Khamis, 8 Disember 2016

Kerajaan Negeri akan perluas Program Kampung Sejahtera

Musa ketika berucap merasmikan MESEJ Ternakan Burung Walid dan Pusat Keusahawanan Desa.

9/11/2016

Kudat : Kerajaan Negeri akan memperluas Program Kampung Sejahtera (PKS) dengan tumpuan khusus kepada kampung mundur dengan pendekatan lebih holistik.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, berdasarkan sambutan positif rakyat, Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 akan terus memperuntukan kewangan bagi melaksana semua projek di bawah PKS.

"Sejak 2014, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terdapat 31 buah kampung telah dilibatkan dalam PKS."

Musa menyampaikan replika kunci Bengkel Gerai Keusahawanan Desa.


"Bagi tahun 2017, sebanyak 20 buah kampung lagi dirancang untuk dilibatkan di bawah program berkenaan."

Salah satu pendekatan peningkatan pendapatan golongan sasar di luar bandar adalah melalui aktiviti keusahawanan," ujarnya.

Jelas Musa, matlamat akhir PKS adalah untuk mentransformasikan kampung-kampung mundur melibatkan tiga aspek utama iaitu pembangunan modal insan, kemajuan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup.

"Kita yakin pelaksanaan program pembasmian kemiskinan yang efektif akan berupaya mengurangkan lagi insiden kemiskinan tegar di negeri ini.

Musa melawat bengkel kraf batik, pembuatan coklat, pemprosesan hasilan laut serta pembuatan kek dan bakeri.

"Apa yang penting, rakyat dan para peserta ini perlu ada keazaman dan semangat untuk berusaha bagi merubah keadaan menjadi lebih baik," katanya ketika berucap merasmikan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Ternakan Burung Walid dan Pusat Keusahawanan (PKD) Kampung Perpaduan Ria di sini.

Terdapat empat bangunan telah siap dan akan beroperasi sepenuhnya untuk menempatkan para usahawan dalam bidang IKS seperti pemprosesan kraf batik, pembuatan coklat, pemprosesan hasilan laut serta pembuatan kek dan bakeri.

PKD

Rabu, 17 Ogos 2016

Pewartaan Taman Marin Tun Mustapha beri impak besar

AHAD, 24 JULAI 2016
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman merasmikan Festival Kudat 2016 dan Pelancaran Taman Tun Mustapha
KUDAT: Pewartaan Taman Tun Mustapha sebagai kawasan perlindungan marin terbesar di rantau ini, diharap berupaya memberi impak besar kepada Sabah daripada aspek industri pelancongan dan akuakultur, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. 

Beliau berkata kejayaan pewartaan taman itu, meliputi kawasan perairan seluas 898,762.76 hektar melibatkan tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas, bukan sahaja membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara alam sekitar Sabah, bahkan terjemahan kesungguhan dalam memajukan sosioekonomi rakyat.

Sehubungan itu, Musa berharap pengurusan mapan biodiversiti marin di perairan Sabah terutama di Kudat, Pitas dan Kota Marudu akan dapat diwujudkan menerusi pewartaan itu dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Tabung Alam Sedunia (WWF), Jabatan Perikanan Sabah, Persatuan Nelayan dan masyarakat setempat.

"Dengan pewartaan ini juga, sudah pasti komitmen Malaysia dalam Konvensyen Kepelbagaian Biologi, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu (CBD-UNEP), untuk melindungi sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kawasan pesisir pantai dan marin sebelum tahun 2020 akan tercapai," katanya merasmikan Festival Kudat 2016 dan Pelancaran Taman Tun Mustapha, di sini, hari ini. 

Taman Tun Mustapha yang diisytiharkan sebagai taman marin di bawah Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 (pindaan 2007) pada 19 Mei lepas adalah taman kesembilan dalam pengurusan Taman-Taman Sabah. 

Ia adalah taman marin terbesar di Sabah sekali gus di Malaysia. 

Usaha pewartaan sudah bermula sejak 2003 apabila kerajaan negeri meluluskan cadangan mewartakan taman itu sebagai kawasan yang dilindungi dan diurus secara lebih sistematik.

