Khamis, 9 Januari 2014

Aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak hanya boleh ditentukan oleh pemimpin mereka sendiri

Isu-isu sentitif di Malaysia Timur perlu diselesaikan, tetapi ia tetap terbiar sehingga hari ini. Oleh itu hanya rakyat di kedua-dua buah negeri itu sahaja yang boleh melakukan perubahan untuk kebaikan mereka sebagai rakyat negeri yang menjadi ahli kepada Persekutuan Malaysia itu. 

Sabah dan Sarawak masih merasakan yang kedua-dua buah negeri itu masih belum begitu terletak ditempat yang sepatutnya sebagai keluarga Persekutuan negara kita ini.

Rakyat di Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan yang lebih kuat dari mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia kerana mereka di Sabah dan Sarawak itu merupakan penyelamat kepada BN dalam pilihanraya yang lalu dan pilihanraya sebelumnya. 

Rakyat Sabah berkemampuan untuk membetulkan keadaan negara, bukan sahaja untuk mereka sendiri tetapi untuk kebaikan rakyat seluruh Malaysia yang termasuk Semenanjung Malaysia itu sendiri.

Rakyat Sabah boleh menyatakan perasaan dan pendirian mereka melalui wakil-wakil rakyat mereka di Dewan Parlimen dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan pembelaan itu. Dalam demokrasi adalah wajar bagi wakil-wakil rakyat mereka melakukan apa yang dikehendaki oleh rakyat mereka sendiri.

Kini tidak boleh lagi bermain politik partisan untuk melakukan perubahan kerana pemimpin-pemimpin setiap parti samada dalam BN atau pembangkang mempunyai kelemahan yang begitu nyata dan belum mempunyai semua keperluan untuk melayakkan mereka mengetuai perubahan yang sangat-sangat diperlukan untuk kita.

Bagi pemimpin-pemimpin di Sabah dan Sarawak mereka wajar memperkuatkan azam mereka untuk meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya dalam negara ini bagi mencapai keadilan yang abadi dan tidak lagi diungkit oleh mana-mana pihak selepas kita mewarisi negara ini kepada generasi yang akan datang.

Negara kita bukan setakat memperjuangkan kadar tol diturunkan, atau harga minyak dikurangkan atau menghapuskan PTPTN dan sebagainya. Negara memerlukan lebih dari itu iaitu untuk merombak kembali segala-gala keperluan untuk menempuh dan mencapai ketahap negara yang baru yang lebih stabil dengan ‘ambience’ yang baru.

Kita bukan setakat untuk melihat Hard Rock Cafe tidak beroperasi di Putrajaya atau untuk membuat fatwa baru untuk kepentingan setengah pihak. Yang lebih penting dari itu ialah untuk melihat kesatuan rakyat di antara kaum benar-benar terjalin dan bukannya setakat berkempen mengelirukan rakyat semata-mata seperti yang dilakukan oleh setengah pihak.

Kita tidak mahu lagi terjebak dengan dikelirukan oleh parti pembangkang yang meletakkan ‘laurel’ nya kepada seorang Ahli Legislatif Persekutuan Melayu untuk dijadikan dan diterima sebagai sebuah parti berbilang kaum. 

Rakyat  di Malaysia Timur sudah hidup dalam kesatuan yang sebenarnya sejak berkurun dahulu tanpa ada masalah perhubungan di antara kaum dan agama yang bertentangan. Mereka bersatu dan jika nak disebut juga slogan 1Malaysia sebenarnya ia telah terlaksana dengan begitu lama di Malaysia Timur.

Hanya mereka belum bersatu untuk menentukan untung nasib mereka sebagai sebuah ahli kepada Persekutuan ini. Mereka sedang diancam dengan masalah isu nama Allah di Semenanjung, kerana isu itu mungkin suatu hari nanti akan sampai anginnya ke Malaysia Timur.

Jika mereka mahukan keadilan maka pimpinan parti khususnya dikalangan Ahli-Ahli Legislatif Persekutuan dari Malaysia Timur perlu akur kepada kehendak semasa dan lakukan perubahan dengan berani dan tegas, tanpa memikirkan masalah peribadi yang berkait dengan kewangan dan harta benda.

Keadaan dan sentimen rakyat Sabah dan Sarawak nampak jelas tidak sihat dan akan pada bila-bila masa akan terkopek dan punah ranah. Sebagai sebuah negara Persekutuan kerajaan negeri masing-masing adalah negeri-negeri yang berdaulat dan adalah tidak wajar negeri-negeri ditekan dan ditentukan segala-galanya untuk mereka oleh pimpinan Persekutuan.

Kita perlu ingat yang negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak itu adalah negeri-negeri yang berdaulat kerana seperti juga negeri-negeri lain dalam Malaysia kedua-dua negeri ini mempunyai legislatif mereka sendiri. Malahan kedaulatan Persekutuan itu seperti yang disebut oleh blog ini acapkali datangnya dari kedaulatan negeri-negeri yang bernaung dibawahnya.

Dalam keadaan krisis keyakinan kepimpinan pada hari ini pimpinan siasah di kedua-dua buah negeri perlu memainkan peranan untuk bersama-sama melakukan perubahan sekarang ini. Kita tidak boleh alpa lagi kerana ini negara kita, bukannya negara orang lain. Adalah wajar bagi pimpinan semua parti di seluruh negara lebih-lebih lagi dari Sabah dan Sarawak menjadi pendahulu dan peneraju kearah mencapai matlamat perubahan yang sangat-sangat dinanti-nantikan oleh rakyat sekarang ini.

Lakukan tindakan yang ‘unorthodox’ sekali dan dapatkan semua kehendak rakyat yang inginkan perubahan yang sejati yang dinanti-nantikan ini. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan