Ahad, 23 November 2014

Pasukan bola tampar Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu akhiri kemarau 11 tahun emas

MERAIHKAN KEMENANGAN emas dan perak pasukan bola tampar lelaki dan wanita Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Selepas 11 tahun penantian, pasukan bola tampar lelaki Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu akhirnya merampas kejuaran bola tampar lelaki di Pesta Sukan Antara Wilayah Yayasan Sabah PESAWI ke-12 yang selama ini didominasi oleh pasukan daripada pantai timur seperti Tawau dan Lahad Datu.

Pengurus pasukan bola tampar lelaki Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu, Encik Abidin Mohd. Alam berkata, para pemain menonjolkan aksi terbaik mereka sepanjang kejohanan ini apabila memenangi kesemua perlawanan di peringkat kumpulan sehingga ke perlawanan akhir.
“Saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemain dalam usaha merampas kejuaraan pada kali ini yang juga banyak didorong oleh kesungguhan juru latih yang berpengalaman iaitu Encik Mohd. Idris Mohd. Shafi,” ujar beliau.
Idris (tengah) juru latih pasukan bola tampar lelaki dan wanita Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu. 
Dalam kejohanan pada kali ini pasukan bola tampar lelaki membenam cabaran pasukan bola tampar Tawau pada penentuan juara kumpulan seterusnya menjadi juara keseluruhan dalam perlawanan yang sengit sehingga membawa ke set penentuan. 
Sementara itu pasukan wanita juga tidak kurang hebatnya selepas berhempas pulas menentang cabaran pasukan Tawau dan akhirnya tunduk di set penentuan dan mendapat tempat ke dua dalam kejohanan tersebut.
Antara aksi perlawanan yang sempat dirakam
Juru latih pasukan Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu En. Idris Mohd. Shafi berkata, kejayaan pasukan ini bukan sahaja didorong oleh latihan dan disiplin yang konsisten dalam pasukan tapi semangat berpasukan dan kepercayaan antara pemain juga merupakan kunci utama kemenangan pada kali ini.

Sumber

Kegiatan sukan mampu tingkatkan kerjasama - SAPAWI


SAPAWI diperhatikan oleh Pengurus Kumpulan Kanan Sumber Manusia dan Perkhidmatan Koperat Kumpulan Yayasan Sabah Rosmawati Lasuki menyampaikan piala kepada ketua kontinjen Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu Dr. Karim Samsuri yang menjuarai kejohanan PESAWI ke-12
KOTA KINABALU: Kegiatan sukan mampu meningkatkan dan mengukuhkan semangat kerjasama yang sedia ada. Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata, sukan tidak hanya ditumpukan untuk mencapai kemenangan semata-mata tetapi ia juga perlu dilihat ke arah skop yang lebih luas.

''Jadikan sukan sebagai salah satu pentas untuk kita memperkukuhkan dan meningkatkan semangat kerjasama dan semangat kerja berpasukan.'' katanya pada majlis penutupan Pesta Sukan Antara Wilayah Kumpulan Yayasan Sabah di Kompleks Sukan Tun Adnan Yayasan Sabah di sini kemarin.

Beliau berkata, perbezaan jabatan dan anak syarikat tidak harus menjadi penghalang ke arah mewujudkan semangat kerjasama dan semangat kerja berpasukan.

Sama ada sebagai staf Yayasan Sabah atau Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) atau anak syarikat, katanya, semangat seumpama itu perlu diwujudkan dalam usaha menjadikan pemangkin kecemerlangan dalam kumpulan Yayasan Sabah.

KONTINJEN Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu merakamkan kenangan sejurus diumumkan menjuarai kejohanan tersebut.
Sehubungan dengan itu Sapawi memberitahu mereka yang gagal mencatatkan kemenangan dalam sukan itu tidak harus merasa kecewa sebaliknya terus memberikan sokongan semangat kepada mereka yang berjaya.

Katanya mereka yang berjaya dan akan mewakili Kumpulan Yayasan Sabah ke peringkat kebangsaan pula hendaklah terus berusaha meningkatkan prestasi masing-masing.

''Tiada sebab untuk kita merasa kecewa sebaliknya kita bertindak sebagai pemberi semangat kepada mereka yang berjaya pula hendaklah terus berusaha,'' katanya lagi.


Sumber