Khamis, 12 Jun 2014

Sabah Sunset Music Festival Simpang Mengayau Kudat


KOTA KINABALU, 12 Jun -- Dua belas artis tempatan dan antarabangsa akan memeriahkan Festival Muzik Matahari Terbenam (Sunset Music Fest) anjuran Pejabat Pelancongan Sabah Malaysia di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat pada 20 dan 21 Jun ini.

Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Irene Charuruks berkata festival yang bermula pada jam 5 petang itu akan menampilkan persembahan artis seperti Syafinaz Selamat, Rhythm of Borneo, Rey Kimara dan Orkestra Pop Filipina(Philpops).


Sempena festival itu, pelbagai acara menarik disusun termasuk pertandingan perahu naga, pertandingan memasak masakan tradisional, persembahan melukis batik dan pertandingan membuat kraftangan berasaskan kelapa dan banyak lagi katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Irene berkata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun dijangka hadir memeriahkan acara tersebut.

Tiket bagi sehari berharga RM50 dan dua hari RM80 yang boleh diperolehi di Pejabat Tourism Malaysia Sabah dan Sri Pelancongan di talian 088-232121 atau laman web www.sunset musicfest.my.



(Bernama)

Selasa, 3 Jun 2014

Festival Kudat 2014 janji kelainan gamit pengunjung dan pelancong


KUDAT- Sambutan Festival Kudat 2014 yang akan berlangsung pada 19hb. hingga 23hb. Jun 2014 akan menjanjikan kelainan dan keunikan dengan beberapa acara menarik yang pastinya akan menggamit kehadiran pengunjung dan pelancong dalam dan luar ke daerah paling utara negeri Sabah ini.

Sapdin Ibrahim
Bercakap ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sambutan Festival Kudat 2014, En. Sapdin Ibrahim Pegawai Daerah Kudat mahukan sambutan pada kali ini mengetengahkan keunikan dengan kepelbagaian budaya, pameran, hiburan dan masakan tradisional masyarakat setempat bagi menonjolkan keunikan dan identiti yang ada di daerah Kudat, katanya.

Pada mesyuarat itu juga beliau turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan, swasta, NGO dan individu yang turut sama menjayakan sambutan Festival Kudat 2014 pada kali ini.





Festival yang berlangsung selama lima hari ini yang akan dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah akan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan artis-artis terkemuka dan artis tempatan seperti Pija Mentor, Den Bisa dan Ampal serta ramai lagi.

Antara yang hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Festival Kudat 2014

Antara acara-acara Festival Kudat 2014 seperti Semarak 1MALAYSIA anjuran bersama Jabatan penerangan Malaysia, Sabah, Pertandingan Lumba Perahu Naga, Karnival Makanan Laut, Pertunjukan Layang-Layang, Pertandingan Battle Of The Band, Sunset Music Fest,  Pertandingan Masakan Tradisional, Pertandingan Hasil-Hasil Pertanian, Haiwan dan Akuakultur, Pertandingan Hasil Kraftangan dari Kelapa, Pertandingan Aneka Bakat, Pertandingan Orang Kuat, Pertandingan Tarik Tali, Pertandingan Baju Tradisi Kreatif, Pertunjukan Melukis Batik, Pertunjukan Bunga Api dan akan diakhiri dengan Konsert Islam dengan penampilan khas Nazri Raihan.



Suterabayu Kudat




Ahad, 18 Mei 2014

Persatuan Seni Kreatif Sabah KYS di Pelancaran Sambutan Hari Belia Negeri Sabah 2014

Musa Aman Ingati Belia Jangan Terikut-ikut Golongan Bawa Porak-Peranda


Belia hindari golongan bawa porak-peranda - Musa
RANAU, 17 Mei -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan golongan belia supaya menghindarkan diri serta tidak terikut-ikut dengan tindak-tanduk golongan tidak bertanggungjawab yang cuba memporak-perandakan masyarakat kerana ia membawa natijah tidak baik kepada semua pihak.

Beliau sebaliknya mengajak golongan belia yang mewakili 41 peratus daripada keseluruhan penduduk Sabah supaya terus menyokong dan bersama-sama dengan kerajaan bagi menjayakan pelbagai program dan aktiviti yang diperkenalkan untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat khususnya para belia.

