Khamis, 20 Februari 2014

Persatuan Aduan Rakyat Bantah Kenaikan Caj Pemprosesan Cek

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Persatuan Aduan Rakyat, sebuah badan bukan kerajaan, membantah kenaikan caj tambahan yang dikenakan bank-bank tempatan untuk pemprosesan cek dengan kadar baharu 50 sen kerana membebankan pengguna.

Presidennya Datuk T.Murugiah berkata beliau berharap Kementerian Kewangan serta Bank Negara mengkaji semula kenaikan mendadak ini yang membawa pelbagai masalah terutama kepada sektor perniagaan.

"Kenaikan kepada 50 sen daripada 15 sen sebelum ini dianggap perkara yang mengejutkan rakyat terutama para peniaga," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Murugiah berkata beliau menerima lebih 100 aduan dari seluruh negara yang membantah kenaikan itu yang akan berkuat kuasa 1 April ini.

Katanya satu memorandum akan disampaikan kepada kerajaan memohon agar kenaikan itu ditangguhkan sementara bagi mencari jalan penyelesaian.

Beliau juga tidak bersetuju dengan inisiatif bank tempatan menggalakkan rakyat menggunakan bayaran elektronik (e-pembayaran).

"Sistem talian ini tidak bersesuaian terutama kepada peniaga kecil untuk menggunakan internet bagi membuat urusan pemprosesan cek dan perbankan," tegasnya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan