketua Pegawai Operasi BR24 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini sempena Ulang Tahun ke-6 stesen itu.
“Datuk Seri Najib juga menunjukkan komitmen tinggi walaupun tidak pernah berlakon drama radio atau televisyen sebelum ini.
“Beliau melakonkan peranannya pada sekali cubaan tanpa ulangan,” katanya.
Dalam tempoh setahun ini, BR24 telah memperkenalkan beberapa program baru bagi memperkukuh penjenamaannya sebagai stesen yang membawakan ‘Berita Pantas, Info Berterusan’.
“Program ‘Dalam Radar’ semakin menyerlah dengan penampilan tetamu kategori ‘A’ yang terdiri daripada pemimpin kerajaan, badan bukan kerajaan dan industri,” kata Azlan.
Katanya antara yang pernah muncul adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, datuk Seri Mohd Syafie Apdal. – Sinar Harian

Isnin, 2 September 2013

Lagenda Anak Kudat



TUN DATU Haji Mustapha bin Datu Harun dilahirkan pada 31 Julai 1918 di Kampung Limau-Limauan, Kudat. Nama asalnya ialah Datu Badiozaman, ditukarkan kerana sering sakit semasa kecil.

Tun Datu Haji Mustapha juga mempunyai nama timangan yang dikenali sebagai Jaman. Bapa Tun Mustapha ialah Datu Harun bin Datu Nasaruddin dan ibunya ialah Norani Hj. Abdul Rahim. Beliau merupakan anak keempat dari Sembilan orang adik-beradik yang terdiri daripada enam orang perempuan dan tiga orang lelaki yang masing-masing bernama Dayang Lana, Dayang Hjh. Bidari, Dayang Siti Sarah (Dayang Pindau), Dayang Hjh. Harum, Datu Muhammad, Dayang Tahiran, Datu Hj. Aliuddin dan Dayang Hjh. Hadijah.

Tun berkahwin dengan Toh Puan Rahmah Hj. Zulkanian dan mereka mempunyai Sembilan orang anak, iaitu Datu Abdul Hamid (Allahyarham), Dayang Maimunah, Datu Amir Kahar, Datu Hj. Badaruddin, Datu Kamaruddin, Dayang Hjh. Zulfah, Dayang Aminah, Rasalonah Abdullah, Dayang Marina dan Datu Harun.

Pada tahun 1932, Tun Mustapha menerima pendidikan di Sekolah St. James, Kudat. Tetapi ia hanya kekal selama sembilan bulan sahaja kerana ibunya telah meninggal dunia dan juga kerana perpindahan pekerjaan bapanya.

Tun Mustapha pernah dipilih untuk mengikuti kursus pertanian RIDA atau Rural Industry Development Authority dari tahun 1951- 1952 di Serdang. Pada tahun 1959, beliau telah ditaja oleh kerajaan British untuk mengikuti kursus bahasa Inggeris dan Politik di Britain.

Tun Mustapha suka menggesek biola, berjoget, berjenaka dan mendengar muzik irama keroncong. Beliau juga gemar bermain golf dan telah mengasaskan Kinabalu Golf Club di Tanjung Aru dan Kudat Golf Club di Kudat ketika memegang jawatan Ketua Menteri Sabah.





Selain itu, Tun Mustapha juga suka memancing, membaca buku dan menyaksikan perlumbaan kuda. Beliau gemar memakan masakan Melayu. London ialah tempat paling gemar dilawatinya. Pada tahun 1928, semasa Tun Mustapha berumur 10 tahun, beliau bekerja sebagai pelayan rumah kepada Residen Kudat Syarikat Berpiagam Borneo Utara, E.W. Morrel.

Beliau kemudian menjadi “Office Orderly” di Pejabat Daerah Kudat pada tahun 1934. Pada 1 Februari 1937, beliau dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (Native Chief) dan Pemungut Cukai Candu. Pada tahun 1961, Tun Mustapha telah mengasaskan dan menjadi presiden pertama (United Sabah National Organization) USNO ketika konsep gagasan Malaysia dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman.

Pada masa yang sama, beliau juga adalah Ahli Majlis Perundangan (Legislative and the Executive Councils), Ahli Kerajaan Tempatan(Local Government) apabila Sabah diberi hak pemerintahan sendiri (self-government) dan juga Ahli Perundingan Perpaduan Malaysia (Malaysia Solidarity Consultative Committee).





Sepanjang hayatnya, Tun Mustapha diberi banyak anugerah, antaranya K.V.O. dan O.B.E. daripada Kerajaan British ; “Knight Commander of Republic of Lebanon” (K.C.R.L.) oleh Presiden Lebanon pada tahun 1972; Seri Darjah Paduka Chura Si-Maharaja (S.P.C.M.) dengan gelaran “Dato Seri” pada 15 September 1971 sempena hari keputeraan Sultan Perak; Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P.) pada 29 Mac 1971, dari Raja Perlis; Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.) pada 27 Oktober 1971, dari Sultan Johor; Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S.) pada 20 Ogos 1971 daripada Tuan Yang TerutamaYang di-Pertua Negeri Sarawak; Seri Indera Mahkota Pahang (S.I.M.P.) daripada Sultan Pahang, 20 September 1969; Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) dengan gelaran “Datuk Seri Panglima” ; dan Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) – anugerah tertinggi di Malaysia dengan gelaran “Tun” pada 26 November 1964. Tun Mustapha juga seorang yang bergiat aktif dalam persatuan.

Beliau pernah memegang jawatan Presiden dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA: United Sabah Islamic Association) dan PERKIM (sesi 1977/ 1979). Beliau juga merupakan Ketua Persatuan Pengakap Sabah (Sabah Chief Scout) dan telah menerima pingat “Semangat Padi” pertama di Sabah pada 21 Jun 1974. Selain itu, Tun Mustapha ialah Ahli Royal Commonvealth Society dan ahli seumur hidup Commonvealth Parliamentary Association. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Peladang Kebangsaan pada tahun 1972. Beliau juga merupakan Pro-Canselor bagi Universiti Pertanian Malaysia dari November 1973 hingga Februari 1990.

Tun Mustapha telah meninggal dunia pada 2 Januari, 1995. Al-Fatihah.....