"Kita mahukan keaamanan, makmur dan hidup sentosa. Kita ingin melihat rakyat terus hidup tenteram tanpa rasa takut. Inilah harapan kerajaan dan ibu bapa," katanya ketika merasmikan pelancaran sambutan Hari Belia peringkat negeri di Kompleks Sukan Ranau di sini Sabtu.


Beliau turut merasmikan pembukaan kompleks tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin.

Menurutnya, kerajaan amat memahami hasrat serta aspirasi golongan belia dan akan terus berusaha memberi ruang kondusif dan peluang kepada kumpulan berkenaan untuk memajukan diri berdasarkan kencenderungan masing-masing dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi memudahkan mereka mengambil bahagian.


Musa berkata komitmen tinggi kerajaan untuk membangunkan potensi belia yang merupakan pelapis kepimpinan negara masa depan, termasuk menyediakan peruntukan besar yang meningkat setiap tahun kepada pelbagai kementerian dan agensi bagi menjayakan pelbagai program seperti kemahiran dan keusahawanan untuk belia.

Beliau berkata pada masa lalu, peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah cuma sekitar RM10 juta namun bagi tahun 2014, kerajaan memperuntukkan hampir RM100 juta atas kesedaran mengenai pentingnya peranan belia dalam pembangunan negara.


Sebahagian peserta penerima Anugerah Hari Belia 2014 Sabah
Mengenai kompleks sukan tersebut yang dibina sejak 2007 melalui tiga fasa dengan kos keseluruhan RM37 juta, katanya kerajaan sanggup berbelanja besar untuk membangunkan kompleks berkenaan sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap kehendak dan keperluan belia.

Musa turut menyampaikan anugerah kepada individu dan persatuan yang telah berjaya serta banyak berjasa dan menyumbang kepada pembangunan belia dan masyarakat dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang keusahawanan, kerja kesukarelaan dan kewartawanan.

Persatuan Seni Kreatif Sabah KYS dan peserta pertunjukan motor bike turut serta memeriahkan sambutan
Sementara itu Tawfiq berkata sambutan Hari Belia Negeri Sabah tahun ini yang bertemakan 'Dari Belia Untuk Belia' membawa kelainan apabila sambutannya tidak lagi tertumpu di kawasan bandar utama sahaja sebaliknya turut disambut di daerah kecil di kawasan pedalaman. Katanya selain di Ranau, sambutan akan turut diadakan di Kudat, Tawau, Beaufort, Papar, Keningau, dan Sandakan.




Selasa, 29 April 2014

Persatuan Seni Kreatif Sabah sambut baik Promosi Kraf Malaysia 2014

KRAF CERMIN BUDAYA DAN SENI IDENTITI KEPADA SESUATU BANGSA

Julie Sabran
KOTA KINABALU: Selaras dengan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang kaya dengan budaya, penekanan yang lebih harus diberi kepada pembangunan budaya, seni dan warisan kepada generasi belia. 

Penekanan ini adalah selaras dengan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dalam membangun modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berdaya saing dari segi ekonomi, tetapi juga berketerampilan progresif dan bernilai murni termasuk nilai budaya positif. 

Industri berkaitan kebudayaan, kesenian dan warisan terutamanya kraf juga adalah digalakkan sebagai satu sumber pertumbuhan ekonomi kepada golongan belia. Kata Puan Julie Sabran EXCO Puteri UMNO Malaysia, Biro Kebudayaan & Warisan, Puteri UMNO Malaysia merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Beluran ketika dihubungi mengulas lebih lanjut lawatan Persatuan Seni Kreatif Sabah ke pejabat dan tapak pameran sempena Promosi Kraf Malaysia 2014 anjuran Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah baru-baru ini.




Menurutnya lagi selaku Penasihat kepada Persatuan Seni Kreatif Sabah, kesungguhan kerajaan untuk memastikan industri kraf negara terus unggul dan berkembang diterjemahkan melalui peruntukan yang besar untuk industri kraf, sehubungan dengan itu saya menggesa Persatuan Seni Kreatif Sabah supaya memainkan peranan penting bagi meningkatkan kesedaran dan minat terhadap perusahaan kraf tempatan di kalangan persatuan khususnya dan golongan belia bumiputera minoriti Sabah amnya dalam menggiat dan membangunkan produk kraf yang berkualiti dan berorientasikan pasaran serta memperluas saiz pasaran produk tempatan. Katanya.



Golongan belia hari ini harus menepis persepsi masyarakat yang beranggapan bahawa industri seni kreatif khususnya kraf bukanlah bidang kerjaya yang tidak menjamin pendapatan yang tetap. Kurangnya kesedaran terhadap kepentingan industri kreatif yang berkait rapat dengan industri pelancongan dalam kalangan masyarakat merupakan antara isu yang dihadapi oleh pengiat seni kreatif di negeri ini. Kata Abidin Mohd. Alam Pengerusi Persatuan Seni Kreatif Sabah.



Masyarakat sering memandang rendah kepada mereka yang terlibat dalam bidang ini. Malah, masyarakat beranggapan bahawa bidang ini tidak mempunyai nilai ekonomi dan komersial yang tinggi. Dengan adanya sokongan dan penggalakan daripada beberapa agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia adalah diharapkan belia hari ini lebih proaktif dalam memajukan sektor pelancongan menerusi industri kraf tempatan. Katanya lagi.


Persatuan Seni Kreatif Sabah.


Khamis, 20 Februari 2014

Persatuan Aduan Rakyat Bantah Kenaikan Caj Pemprosesan Cek

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Persatuan Aduan Rakyat, sebuah badan bukan kerajaan, membantah kenaikan caj tambahan yang dikenakan bank-bank tempatan untuk pemprosesan cek dengan kadar baharu 50 sen kerana membebankan pengguna.

Presidennya Datuk T.Murugiah berkata beliau berharap Kementerian Kewangan serta Bank Negara mengkaji semula kenaikan mendadak ini yang membawa pelbagai masalah terutama kepada sektor perniagaan.

"Kenaikan kepada 50 sen daripada 15 sen sebelum ini dianggap perkara yang mengejutkan rakyat terutama para peniaga," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Murugiah berkata beliau menerima lebih 100 aduan dari seluruh negara yang membantah kenaikan itu yang akan berkuat kuasa 1 April ini.

Katanya satu memorandum akan disampaikan kepada kerajaan memohon agar kenaikan itu ditangguhkan sementara bagi mencari jalan penyelesaian.

Beliau juga tidak bersetuju dengan inisiatif bank tempatan menggalakkan rakyat menggunakan bayaran elektronik (e-pembayaran).

"Sistem talian ini tidak bersesuaian terutama kepada peniaga kecil untuk menggunakan internet bagi membuat urusan pemprosesan cek dan perbankan," tegasnya.

-- BERNAMA

Isnin, 10 Februari 2014

Rahsia Hari Lahir & Tabiat Wanita Menurut Tajul Muluk



Tajul Muluk begitu sinonim dalam astrologi zaman silam, khususnya dalam masyarakat Melayu dalam menafsirkan watak-watak wanita, mimpi, hari yang baik dan terjemahan lain dalam kehidupan sehari-hari. Kini, kitab Tajul Muluk yg pernah terkenal suatu ketika dahulu amat sukar dicari. Namun cebisan ilmunya masih diperturunkan oleh mereka yang arif mengenainya. Ia adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

Di sini diperturunkan tafsiran dari Kitab Tajul Muluk mengenai tabiat wanita dalam seminggu hari kelahiran mereka.

ISNIN
Wanita ini bersikap jujur, tidak mudah menggelabah atau panik, berhati-hati, tidak mudah mengalah, pandai menjaga diri dan pergaulan. Ramai teman lelaki dan wanita yang menyukainya. Dia juga mudah memberi pertolongan, cergas, berusaha kuat, teliti dan pandai menguruskan kewangannya. Namun jika marah berapi-api dan menakutkan, jarang mahu mengaku kalah dalam pertengkaran. Dalam percintaan, dia mencurahkan kesetiaan tidak berbelah bagi dan sedia berkorban. Seksualnya kurang membara melainkan pasangannya pandai mencari tempat rangsangannya.