Musa berkata ini adalah satu lagi kebanggaan buat seluruh rakyat Sabah khususnya di kawasan terbabit dan berharap keseimbangan biodiversiti dan sosioekonomi boleh dicapai dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Wilayah Utara Negeri Sabah yang memberi fokus kepada sektor pelancongan. 

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata pewartaan berkenaan adalah satu kejayaan dan sejarah baharu untuk Sabah dan sekali gus amanah besar diberikan kepada kementeriannya bagi memastikan kelestarian taman marin berkenaan dilakukan dengan lebih cekap. 

Beliau berkata matlamat dan harapan penubuhan taman itu adalah untuk memulihara kepelbagaian hidupan marin serta pesisir pantai, dan dalam masa sama menambah baik industri perikanan agar lebih mapan bagi faedah komuniti setempat termasuk membuka lebih banyak peluang industri pelancongan di Sabah. 

"Sabah mementingkan pemuliharaan, kami mahu memastikan terdapat keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pemuliharaan. Kami mahu melabur demi untuk generasi akan datang di Sabah," katanya.



Suterabayu

Isnin, 23 Mac 2015

15,000 Warga Kudat Meriahkan Program 'Kalau Dah Jodoh' Bersama Ustaz Kazim Elias

Kehadiran Ustaz Kazim Elias tarik perhatian lebih 15,000 pengunjung


KUDAT: Program KALAU DAH JODOH bersama Ustaz Mohd Kazim Elias yang diadakan di Pusat Sukan Daerah Kudat baru-baru ini mencatat kehadiran yang memberansangkan apabila dianggarkan hampir 15,000 umat islam datang untuk memeriahkan program yang disiarkan di ASTRO OASIS ini.


Sapdin Ibrahim


Tahniah kepada Badan Dakwah Daerah Kudat khususnya kepada Tuan Sapdin Ibrahim, Pegawai Daerah Kudat yang juga merupakan Pengerusi Badan Dakwah daerah Kudat serta semua Ajk badan dakwah yang turut menjayakannya.

Ustaz Kazim bersama pemimpin dan ribuan warga Kudat

Program Kalau dah Jodoh adalah sebuah program yang membincangkan perihal kekeluargaan terbitan ASTRO dan dikelolakan oleh Ustaz Kazim Elias ini turut dihadiri pemimpin tempatan termasuklah ADUN PITAS, Datuk Bolkiah Hj Ismail dan ADUN Banggi Datuk Abdul Mijul Bin Unaini serta pemimpin-pemimpin masyarakat.


Kredit Foto JEFF KATIK-KATIK.

Khamis, 29 Januari 2015

Cadangan akta baharu merotan anak jadi kesalahan jenayah dibantah.

KOTA KINABALU: Awal minggu ini sahaja, masyarakat dikejutkan dengan kenyataan daripada seorang menteri yanag mengatakan merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2011 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, selewat-lewatnya Julai depan diluluskan.

Perkara yang menjadi perdebatan dan mengundang pelbagai reaksi kebanyakan golongan ibu bapa di negeri ini, yang mana rata-rata daripadanya membantahakan keputusan itu.

Mohd Razeet
Bagi seorang pegawai eksekutif, Mohd Razeet Rasmat, 28, untuk membimbing anak beristiqamah pada jalan benar, mengajar untuk memberi pengajaran dan pengalaman selain menepati kehendak agama tidak hanya terletak pada kaedah merotan dan memukul sahaja, sebaliknya ibu bapa seharusnya mampu mempelbagaikan teknik khususnya teknik dorongan dalaman.

" Mendidik anak perlu menggunakan kepelbagaian teknik yang berterusan contohnya dengan memberikan pemahaman jelas, tepat, pengajaran dan peringatan supaya akidah anak bertapak kukuh dalam jiwa mereka, " katanya.

Seorang usahawan juga ayah kepada dua cahaya mata, Sher Ali Khan Shah Nazar 28, berkata, hukman rotan adalah cara yang efektif untuk menanamkan sikap disiplin di dalam diri anak, lebih-lebih lagi bagi mereka yang degil dan sering melakukan kesalahan sama berulang-ulang kali.

