Selasa, 26 November 2013

Pemimpin 11 cabang PKR Sabah keluar parti, sokong BN


KUALA LUMPUR: Pemimpin 11 cabang PKR Sabah mengambil keputusan untuk keluar parti hari ini dan menyokong Barisan Nasional (BN).
Mereka terdiri daripada ketua cabang, timbalan ketua cabang dan ketua penerangan cabang parti itu dari Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Kalabakan dan Semporna.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di sini berkata mereka mengambil keputusan itu kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan PKR dan memberi kepercayaan kepada kepimpinan BN di peringkat nasional dan negeri.
Beliau berkata gelombang kedua akan berlaku tidak lama lagi apabila banyak lagi pemimpin PKR Sabah akan keluar parti dan menyokong BN.
“Dengan apa yang sudah berlaku dan akan berlaku bererti bahawa parti PKR di Sabah hampir lumpuh dan sebaliknya parti BN semakin kuat, semakin utuh dan semakin mendapat kepercayaan rakyat Sabah,” katanya.
Mereka yang hadir pada sidang media itu ialah Akhmain Sabtu (Ketua Cabang PKR Kudat), Anthony Mandiau (Ketua Cabang Kota Marudu), Juhani Abd Halim (Ketua Cabang Silam), Mohd Jun (Ketua Cabang Kalabakan), Mustapha Tambuyung (Ketua Cabang Kinabatangan), Lokman Ureh (Ketua Cabang Semporna), Timothy Lim (Ketua Cabang Sepanggar), Apandy Sipin (Ketua Cabang Pensiangan) dan Aris Remigius (Ketua Cabang Batu Sapi), Angki Addek (Timbalan Ketua Cabang Kota Marudu) dan Soloh Yuna (Ketua Penerangan Kota Belud).
Hanya wakil Beluran tidak hadir.
Turut serta ialah dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengisytiharkan keluar parti pada 4 Nov lepas iaitu Adun Matunggong Datuk Jelani Hamdan dan Adun Kedamaian Jeremy Malajad.
Najib berkata turut sama mengisytiharkan keluar parti pada hari ini ialah bekas anggota Parlimen Bandau Henry Madatang dan calon PKR Parlimen Papar pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Jomi Kamadan.
Beliau telah dimaklumkan banyak lagi dalam kalangan penyokong pemimpin-pemimpin PKR itu akan turut serta keluar parti dan memberi sokongan kepada BN.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada mereka atas keyakinan untuk mengalih sokongan kepada BN dan ini menggambarkan usaha kita untuk melakukan perubahan dan transformasi kepada negara khususnya Sabah, mendapat kepercayaan dan keyakinan mereka.
“Mudah-mudahan dengan ini BN akan dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Najib berkata tindakan mereka keluar parti tidak sekali-kali dipengaruhi BN.
“Tak mungkin, sebab mereka sudah hilang kepercayaan (kepada parti PKR), itu pokoknya,” katanya.
Ditanya sama ada PKR akan terus lumpuh dengan perkembangan itu, beliau berkata PKR akan cuba mengumpulkan semula kepimpinan parti itu di Sabah tetapi kekuatan sebenar parti terletak kepada pemimpin yang keluar PKR hari ini dan mereka yang bakal keluar parti.

Kes saman Antara UMNO, Mustafa Ali lalui proses mediasi

Mustafa ali
KUALA LUMPUR - UMNO dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali serta dua orang lagi hari ini bersetuju untuk merujuk kes saman fitnah berhubung penerbitan artikel yang mengaitkan UMNO dengan penyebaran video lucah di laman sesawang, secara mediasi.


Peguam Zulhazmi Shariff yang mewakili ketua pengarang laman portal HarakahDaily.net Zulkifli Sulong memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk John Louis O’Hara menetapkan 15 Januari untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan proses mediasi itu.
Pada 23 April lalu, UMNO memfailkan saman dengan menamakan Mustafa, peguam cara dan peguam bela bagi Mustafa, Asmuni Awi dan Zulkifli sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Writ tuntutan itu difailkan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh bagi pihak UMNO dan mendakwa Mustafa telah membuat memfitnah terhadap UMNO menerusi ceramah dan kenyataan yang kemudian diterbitkan menerusi laman portal www.malaysiakini.com dan HarakahDaily.net serta akhbar The Star.
UMNO memohon ganti rugi am, khas, teruk, teladan, faedah, kos, satu perintah injunksi menghalang defendan atau ejen mereka menerbitkan kata-kata fitnah itu terhadap UMNO dan perintah kesemua defendan menerbitkan permintaan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah.