SELASA
Tabiat wanita ini suka mencari salah orang lain dan berpotensi menduakan suami. Namun pertuturannya lembut dan pandai mengambil hati. Apabila tidak sukakan seseorang, sentiasa mencari kesalahannya, hatinya keras dan sukar dilembutkan. Tetapi mudah mengaku kalah dan mudah meminta pertolongan orang lain. Pandai simpan rahsia, hanya orang tertentu saja tahu rahsianya. Keputusannya tidak mantap dan mudah terpengaruh. Dia juga mudah terperangkap dalam banyak hal. Dalam soal kewangan dia pandai berjimat, tak kedekut. Dia rajin bekerja, ada tanggungjawab, suka dipuji tetapi perlukan bimbingan dan pengawasan dalam banyak perkara.

RABU
Suka berdendam. Jika ada orang berbuat jahat padanya, dia akan berbuat lebih jahat lagi pada orang itu. Namun dia pandai dalam pergaulan, pandai mengambil hati dan pandai menghargai orang. Suka mementingkan teman dari dirinya sendiri. Berfikiran terbuka, tak pandai simpan rahsia, tidak suka diperintah dalam bekerja. Keputusannya tidak seimbang, kurang pengalaman. Hatinya keras dan tidak mudah termakan pujuk. Hanya orang-orang tertentu saja yang tahu melembutkan hatinya. Dalam soal kewangan, dia pandai cari duit tapi tak pandai simpan duit. Cintanya pandang pertama dan rela berkorban kerana cinta. Seksualnya tinggi dan kuat, romantik ditempat tidur dan pandai berasmara.

KHAMIS
Dia suka menyinggung hati orang lain, cakapnya kesat, kemahuan kuat, dan bersikap agresif. Rajin dan tekun bekerja, tak suka diganggu ketika bekerja, bercita-cita tinggi. Boleh terpikat kepada lelaki lain walaupun sudah ada kekasih atau suami. Namun dia tak mudah jatuh cinta, suka menyelidik dahulu sebelum bercinta. Hatinya tidak tetap, mudah terpedaya dengan pujuk rayu sehingga tak kenal antara yang baik dan buruk. Dia pandai mengurus dan merancang kewangan. Pada awal perkahwinan, tunduk pada suami, akan berubah apabila sudah lama berkeluarga. Seksualnya tinggi, jika tak pandai mengawal nafsu boleh terdorong ke lembah hina.

JUMAAT
Wanita yang lahir pada hari ini tabiatnya berani menentang suami. Bangga diri, suka berbelanja, suka dipuji, suka bergaul dan suka melakukan perkara yang merbahaya dan sia-sia. Bersemangat waja, pandai simpan rahsia, tak suka mengaku kesalahan sendiri. Dalam soal kewangan, bersikap boros dan tak pandai simpan wang. Cintanya sejati dan tidak mudah berubah, cuma kadangkala tidak telus. Seksualnya sangat teristimewa, menyeronokkan, penuh kelembutan tetapi apabila dingin tak suka dipaksa.

SABTU
Kuat cemburu, suka kebendaan, tak gemar dengan anak-anak, suka bertikam lidah. Namun dia tegas pendirian, cerdas pemikiran, teliti dalam banyak hal. Tidak pernah berasa puas, suka berkorban apa saja demi mencapai cita-cita. Apabila bercinta, suka menyelidik latarbelakang pasangan dan suka menguji. Pandai berjimat dan sentiasa berfikir untuk masa depan. Wanita ini akur dan mengikut perintah suami. Seksualnya agak dingin, tetapi apabila bermula, seksnya kuat dan tahan lama, tidak tergesa2 dan dilakukan dengan kelembutan.

AHAD
Wanita yang lahir pada hari ini kebiasaannya sukakan kemewahan dan menunjuk2 diri. Apabila bersuami taat pada suaminya namun suka merendahkan kawan dan bersikap bangga diri. Dia tidak suka dengar nasihat, mudah terpedaya dengan kata2. Suka mengkritik orang tetapi tidak suka orang mengkritiknya. Percintaannya tidak telus tetapi sanggup berkorban apa saja jika hati dah suka. Pandai simpan rahsia, rajin berusaha dan bekerja, tak mudah mengalah namun bersikap pemboros. Rangsangan seksualnya tinggi tapi apabila tak dapat kepuasan cari jalan lain.