"Oleh itu, dengan mengenakan hukuman rotan, anak-anak ini akan dipupuk dengan sikap disiplin di dalam diri mereka dan mereka tidak akan melakukan perbuatan yang melanggar peraturan sekolah.

"Tetapi cadangan untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang adalah tidak patut sama sekali kerana merotan adalah salah satu cara mendidik anak-anak," katanya.



SUMBER




Ahad, 23 November 2014

Pasukan bola tampar Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu akhiri kemarau 11 tahun emas

MERAIHKAN KEMENANGAN emas dan perak pasukan bola tampar lelaki dan wanita Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Selepas 11 tahun penantian, pasukan bola tampar lelaki Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu akhirnya merampas kejuaran bola tampar lelaki di Pesta Sukan Antara Wilayah Yayasan Sabah PESAWI ke-12 yang selama ini didominasi oleh pasukan daripada pantai timur seperti Tawau dan Lahad Datu.

Pengurus pasukan bola tampar lelaki Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu, Encik Abidin Mohd. Alam berkata, para pemain menonjolkan aksi terbaik mereka sepanjang kejohanan ini apabila memenangi kesemua perlawanan di peringkat kumpulan sehingga ke perlawanan akhir.
“Saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemain dalam usaha merampas kejuaraan pada kali ini yang juga banyak didorong oleh kesungguhan juru latih yang berpengalaman iaitu Encik Mohd. Idris Mohd. Shafi,” ujar beliau.
Idris (tengah) juru latih pasukan bola tampar lelaki dan wanita Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu. 
Dalam kejohanan pada kali ini pasukan bola tampar lelaki membenam cabaran pasukan bola tampar Tawau pada penentuan juara kumpulan seterusnya menjadi juara keseluruhan dalam perlawanan yang sengit sehingga membawa ke set penentuan. 
Sementara itu pasukan wanita juga tidak kurang hebatnya selepas berhempas pulas menentang cabaran pasukan Tawau dan akhirnya tunduk di set penentuan dan mendapat tempat ke dua dalam kejohanan tersebut.
Antara aksi perlawanan yang sempat dirakam
Juru latih pasukan Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu En. Idris Mohd. Shafi berkata, kejayaan pasukan ini bukan sahaja didorong oleh latihan dan disiplin yang konsisten dalam pasukan tapi semangat berpasukan dan kepercayaan antara pemain juga merupakan kunci utama kemenangan pada kali ini.

Sumber

Kegiatan sukan mampu tingkatkan kerjasama - SAPAWI


SAPAWI diperhatikan oleh Pengurus Kumpulan Kanan Sumber Manusia dan Perkhidmatan Koperat Kumpulan Yayasan Sabah Rosmawati Lasuki menyampaikan piala kepada ketua kontinjen Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu Dr. Karim Samsuri yang menjuarai kejohanan PESAWI ke-12
KOTA KINABALU: Kegiatan sukan mampu meningkatkan dan mengukuhkan semangat kerjasama yang sedia ada. Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata, sukan tidak hanya ditumpukan untuk mencapai kemenangan semata-mata tetapi ia juga perlu dilihat ke arah skop yang lebih luas.

''Jadikan sukan sebagai salah satu pentas untuk kita memperkukuhkan dan meningkatkan semangat kerjasama dan semangat kerja berpasukan.'' katanya pada majlis penutupan Pesta Sukan Antara Wilayah Kumpulan Yayasan Sabah di Kompleks Sukan Tun Adnan Yayasan Sabah di sini kemarin.

Beliau berkata, perbezaan jabatan dan anak syarikat tidak harus menjadi penghalang ke arah mewujudkan semangat kerjasama dan semangat kerja berpasukan.

Sama ada sebagai staf Yayasan Sabah atau Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) atau anak syarikat, katanya, semangat seumpama itu perlu diwujudkan dalam usaha menjadikan pemangkin kecemerlangan dalam kumpulan Yayasan Sabah.

KONTINJEN Kumpulan Yayasan Sabah Wilayah Kota Kinabalu merakamkan kenangan sejurus diumumkan menjuarai kejohanan tersebut.
Sehubungan dengan itu Sapawi memberitahu mereka yang gagal mencatatkan kemenangan dalam sukan itu tidak harus merasa kecewa sebaliknya terus memberikan sokongan semangat kepada mereka yang berjaya.

Katanya mereka yang berjaya dan akan mewakili Kumpulan Yayasan Sabah ke peringkat kebangsaan pula hendaklah terus berusaha meningkatkan prestasi masing-masing.

''Tiada sebab untuk kita merasa kecewa sebaliknya kita bertindak sebagai pemberi semangat kepada mereka yang berjaya pula hendaklah terus berusaha,'' katanya lagi.


Sumber

Selasa, 23 September 2014

KUDAT BAKAL JADI LOKASI AGRO PELANCONGAN UTAMA SABAH

 Yang Berhormat Datuk Radin Malleh mendengar Taklimat Pembangunan Daerah Kudat oleh Pegawai Daerah Kudat
KUDAT- Terkenal dengan industri perikanan dan pelanconganya Kudat kini mengorak langkah dengan perancangan dan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dalam menjadikan Kudat sebagai sebuah kawasan yang produktif, maju dan menarik serta menguntungkan.
 Yang Berhormat Datuk Radin Malleh
Menyentuh mengenai pembangunan daerah Kudat, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Yang Berhormat Datuk Radin Malleh berpuas hati dengan perancangan dan pelaksanaan pembangunan dan kemajuan yang sedang rancak berjalan khususnya di daerah Kudat ini. 

Hakikatnya, Daerah Kudat telah banyak memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan dan kemajuan negeri, Daerah ini juga berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu lokasi pelancongan utama negara berikutan keunikan tersendiri yang dimiliki selain terletak di daratan paling hujung dalam peta kepulauan Borneo, Katanya selepas melakukan lawatan kerja sehari ke Daerah Kudat.

Pada masa yang sama juga beliau turut menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi kawasan Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kampung Perpaduan Ria Kudat yang juga menempatkan 13 buah projek pembangunan seperti kawasan komersial, kawasan perumahan awam, kawasan perumahan PPR, MESEJ (Burung Walit), kawasan taman awam, sekolah menengah ugama, sekolah menengah, sekolah kebangsaan, MESEJ (Akuakultur), loji rawatan kumbahan, balai polis, tanah perkuburan dan kawasan IKS.
Radin menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kampung Perpaduan Ria Kudat 

Pegawai Daerah Kudat Encik Sapdin Ibrahim berkata, 'Kita sedar bahawa dalam merealisasikan dan mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi dan infrastuktur daerah Kudat, perusahaan IKS memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memberikan sumbangan signifikan kepada peningkatan sosio-ekonomi rakyat dari segi penyediaan peluang pekerjaan, perniagaan, menjana pendapatan dan melahirkan ramai usahawan berjaya khususnya di daerah Kudat ini'.