Ahad, 24 November 2013

Bekas Presiden Parti Setia Sabah kena denda RM2.75 juta, penjara 18 bulan

KOTA KINABALU: Bekas Presiden sebuah parti politik di Sabah, Suaidin@Shuhaidin Langkab @ Langab (gambar), 63 dikenakan hukuman denda RM 2.75 juta dan 18 bulan penjara selepas Mahkamah memutuskan pihak pembelaan gagal untuk mematahkan anggapan permintaan dan penerimaan wang secara rasuah membabitkan dirinya.
Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Dean Wayne Daly, dalam hujah penghakimannya memutuskan pembelaan tertuduh bahawa wang ialah sebagai ‘earnest deposit’ tidak dapat diterima oleh Mahkamah berdasarkan keterangan-keterangan yang ada.
Bagi pertuduhan pertama tertuduh dikenakan hukuman 18 bulan penjara dan denda RM 2 juta manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh menerima hukuman penjara 12 bulan dan denda RM 750,000.00.
Hukuman penjara diarahkan berjalan serentak.
Suaidin ketika melakukan kesalahan merupakan Presiden Parti Setia Sabah telah dituduh pada 13 April 2012 membabitkan dua kesalahan meminta suapan di bawah Seksyen 10(a)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Tertuduh didakwa meminta suapan sebanyak RM 400,000 dan RM 150,000 daripada Chew Ai Wah sebagai dorongan kononnya sebagai bayaran kepada pegawai di Jabatan Tanah dan Ukur.
Bayaran tersebut adalah bagi menguruskan proses pengeluaran geran untuk Lot Tanah PT 80231840-PT80231842 dan PT 80231849-PT80231852 dalam Daerah Pitas Sabah.
Kesalahan tersebut dilakukan pada 28 Ogos dan 19 September 2008 di dua lokasi berbeza iaitu di Hotel Tang Dynasty, dan Restoran Penyu, Hotel Nexus, Karambunai Resort, Kota Kinabalu.
Pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Joyce Blasius dan Pegawai Pendakwa Awang Samsul Baharam manakala tertuduh diwakili peguam bela Zahir Shah.
Sepanjang perbicaraan berlangsung seramai 21 orang saksi pendakwaan dan lima saksi di peringkat pembelaan dipanggil.


Rabu, 20 November 2013

Kerajaan batal jangka hayat kenderaan 12 tahun

Putrajaya membatalkan hasrat untuk menetapkan had 12 tahun untuk kenderaan selepas menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang dan pemilik kenderaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk meneruskan cadangan itu.
“Saya mahu tegaskan, kami tidak mempunyai rancangan untuk memperkenalkan jangka hayat kenderaan untuk dilupuskan kerana kita tidak mahu menyusahkan orang ramai,” katanya menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR - Bayan Baru).
Cadangan itu dibantah keras oleh Sim dan rakan satu partinya Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang mendakwa, ini adalah percubaan Putrajaya untuk mendapatkan lebih banyak keuntungan melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan bermula pada April 2015.
Rafizi berkata, sebelum ini cadangan tersebut timbul pada ketika cukai eksais masih lagi tinggi sementara Darrell Leiking (PKR-Penampang) mendakwa masalah keselamatan harus diambil kira sebelum memperkenalkan polisi seperti itu.
Pemilik kenderaan yang kebanyakannya mengambil pinjaman sewa beli selama sembilan tahun untuk membeli kenderaan kerana cukai eksais terlalu tinggi turut membantah cadangan itu.
Cadangan itu timbul selepas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Datuk Dr Wong Shaw Voon, berkata kereta melebihi tempoh 12 tahun tidak selamat berada di atas jalan raya.
Putrajaya mendedahkan lebih 22 juta kenderaan kini berada di atas jalan raya dengan lima juta daripadanya melebihi 10 tahun.
Abdul Aziz berkata, langkah sudah diambil untuk menurunkan harga cukai jalan bagi kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin rendah.
Katanya, pengguna kenderaan di bawah 1,000cc hanya membayar RM20 bagi cukai jalan sementara mereka yang menggunakan kenderaan di antara 1,400cc dan 1,600cc hanya perlu membayar RM90.
“Sebarang penurunan lagi hanya akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Dalam sidang akhbar di lobi Parlimen kemudian, Abdul Aziz mengulangi kenyataannya bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk melaksanakan polisi itu buat masa ini.
“Ini tidak benar. Itu hanyalah spekulasi pembangkang,” katanya.
Ketika ditanya apakah kerajaan akan memperkenalkannya pada masa akan datang Abdul Aziz berkata: “Terpulang kepada rakyat.” – 21 November, 2013.