Suterabayu













Rabu, 17 September 2014

BELIA ASPIRASI MENUJU TRANSFORMASI NEGARA



AG KU MOHD ZULFADHLI BIN PG JAAFAR seorang usahawan muda yang aktif dalam persatuan NGO dan juga pemimpin belia di Kg Menumbok lahir pada 9 Disember 1986, merupakan anak bumiputera yang berasal dari Kg Menumbok dan berketurunan “Brunei” merupakan anak ke dua daripada lima orang adik beradik.
Telah berkahwin dengan Nurul Nadia Binti Janeh pada 25 Disember 2009 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Anak pertama di beri nama Dayangku Inshirah dan anak ke dua diberi nama Dayangku Aida Adriana dan kedua-duanya adalah perempuan. Anak kepada HJ PG JAAFAR BIN HJ PG OSMAN Naib Ketua Umno Bahagian P.177 Beaufort ini juga merupakan seorang usahawan yang telah meningkat naik.
AG KU MOHD ZULFADHLI BIN PG JAAFAR
Pendidikan awal beliau bermula di sekolah tadika Mempakul pada tahun 1991, diawal persekolah beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang murid yang cerdas dan cergas. Pada tahun 1992 beliau telah berpindah ke sekolah Tabika Pekan Menumbok dan menamatkan zaman tabikanya di sana.
Beliau meneruskan zaman persekolahanya ke peringkat sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Pekan Menumbok pada tahun 1993 sehinga 1998. Pada waktu itu beliau cukup aktif dalam bidang KO-Kurikulum dan pada tahun 1995 beliau pernah wakil pertandingan Tilawah Al-quran dan merupakan juara peringkat sekolah dan mendapat tempat ke dua peringkat daerah, sehinggalah beliau menamatkan pelajarannya di SK Pekan Menumbok. Beliau juga merupakan wakil sekolahnya dalam pertandingan bercerita peringkat daerah dan mendapat tempat ke tiga.
Dengan berbekalkan keputusan yang cemerlang dalam UPSR beliau telah berjaya memasuki Sekolah Menengah Sains Sabah ( SMESH ) pada tahun 1999 sehinggalah menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2003 di sekolah tersebut. Beliau merupakan seorang pemain catur yang terbaik di sekolahnya dan pernah mendapat tempat ke dua perseorangan lelaki dan tempat pertama berkumpulan di peringkat sekolah-sekolah. Oleh kerana wakil untuk ke pantai barat selatan memerlukan 5 orang wakil sekali lagi beliau menjadi wakil ke pantai barat selatan, di sana beliau telah mendapat tempat ke dua dan seterusnya beliau telah terpilih mewakili pantai barat selatan untuk ke peringkat negeri. Beliau bukan sahaja seorang pemain catur di sekolah malahan beliau telah dipilih menjadi jurulatih kepada pemain catur di sekolahnya.
Selain dari bermain catur, beliau juga aktif dalam unit beruniform iaitu Persatuan Kadet Bersatu Malaysia dan pernah menjadi juara pertandingan kawad kaki peringkat sekolah-sekolah. Beliau juga aktif dalam bidang sukan terutamanya dalam sukan bola sepak.
Pada tahun 2004 beliau telah melanjutkan pelajaran ke UiTM Sabah dan seterusnya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) di Batu Rakit Terengganu pada tahun 2005 hingga 2007.
Setelah tamat beliau telah memulakan karier kerjayanya di Petronas Methanol Labuan sebagai “MultiTasking Engineering Process” pada tahun 2007 hingga 2012 dan kemudian mendapat tawaran kerja di luar negara iaitu di Methanol Chemical Company yang bertempat di Jubail, Kingdom of Saudi Arabia pada tahun 2012. Beliau bekerja di sana selama hampir setahun dan disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, akhirnya beliau mengambil keputusan utntuk berhenti dan dengan berbekalkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan beliau telah kembali ke tanah air dan memulakan karier sebagai usahawan. 
Di luar bidang pekerjaan beliau meluangkan masa bersama belia di Menumbok dengan mengadakan aktiviti ataupun menyertai aktiviti yang di anjurkan mana-mana jabatan dan kementerian serta persatuan bagi membawa belia ke arah aktiviti sihat dan bermanfaat. Beliau sangat aktif di dalam persatuan belia dan selalu menyokong segala bentuk aktiviti yang di anjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan dan Kementerian Belia dan sukan sehinggakan beliau di kenali oleh masyarakat khususnya di pedalaman bawah.
PENGLIBATAN DALAM NGO DAN JAWATAN
1. PERSATUAN BELIA SEPAKAT MENUMBOK ( PRESIDEN)
2. PEMADAM DAERAH MENUMBOK ( PENGARAH BIRO SUKAN)
3. PERSATUAN MASYARAKAT BRUNEI SABAH CAWANGAN MENUMBOK ( AHLI)

Suterabayu

Ahad, 7 September 2014

Kemerdekaan perlu direnung dan dihayati oleh generasi belia hari ini

6/9/2014
Mijul bersama peserta kontinjen belia kampung Parapat Laut johan perbarisan Hari Kemerdekaan Peringkat Daerah Kudat 2014 kategori kampung.
KUDAT- Generasi belia wajar menilai sumbangan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu dan memahami perit getir yang mereka lalui pada ketika itu supaya kita hari ini dapat memahami secara mendalam dan menghayati pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka ketika itu.