Penulisan kritikal dan membina dialu-alukan

Abidin (dua kanan) menyerahkan cenderakenangan
kepada salah seorang pengadil untuk pertandingan itu.
KOTA KINABALU: Penulisan kritikal dengan memberikan penjelasan mantap dan cadangan dengan teguran-teguran membina juga dialu-alukan.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Abidin Madingkir berkata dengan penambahbaikan berterusan dan sokongan daripada media, DBKK mampu terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada masyarakat.

“Saya juga ingin menyarankan pengamal media agar memahami bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang ada kalanya banyak bergantung kepada permasalahan dana kewangan dalam menyelesaikan sesuatu perkara khususnya yang melibatkan penyelenggaraan.

“Mengatasi isu kesesakan jalanraya dan rungutan tentang kekurangan tempat letak kereta di pusat bandaraya adalah menjadi fokus utama dalam DBKK,” katanya dalam majlis malam kewartawan DBKK baru-baru ini.

Ujarnya, perancangan terperinci mengenainya telah lama dibuat untuk penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

Katanya, ia bertujuan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di bandaraya ini, kini rancangan itu hanya menunggu untuk dilaksanakan.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu, DBKK telah menubuhkan satu jabatan baru iaitu Bahagian Pengangkutan dan Trafik bertujuan memberi tumpuan sepenuhnya berkenaan isu pengangkutan awam, penyediaan tempat letak kereta dan kesesakan jalanraya.

“Mesyuarat melibatkan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Infrastruktur serta jabatan lain sering diadakan bagi membincangkan bersama dan mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai isu-isu berhubung pengangkutan awam dan kesesakan di Bandaraya Kota Kinabalu.

“Saya juga berharap, pihak media terus memberikan liputan yang positif dan membangun kepada DBKK bagi membolehkan pihaknya mempertingkatkan lagi sistem penyampaian dan perkhidmatan DBKK,” ujarnya lagi.


Kerajaan lanjutkan tempoh bayaran bantuan kebajikan kepada dua tahun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah berhasrat melanjutkan tempoh pembayaran bantuan kebajikan kepada pemohon yang layak daripada setahun kepada dua tahun mulai Januari depan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid (gambar) berkata manfaat itu dilaksanakan untuk setiap permohonan baharu di bawah Skim Bantuan Kebajikan iaitu Skim Bantuan Am dan Skim Bantuan Anak Yatim yang dibiayai kerajaan negeri.
Katanya bagi bantuan kebajikan yang dibiayai kerajaan pusat, kementeriannya akan mencadangkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya turut memanjangkan tempoh itu kepada dua tahun supaya bantuan dapat diseragamkan.
“Pemanjangan tempoh berkenaan merupakan inisiatif baharu bagi membolehkan tumpuan kerja dapat diberikan kepada perkhidmatan kebajikan lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.
Di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri, beliau berkata kementeriannya menyalurkan bantuan negeri dan Persekutuan berjumlah lebih RM223 juta kepada 71,715 penerima setakat bulan ini.
Menurut Jainab, daripada jumlah itu kerajaan negeri menyumbang RM43 juta yang memberi faedah kepada 2,348 orang, manakala kerajaan pusat memberi lebih RM180 juta untuk 48,504 penerima.
Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik cadangan menjadikan kawasan berhampiran bangunan Wisma Wanita di Jalan Tuaran dekat sini sebagai satu daripada terminal bas bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di pusat bandar.
Ketika mengalu-alukan cadangan Christina Liew (PKR-Api-Api) ketika membahaskan Bajet Negeri 2014 pada persidangan DUN itu, beliau berkata pengwujudan sebuah terminal bas di kawasan berkenaan secara tidak langsung akan memberi kesan baik kepada aktiviti di Wisma Wanita dan kawasan sekitarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata cadangan itu memerlukan kajian lanjut oleh pihak berkaitan mengenai kesesuaian kawasan itu dijadikan terminal bas.


JPNIN lantik 44 orang mediator komuniti bagi selesaikan isu setempat yang wujud

March, 3, 2013 - 6:41 am

KOTA KINABALU:  Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah telah melantik seramai 44 orang mediator komuniti untuk  menyelesaikan isu yang wujud di seluruh Sabah.
Pengarah JPNIN,  Nurul Akmalina Shamsuddin berkata semua mediator komuniti itu adalah sukarelawan tanpa mendapat sebarang bayaran ke atas kerja-kerja mereka.
Katanya, mereka berperanan untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan negeri dan persekutuan dan menyelesaikan konflik yang wujud di peringkat akar umbi.
“Saya menyeru kepada semua mediator agar dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh komited dan profesional,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Ketua Menteri disini baru-baru ini.
Nurul berharap peranan yang dijalankan itu dapat diteruskan untuk membantu kerajaan negeri selesaikan perbalahan dan masalah yang wujud di kawasan masing-masing.

Menurutnya, masalah yang wujud selalunya adalah seperti masalah perebutan pakir kereta di perumahan, dan juga perbezaan ideologi yang melibatkan emosi dan boleh mencetus ketegangan.
“Keadaan sedemikian dan masalah lain perlu diselesaikan agar ianya tidak menjadi virus dalam komuniti itu,” jelasnya.
Katanya, terdapat hampir 100 orang yang memohon menjadi mediator komuniti di Sabah tetapi hanya 44 orang sahaja dipilih kerana lulus dalam ujian empat peringkat yang diberikan kepada mereka.
“Mereka akan diperhatikan oleh badan yang dilantik JPNIN untuk melihat sama ada mereka mampu menyelesaikan isu dalam keadaan tenang tanpa dipengaruhi oleh emosi.
“Mereka yang gagal adalah mereka yang tidak dapat capai ke peringkat ke empat dalam latihan yang diberikan,” tambahnya.


Ahad, 17 November 2013

Pegawai JPN antara 19 ditahan sindiket ‘IC Palsu’

TAWAU: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPD Tawau berjaya membongkar kegiatan sindiket ‘IC Palsu’ yang disyaki didalangi oleh seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bergiat aktif di sekitar Pantai Timur negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Keong Ho Eng, berkata kejayaan itu merupakan tangkapan terbesar yang direkodkan melibatkan kes-kes penipuan dokumen pengenalan diri oleh pihak JSJK di Tawau sepanjang tahun ini.



“JSJK telah menahan seramai 16 individu di sebuah hotel di sini pada 25 Mei lalu kira-kira jam 11 malam dalam serbuan yang diketuai oleh Inspektor Siva Prakash di sebuah bilik hotel berkenaan,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau di sini kelmarin.

Beliau menjelaskan bahawa penangkapan 16 individu terbabit termasuk seorang wanita itu turut membawa kepada tiga lagi penahanan susulan.

Tambahnya, tiga individu terlibat termasuk pegawai JPN terbabit ditangkap dalam tempoh di antara 26 hingga 28 Mei lepas dan lima daripada mereka yang ditangkap telahpun didakwa di Mahkamah Tawau dan Lahad Datu.

“Pegawai berusia 52 tahun itu termasuk seorang lagi suspek didakwa di Mahkamah Lahad Datu, manakala tiga orang lagi yang terdiri daripada dua lelaki Semenanjung dan seorang lelaki tempatan didakwa di Tawau,” katanya.
Mengenai serbuan di hotel berkenaan, pihak polis mendapati sindiket terbabit sedang menguruskan hal-hal pendaftaran pemprosesan dokumen palsu mangsa-mangsa mereka yang dipercayai terdiri daripada warga asing.

Beliau menjelaskan hasil siasatan lanjut juga mengesahkan bahawa sembilan daripada individu terlibat merupakan lelaki warga Malaysia, lapan lelaki warga Pakistan, seorang lelaki berketurunan Jawa Indonesia dan seorang wanita warga Filipina.

Menurutnya, JSJK turut merampas sebuah beg, 107 borang pendaftaran membuat MyKad (belum berisi), lima borang yang dilengkapi cap jari dan gambar, sembilan sijil lahir, dua borang Bantuan Rakyat 1Malaysia, satu ‘stampad’, lima buku cek dan wang tunai RM1,000.

“Modus operandi sindiket ini kita percaya berorientasikan penawaran dokumen berbentuk MyKad asli dan meminta mangsa-mangsa mereka supaya menyerahkan duit di antara RM1,000 – RM5,000, gambar, sijil lahir (jika ada) dan cap jari.

“Malah, sindiket ini juga dipercayai menggunakan jawatan lelaki terbabit sebagai pegawai JPN di Putrajaya dan menggunakan borang-borang pendaftaran yang asli untuk menyakinkan orang ramai supaya mempercayai kegiatan mereka adalah sah di sisi undang-undang.

“Kita percaya mereka bergiat aktif di sekitar daerah Tawau, Lahad Datu dan Semporna, bagaimanapun setakat ini belum ada seorangpun mangsa penipuan sindiket ini yang tampil untuk membuat laporan di Semporna,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai khususnya mangsa-mangsa penipuan sindiket terbabit agar tampil membuat laporan polis bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap anggota sindiket berkenaan.

Beliau berkata, pihak polis juga telah mendapatkan kepastian daripada pihak JPN berhubung status pegawai JPN terbabit yang difahamkan sedang bercuti dan anggota sindiket itu menjalankan proses pendaftaran di luar pejabat JPN sebagai mencurigakan.

Difahamkan, siasatan dan pendakwaan kes itu dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Golongan muda pulihara warisan budaya

Asmat menyampaikan hadiah kepada para peserta pertandingan
KUDAT:  Ketamadunan sesuatu  bangsa  bergantung dengan keunggulan budaya bangsa itu sendiri.

Penolong Pegawai Tadbir (DDO) En. Asmat Mandin berkata dan menyeru semua lapisan masyarakat martabatkan warisan budaya agar ia terus terpulihara dan menjadi  khazanah berharga warisan turun temurun.

Katanya, setiap bangsa mempunyai budaya warisan masing-masing dan sudah pasti ia akan menjadi kebangaan bangsa itu sendiri.
Peserta pertandingan Betitik
“Namun jika tiada usaha meneraju dan pengerak untuk memuliharanya warisan ini sudah pasti budaya bangsa tersebut sukar dipertahankan mahupun dibanggakan’” katanya ketika mewakili Menteri Tugas-tugas Khas YB Datuk Teo Chee Kang merasmikan Program Klinik Betitik anjuran Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah Bahagian Kudat bertempat di Kg. Parapat Laut baru-baru ini.
Asmat bergambar bersama peserta-pesrta program
Hadir sama ialah Pegawai Belia Dan Sukan Kudat En. Matrudin Baluan, Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Pengerusi Persatuan Belia Kg. Parapat Laut dan masyarakat setempat.
Ujarnya, program itu amat penting bukan sekadar sebagai salah satu daya tarikan sektor pelancungan yang  mengiatkan ekonomi, sosial dan pembangunan daerah Kudat,  malah melaluinya  penglibatan golongan muda dapat digerakkan untuk sama-sama  terlibat ke arah pemuliharaan warisan budaya khususnya melalui seni muzik betitik.

Suterabayu.






Jumaat, 15 November 2013

Kenakan tindakan - SPRM terhadap pegawai kerajaan buat keputusan rugikan rakyat dan negara

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan satu undang-undang baharu digubal bagi mengenakan tindakan terhadap penjawat awam yang membelakangkan kepentingan awam sehingga merugikan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, perkara itu dilihat perlu kerana skop Seksyen 23 Akta SPRM yang diguna pakai sekarang agak kecil.

"Seksyen ini hanya mengkhususkan kepada proses pembuatan keputusan kepada mana-mana pihak yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan individu tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Khas Sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM ke-46, di sini hari ini.

Menurutnya, undang-undang baharu itu dilihat perlu memandangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara terdapat beberapa keputusan yang diambil oleh pegawai kerajaan mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara.

Dengan adanya undang-undang baharu itu, SPRM akan dapat mendakwa individu yang membelakangkan kepentingan awam sehingga menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada rakyat, katanya.

Beliau berkata, SPRM telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara serta pihak yang berkaitan mengenai cadangan itu.


Sementara itu, Abu Kasim berkata, SPRM telah mengemukakan cadangan pindaan undang-undang kepada Peguam Negara untuk mengenakan tindakan ke atas anggota lembaga pengarah syarikat yang membenarkan perlakuan rasuah dalam syarikatnya.

"Kita cadangkan perkara ini jadi satu kesalahan kerana kita nak mengubah budaya dalam masyarakat kita bahawa selain daripada yang menerima dan yang memberi, pihak yang membenarkan pemberian itu juga bertanggungjawab atas kesalahan tersebut," katanya.

Sambutan ulang tahun dengan tema 'Transformasi Menjana Kenggulan' itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Shukri Abdul.

Pada majlis itu, Abu Kassim turut berucap dan berhubung melalui telesidang dengan warga SPRM di seluruh negara. 


- BERNAMA


Insiden larikan kereta polis di Maran – Selepas tembak [mati], polis terpaksa berbohong?

Dakwaan polis sebelum ini, seorang lelaki yang bertindak menyerang anggota polis sebelum merampas sepucuk pistol dan melarikan kenderaan peronda polis di susur keluar Tol Chenor Lebuh Raya Pantai Timur, Maran.
Suspek, 22 tahun bertindak melepaskan empat das tembakan secara rambang keluar dari kenderaan yang dilarikannya.
Suspek menyerang menggunakan kunci tambahan motosikal berbentuk U yang berada di dalam raga motosikalnya.
“Suspek kemudian melarikan kenderaan polis yang tidak dimatikan enjinnya ke arah Pekan Awah. Suspek membawa kenderaan tersebut berlegar-legar di sepanjang jalan utama Pekan Awah-Chenor dan ketika itu suspek melepaskan empat das tembakan secara rawak ke arah luar kereta, namun tidak mengenai sesiapa,”
“Pihak polis menggunakan kenderaan polis lain mengekori kereta polis yang dilarikan suspek dan usaha memujuk juga dilakukan dengan bantuan keluarga suspek tapi gagal,”
“Pihak polis terpaksa memecahkan cermin belakang kenderaan itu bagi mengeluarkan suspek yang cedera di kepala dan tidak sedarkan diri.
“Suspek kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut menggunakan kenderaan polis,” kata Ketua Polis Daerah Maran Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid.
Lain pula cerita bapa lelaki tersebut hari ini. Bapanya mungkin akan mengambil tindakan mahkamah. Ini kerana laporan bedah siasat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) menunjukkan anaknya meninggal dunia kerana kecederaan di kepala akibat ditembak.
Bapanya menolak dakwaan polis anaknya meninggal dunia akibat hentakan kepala di stering kereta.
“Saya tanya mereka sama ada Angah lepaskan tembakan dan diberitahu Allahyarham tidak berbuat demikian. Sebaliknya anggota polis lepas tembakan ke arah tayar kereta tetapi tidak kena,” kata bapa mangsa Abdul Nasir Abdullah.
Amat berbeza dengan cerita polis di atas. Siasatan lanjut perlu dilakukan dan jangan biar polis yang siasat polis!!

Pengurus restoran nafi guna najis manusia

Perniagaan nasi kandar di Jalan Yang Kalsom di sini dikenakan notis Perintah Tutup Premis Makanan selama 14 hari kerana melanggar syarat di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 berkaitan kebersihan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kinta (Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan) mulai hari ini. - Foto Bernama

IPOH - Pengurus Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di Jalan Yang Kalsom di sini hari ini menyangkal keras dakwaan restorannya ditutup susulan penemuan najis manusia di dalam peti simpanan makanan di premis itu.
   
Mohd Nihmatullah Syed Mustaffah berkata perkara itu yang disebar menerusi laman sosial sejurus selepas notis penutupan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan petang semalam, merupakan fitnah yang bertujuan menjejaskan perniagaannya.
   
"Adakah najis orang kita boleh masak? Kenapa cemburu selepas 55 tahun saya berniaga di sini?," katanya kepada pemberita di sini.
   
Sambil menegaskan penutupan selama dua minggu sehingga 28 Nov itu atas faktor kebersihan, beliau berkata pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut mendakwa najis terbabit untuk disalut di sekeliling periuk.
   
"Kalau ada bukti (saya berbuat demikian) keluarkanlah...," katanya menambah perbuatan tersebut turut menjejaskan imej Perak yang sinonim dengan nasi kandar restorannya yang dikenali sebagai 'nasi ganja'.

Banyak orang kenamaan termasuk menteri dari luar negara datang menjamu selera di sini, justeru bayangkan apa perasaan mereka jika terbaca dakwaan yang dibuat itu, katanya.
   
Mohd Nihmatullah, 59, juga menegaskan hanya restorannya ditutup manakala Restoran Vanggey di Greentown yang turut menjual nasi kandar beroperasi seperti biasa.
   
Restoran Vanggey juga milik keluarga saya, katanya.
   
Beliau berkata, restorannya dijangka beroperasi semula Ahad atau Isnin ini selepas Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan susulan.
   
Restoran terbabit diarah tutup selama dua minggu bermula semalam kerana gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.
   