 Sesungguhnya usaha barisan kepimpinan terdahulu yang sanggup berjuang dan berkorban apa saja bagi mencapai kemerdekaan perlu direnung dan dihayati oleh generasi belia hari ini kata Yang Berhormat Datuk Abd. Mijul Haji Unaini Adun N1 Banggi merangkap Pengerusi Ko-Nelayan Sabah semasa merasmikan Majlis Malam Selaut Kasih Hari Merdeka ke 57 Kampung Parapat Laut baru-baru ini.

Katanya, generasi muda atau belia hari ini dilahirkan selepas kemerdekaan Malaysia sering dikaitkan dengan isu kemodenan dan betapa untung dan bertuahnya anak-anak merdeka hari ini kerana dapat menikmati hasil perjuangan generasi dan pemimpin-pemimpin sebelum ini.

Generasi muda hari ini juga menjadi saksi kemakmuran, keharmonian, kemajuan, keamanan dan kegemilangan Malaysia selepas merdeka. 

Selain meraihkan kemenangan bersama, pada majlis itu juga beliau turut merakamkan penghargaan syabas dan tahniah kepada barisan kontinjen perbarisan belia Kampung Parapat Laut yang telah menjuarai acara perbarisan bagi kategori kampung sempena Sambutan Kemerdekaan Peringkat Daerah Kudat 2014.

Beliau sangat terharu dengan semangat juang dan perpaduan yang ditunjukan oleh penduduk kampung Parapat Laut khususnya para belia dalam menyemarakan sambutan hari kemerdekaan yang disambut pada setiap tahun dan meletakan kampung Parapat Laut sebagai kampung yang patut dicontohi oleh kampung-kampung lain di derah Kudat ini.



Suterabayu


Khamis, 4 September 2014

Mantapkan jatidiri dalam membentuk identiti belia - Amirzan

Amirzan bergambar bersama para peserta program dan AJK penganjur.
PAPAR - Golongan belia hari ini disaran membina matlamat hidup yang jelas dan memperkasa daya saing dalam arus kehidupan yang kian mencabar.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Papar, En. Amirzan Ali merangkap EXCO Pemuda UMNO Malaysia berkata, amalan ini akan dapat memantapkan jatidiri dalam membentuk identiti belia bagi mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin pelapis pada masa hadapan.


''Belia merupakan aset terpenting negara, jesteru itu mereka perlu dibimbing, ditarbiah dan dididik mengikut acuan dan perancangan agar mereka tidak terjerumus ke lembah kehancuran yang sangat merugikan agama, bangsa dan negara'' katanya ketika merasmikan Program Agenda Islah Remaja Motivasi Sentuhan Qalbu ''Penawar Hati Revolusi Minda'' anjuran Persatuan Belia 1 Malaysia PERBESMA bertempat di Masjid Raudahtul Ilmiyyah Kampung Kuala Papar baru-baru ini.


Barisan AJK pelaksana dan penceramah
Seramai 80 0rang peserta yang terdiri daripada belia-belia sekitar Kampung Kuala dan sekitar daerah Papar menyertai program sehari ini yang bermatlamat mengasah bakat dan potensi belia agar mampu mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang yang diceburi dalam menghadapi arus kehidupan yang kian mencabar.

Suterabayu

Khamis, 21 Ogos 2014

Kini Giliran Adira Pula Bertudung

Imej terkini daripada Adira

Penyanyi Adira menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan keputusan untuk mengenakan tudung adalah kerana ingin menamatkan zaman bujangnya.


"Baru lima hari saya mengenakan tudung. Ia terjadi atas kehendak diri dan doa semua yang mengharapkan kebaikan saya. Tiada alasan tertentu untuk perubahan ini," ujar Adira yang dipetik daripada Berita Harian.


Biar pun sudah berhijrah, Adira menjelaskan karier seninya berjalan seperti biasa. Malah, dia kini sedang sibuk mempromosikan single terbaru, 'Ruhi Kasih'.  


Suterabayu




Selasa, 24 Jun 2014

Festival Kudat Ikon pelancongan baharu di Sabah

     22HB. JUN 2014

KUDAT: Festival Kudat 2014 menjadi satu lagi ikon atau produk pelancongan terbaharu bagi menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Sabah, khususnya daerah Kudat.

Selain menggantikan Pesta Kelapa yang disambut setiap tahun di daerah itu, festival ini memberi nilai tambah baharu terhadap pengisian program pelancongan sekali gus menjana kemajuan sektor berkenaan di Kudat.

Musa
Pada majlis perasmian Festival Kudat 2014 di Dataran Esplanade Sidek tersebut, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Hj. Aman berkata aspek kepelbagaian kaum dan tradisi suku masyarakat di daerah Kudat mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke Kudat.

Oleh itu, kemudahan dari segi penginapan hotel dan restoran makanan laut perlu ditambah atau dinaik taraf bagi memenuhi peningkatan ketibaan pelancong," katanya.

Penganjuran The Sunset Music Fest at the Tip of Borneo di Tanjung Simpang Mengayau petang semalam juga merupakan produk pelancongan yang sudah dikenali ramai selain Festival Kudat.



Majlis Perasmian Karnival Kudat 2014 di Dataran Esplanade Sidek
Pertandingan Perahu Naga

Suterabayu Kudat




Khamis, 12 Jun 2014

Sabah Sunset Music Festival Simpang Mengayau Kudat


KOTA KINABALU, 12 Jun -- Dua belas artis tempatan dan antarabangsa akan memeriahkan Festival Muzik Matahari Terbenam (Sunset Music Fest) anjuran Pejabat Pelancongan Sabah Malaysia di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat pada 20 dan 21 Jun ini.

Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Irene Charuruks berkata festival yang bermula pada jam 5 petang itu akan menampilkan persembahan artis seperti Syafinaz Selamat, Rhythm of Borneo, Rey Kimara dan Orkestra Pop Filipina(Philpops).


Sempena festival itu, pelbagai acara menarik disusun termasuk pertandingan perahu naga, pertandingan memasak masakan tradisional, persembahan melukis batik dan pertandingan membuat kraftangan berasaskan kelapa dan banyak lagi katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Irene berkata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun dijangka hadir memeriahkan acara tersebut.

Tiket bagi sehari berharga RM50 dan dua hari RM80 yang boleh diperolehi di Pejabat Tourism Malaysia Sabah dan Sri Pelancongan di talian 088-232121 atau laman web www.sunset musicfest.my.



(Bernama)

Selasa, 3 Jun 2014

Festival Kudat 2014 janji kelainan gamit pengunjung dan pelancong


KUDAT- Sambutan Festival Kudat 2014 yang akan berlangsung pada 19hb. hingga 23hb. Jun 2014 akan menjanjikan kelainan dan keunikan dengan beberapa acara menarik yang pastinya akan menggamit kehadiran pengunjung dan pelancong dalam dan luar ke daerah paling utara negeri Sabah ini.

Sapdin Ibrahim
Bercakap ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sambutan Festival Kudat 2014, En. Sapdin Ibrahim Pegawai Daerah Kudat mahukan sambutan pada kali ini mengetengahkan keunikan dengan kepelbagaian budaya, pameran, hiburan dan masakan tradisional masyarakat setempat bagi menonjolkan keunikan dan identiti yang ada di daerah Kudat, katanya.

Pada mesyuarat itu juga beliau turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan, swasta, NGO dan individu yang turut sama menjayakan sambutan Festival Kudat 2014 pada kali ini.





Festival yang berlangsung selama lima hari ini yang akan dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah akan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan artis-artis terkemuka dan artis tempatan seperti Pija Mentor, Den Bisa dan Ampal serta ramai lagi.