Notis perintah tutup premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Abdul Rahman Ismail, dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. - Bernama

Khamis, 14 November 2013

KPN sahkan insiden bunuh, culik di Semporna

Khalid Abu Bakar
JOHOR BAHRU - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan laporan kejadian culik dan bunuh membabitkan dua pelancong China, dipercayai suami isteri, di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah awal pagi ini.
   
Beliau berkata, polis sedang giat memburu kumpulan lelaki bersenjata yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu.
   
"Kejadian melibatkan seorang pelancong lelaki warga China yang ditembak mati, manakala seorang lagi pelancong wanita yang kita percayai isteri mangsa telah dilarikan oleh kumpulan lelaki berkenaan," katanya.
   
Beliau berkata, demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor Bahru di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
   
Difahamkan kedua-dua mangsa menginap di resort di pulau berkenaan bermula Selasa lepas dan dijangka mendaftar keluar Rabu depan.

Rabu, 13 November 2013

Borang Permohonan BR1M 3.0 Online 2014 Dibuka Disember 2013 Ini. Berminat Daftar?

Borang permohonan BR1M 3.0 : Berita Semasa antara yang terawal mewarwarkan jumlah agihan bagi BR1M 3.0 kali ini dengan tepat sebelum pembentangan Bajet 2014 lagi .
Berdasarkan pengumuman Bajet 2014 di sini, nilai pemberian BR1M 3.0 Bajet 2014 telah pun dinaikkan dan diperluaskan kelompok penerimanya. Ini semua dilakukan dengan bagi mengekang sedikit sebanyak kemungkinan kenaikan harga barang dan kadar inflasi berikutan pengumuman cukai barangan dan perkhidmatan (GST) & kenaikan harga minyak sebelum ini…..

Permohonan BR1M 3.0 Terbuka Kepada 3 Kelompok :

Isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah :
  • Nilai pemberian BR1M 3.0 RM650
  • Caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia @ iBR1M RM50
Isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 – RM4,000 :
  • Nilai pemberian BR1M 3.0 RM450
  • Caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia @ iBR1M RM50
Individu bujang yang bekerja & berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah :
  • Terima BR1M 3.0 sejumlah RM300
  • Caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia @ iBR1M RM50
Yang menariknya kali ini, kesemua penerima BR1M 3.0 akan terima Caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia @ iBR1M bernilai RM50 yang akan melindungi anda, anda semua di sini dengan perlindungan maksimum sehingga RM30,000 sekiranya berlakunya kematian atau hilang upaya kekal

Syarat Borang Permohonan BR1M 3.0 Online 2014?

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur 21 Tahun Ke Atas
  • Isi Rumah Berpendapatan Bulanan RM4,000 & ke bawah
  • Indovidu Bujang & Bekerja di mana berpendapatan bulanan RM2,000 & ke bawah

Borang Permohonan BR1M 3.0 2014 Secara Online & Offline?

Untuk makluman anda, borang permohonan BR1M 3.0 2014 online & offline boleh didapati secara mudah melalui :
  • kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) : www.hasil.gov.myebr1m.hasil.gov.my
  • pejabat Pembangunan negeri dan pejabat daerah
  • Jabatan Pembangunan Persekutuan
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat
  • Jabatan Penerangan serta agensi kerajaan
Untuk sebarang pertanya lanjut mengenai borang permohonan BR1M 3.0 anda boleh hubungi br1m3@treasury.gov.my or call the hotline 1-800-222-50
borang br1m 3.0
Dan berdasarkan semakan maklumat terbaru yang diterima Berita Semasa daripada pihak LHDN yang mana mereka sendiri telah pun dalam keadaan bersiap sedia untuk mula buka pendaftaran borang permohonan BR1M 3.0 online @offline 2014 bermula Disember 2013 ini.
BR1M 3.0 terus diperkenalkan kepada rakyat Malaysia termasuk anda, anda di sini bagi mengurangkan impak lonjakan kos sara hidup di Malaysia ketika ini. Berapa ramai di sini layak dan berminat menghantar borang permohonan BR1M 3.0 2014?