Antara yang hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Festival Kudat 2014

Antara acara-acara Festival Kudat 2014 seperti Semarak 1MALAYSIA anjuran bersama Jabatan penerangan Malaysia, Sabah, Pertandingan Lumba Perahu Naga, Karnival Makanan Laut, Pertunjukan Layang-Layang, Pertandingan Battle Of The Band, Sunset Music Fest,  Pertandingan Masakan Tradisional, Pertandingan Hasil-Hasil Pertanian, Haiwan dan Akuakultur, Pertandingan Hasil Kraftangan dari Kelapa, Pertandingan Aneka Bakat, Pertandingan Orang Kuat, Pertandingan Tarik Tali, Pertandingan Baju Tradisi Kreatif, Pertunjukan Melukis Batik, Pertunjukan Bunga Api dan akan diakhiri dengan Konsert Islam dengan penampilan khas Nazri Raihan.



Suterabayu Kudat




Ahad, 18 Mei 2014

Persatuan Seni Kreatif Sabah KYS di Pelancaran Sambutan Hari Belia Negeri Sabah 2014

Musa Aman Ingati Belia Jangan Terikut-ikut Golongan Bawa Porak-Peranda


Belia hindari golongan bawa porak-peranda - Musa
RANAU, 17 Mei -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan golongan belia supaya menghindarkan diri serta tidak terikut-ikut dengan tindak-tanduk golongan tidak bertanggungjawab yang cuba memporak-perandakan masyarakat kerana ia membawa natijah tidak baik kepada semua pihak.

Beliau sebaliknya mengajak golongan belia yang mewakili 41 peratus daripada keseluruhan penduduk Sabah supaya terus menyokong dan bersama-sama dengan kerajaan bagi menjayakan pelbagai program dan aktiviti yang diperkenalkan untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat khususnya para belia.

"Kita mahukan keaamanan, makmur dan hidup sentosa. Kita ingin melihat rakyat terus hidup tenteram tanpa rasa takut. Inilah harapan kerajaan dan ibu bapa," katanya ketika merasmikan pelancaran sambutan Hari Belia peringkat negeri di Kompleks Sukan Ranau di sini Sabtu.


Beliau turut merasmikan pembukaan kompleks tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin.

Menurutnya, kerajaan amat memahami hasrat serta aspirasi golongan belia dan akan terus berusaha memberi ruang kondusif dan peluang kepada kumpulan berkenaan untuk memajukan diri berdasarkan kencenderungan masing-masing dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi memudahkan mereka mengambil bahagian.


Musa berkata komitmen tinggi kerajaan untuk membangunkan potensi belia yang merupakan pelapis kepimpinan negara masa depan, termasuk menyediakan peruntukan besar yang meningkat setiap tahun kepada pelbagai kementerian dan agensi bagi menjayakan pelbagai program seperti kemahiran dan keusahawanan untuk belia.

Beliau berkata pada masa lalu, peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah cuma sekitar RM10 juta namun bagi tahun 2014, kerajaan memperuntukkan hampir RM100 juta atas kesedaran mengenai pentingnya peranan belia dalam pembangunan negara.


Sebahagian peserta penerima Anugerah Hari Belia 2014 Sabah
Mengenai kompleks sukan tersebut yang dibina sejak 2007 melalui tiga fasa dengan kos keseluruhan RM37 juta, katanya kerajaan sanggup berbelanja besar untuk membangunkan kompleks berkenaan sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap kehendak dan keperluan belia.

Musa turut menyampaikan anugerah kepada individu dan persatuan yang telah berjaya serta banyak berjasa dan menyumbang kepada pembangunan belia dan masyarakat dalam pelbagai bidang termasuk dalam bidang keusahawanan, kerja kesukarelaan dan kewartawanan.

Persatuan Seni Kreatif Sabah KYS dan peserta pertunjukan motor bike turut serta memeriahkan sambutan
Sementara itu Tawfiq berkata sambutan Hari Belia Negeri Sabah tahun ini yang bertemakan 'Dari Belia Untuk Belia' membawa kelainan apabila sambutannya tidak lagi tertumpu di kawasan bandar utama sahaja sebaliknya turut disambut di daerah kecil di kawasan pedalaman. Katanya selain di Ranau, sambutan akan turut diadakan di Kudat, Tawau, Beaufort, Papar, Keningau, dan Sandakan.