PENJELASAN DATUK SITI NURHALIZA ISU ‘TEGUR’ KHAIRY JAMALUDDIN


Semalam, Datuk Siti Nurhaliza menerusi laman Twitter miliknya, @CTNurhaliza11 mengkritik Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan berkata: “Sebagai menteri muda & being look up (menjadi perhatian), rasanya @Khairykj perlu menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Lantang tak perlu **a*** dengan yang lebih tua.”
Tindakan Datuk Siti telah mengundang pelbagai persepsi peminat dan pihak media. Ada yang menyokong dan ada yang mengkritik tindakannya pula. Ada juga peminat yang menasihatkan Datuk Siti agar tidak mencampuri urusan menteri berkenaan. Selain itu, peminat yang menyokong Khairy turut mempersendakan tindakan Siti kerana mereka menggangap Siti tidak mengetahui perkembangan semasa atau permasalahan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun menerusi laporan Kosmo!, Datuk Siti tampil menjelaskan tujuan dia bersuara.  Jelasnya, dia terpanggil untuk membuat teguran itu setelah membaca laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Khairy Jamaluddin yang membidas bekas kapten skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir supaya tidak campur tangan dalam kemelut menteri itu dengan FAM. Penyanyi itu bagaimanapun, menyatakan tegurannya menerusi Twitter terhadap Khairy Jamaluddin itu adalah sekadar teguran ikhlas.
“Teguran saya itu dibuat secara ikhlas tanpa ada kepentingan apa-apa. Apabila saya membaca kenyataan beliau dalam akhbar, sebagai orang biasa, saya terpanggil untuk membuat teguran. Kalau boleh, saya enggan perkara ini menjadi kontroversi disebabkan saya ini seorang artis. Saya meletakkan diri sama seperti rakyat biasa dan percaya mesti ada orang lain yang turut memberi teguran sama,” jelasnya dalam laporan tersebut.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin enggan mengulas mengenai isu tersebut.

Isnin, 11 November 2013

Dendam dipercayai punca pegawai Jaip dibunuh

Jenazah Raflie Abdul Malik dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat selepas ditembak dari jarak dekat di hadapan rumahnya di Taman Indera Mahkota Dua, Pahang - Foto Bernama
KUANTAN - Polis Pahang percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Mohd Raffli Abdul Malik yang ditembak semalam bermotifkan dendam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani berkata, polis percaya tiga suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan tersebut mungkin berdendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.

"Bagaimanapun, polis sedang menyisasat dari pelbagai sudut sama ada ancaman di atas penguatkuasaan yang dijalankan arwah terhadap kes berisiko tinggi atau ada ancaman peribadi," katanya kepada pemberita selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Bukit Ubi di sini hari ini.

Katanya, selain itu polis turut memberi kawalan keselamatan terhadap waris mangsa bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang ancaman daripada pihak yang mungkin berdendam dengan mangsa.

"Pihak keluarga diminta bertenang dan banyakkan bersabar dengan dugaan ini, polis tidak akan sesekali memberi ruang kepada mereka yang terlibat dan kita akan buru suspek hingga ke lubang cacing," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar kediaman penjawat awam yang bertugas sebagai penguatkuasa ditempatkan dalam sebuah kawasan bagi menjamin keselamatan mereka ekoran tugas mereka sangat berisiko dan terdedah terhadap pelbagai ancaman.

"Kerja sebagai penguatkuasa ini berdepan dengan bahaya, kadang-kadang kita tidak tahu ada musuh dalam selimut jadi untuk keselamatan mereka terjamin elok di tempatkan sebuah kuarters yang mempunyai kawalan keselamatan yang baik," katanya.

Beliau juga dalam pada itu menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut atau menuding jari kepada mana-mana pihak.

"Hasil siasatan awal semalam mendapati suspek bukan berjubah tetapi memakai pakaian berwarna putih dan berbaju serta berseluar hitam selain memakai kopiah.

"Kita tidak boleh membuat sebarang andaian atau menyiasat menjurus melalui pakaian sahaja, siasatan mendalam dan terperinci sangat diperlukan.

Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta segera memaklumkan kepada pihak polis," katanya.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Abdul Malik Awang Yen, 79, ketika ditemui berkata Allahyarham yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik sangat baik dan berbudi bahasa orangnya. 

"Saya sungguh terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada cucu saya (anak arwah) lebih-lebih lagi bila diberitahu arwah ditembak. Saya sungguh sedih namun reda dengan ketentuan ilahi," katanya dan menurutnya kali terakhir dia berjumpa arwah pada Jumaat lepas di Indera Mahkota.

Mohd Raffli, 49, maut selepas ditembak tiga das oleh seorang daripada tiga suspek yang datang berjumpanya tengah hari semalam di kediamannya di Indera Mahkota 2 di sini.

Suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback warna putih.


Bernama