Khamis, 29 Ogos 2013

Beluran: Lima termasuk tiga anggota polis trafik terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 53, Jalan Beluran-Telupid




Beluran: Lima termasuk tiga anggota polis trafik terbunuh, manakala empat lagi parah apabila sebuah kereta peronda polis bertembung dengan sebuah pikap dalam kemalangan ngeri di Kilometer 53, Jalan Beluran-Telupid, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, anggota daripada Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, Koperal Saudi Meting, Koperal Hedzrin Ginan dan Lans Koperal Khairul Firdaus Abraham meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di seluruh anggota badan.

Ketua Polis Daerah Beluran Deputi Superintendan V Shivanathan berkata, dua lagi mangsa yang terkorban penumpang pikap, Masiah Jailani, 47, serta adiknya, Layni Jailani, 45.

Menurutnya, mangsa yang parah seorang anggota polis trafik, Konstabel Zaini Mohd Radzuan dan tiga individu termasuk pemandu pikap terbabit yang belum dikenali identiti mereka. Semua mereka menerima rawatan di Hospital Beluran, di sini.

SUMBER

Rabu, 28 Ogos 2013

V.K Liew gagal tadbir LDP punca tewas PRU13?



SANDAKAN: Presiden Parti Liberal Demokratik, Datuk V.K.Liew berkata kekalahannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) padaPRU13 lalu bukan berpunca dari kegagalannya mengurus tabdir parti itu.


Sebaliknya menurut beliau, kekalahan itu adalah disebabkan jentera BN di kawasan berkenaan kurang berkesan dalam menterjemahkan kempen BN ketika mendekati rakyat serta sindrom politik semasa.


Beliau mendedahkan situasi itu ketika mengadakan perjumpaan dengan penyokong dan ahli-ahli LDP di pejabat parti berkenaan pada Ahad.



Oleh itu, dakwaan yang mengatakan beliau gagal mengurus tadbir parti itu adalah punca LDP kehilangan kerusi Parlimen Sandakan amat tidak tepat dan dakwaan itu mempunyai agenda tersirat yang sedang dirancangan pihak tertentu dalam parti.


“Pada PRU13 kita bergerak dalam satu pasukan iaitu BN tetapi inilah politik yang hakikatnya perlu diterima oleh rakyat terutamanya penyokong dan ahli LDP sendiri,” jelasnya.


“Oleh itu kita harus menerimanya secara terbuka dan dalam masa sama cuba jangan menimbulkan provokasi dalaman yang membahayakan parti sendiri dan menyumbang kepada keretakan perpaduan sesama ahli,” katanya.


V.K Liew percaya ada pihak tertentu dalam parti yang menjadi tangan ghaib yang berusaha menyingkirkan beliau dari pada jawatan presiden LDP.


Katanya, isu jawatan Presiden Parti yang sedang panas dibualkan dalam kalangan ahli dan pemerhati politik di negeri ini jelas menggambarkan LDP bergolak.


Beliau yang juga mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata tindakan setiausaha Agung LDP untuk mencabar beliau membuktikan adanya pelanggaran kepada keputusan mesyuarat yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi LDP sebelum itu.


Katanya,apa yang diputuskan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi LDP adalah proses peralihan kuasa secara berhemah dan berdisiplin yang mana ahli-ahli telah menyetujui bahawa ianya dilakukan secara muafakat yang kolektif.


“Itulah yang telah diputuskan, tidak seperti yang dikehendaki oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Teo Chee Kang yang berhasrat menjadi presiden LDP meskipun melanggar dasar parti,” kata Liew lagi.


Bagaimanapun, V.K Liew percaya keputusan Teo untuk mencabarnya ada unsur hasutan individu tertentu yang merupakan tangan ghaib dalam parti yang sudah dirancang sekian lama termasuk mencetuskan ketegangan antara LDP dengan komponen lain dalam BN.


Justeru itu, beliau mencabar kelompok itu supaya tampil dengan menyatakan pendirian masing-masing.


Berdasarkan laporan media, Teo kian mendapat sokongan bahagian-bahagian yang mahu beliau mencabar penyandang presiden ketika ini V.K.Liew termasuklah bahagian Lahad Datu.


Dalam perkembangan lain, ramai aktivis politik Cina di sini yang ditemui berpendapat bahawa walaupun Teo berjaya menjadi Presiden LDP, beliau tidak akan dapat membawa apa-apa perubahan kepada parti itu.

SUMBER

K'jaan sedia kaji beri elaun kepada anggota skim rondaan sukarela: Joseph Kurup




KOTA BAHARU: Kerajaan akan mengkaji kewajaran memberi elaun kepada anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara yang kini menjalankan tugas dengan baik, membantu mengurangkan jenayah dan isu sosial.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata setakat ini kerajaan memberi beberapa insentif kepada mereka seperti perlindungan insurans, jaket keselamatan dan alat komunikasi walkie-talkie.


“Kami sedar anggota SRS menjalankan tugas dengan cukup baik dalam menjaga keselamatan bersama pihak keselamatan lain. Atas kesedaran ini kerajaan akan mengkaji sama ada mereka perlu diberi elaun,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ketereh di sini, hari ini.




Kurup berkata SRS yang diperkenalkan dalam KRT dengan keanggotaan kira-kira 175,000 orang di seluruh negara setakat ini, melaksanakan tanggungjawab mereka berasaskan semangat kesukarelaan.


Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha dan memberi perhatian serius dalam soal perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya pelbagai program dan pendekatan sedang dan akan dilaksana bagi memastikan usaha itu dapat dilaksana dengan baik dan berkesan.


“Selaras dengan usaha tersebut adalah perlu bagi kita untuk mengekalkan semangat perpaduan serta persefahaman yang erat dalam kalangan anggota Rukun Tetangga dengan masyarakat setempat,” katanya.


Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-56 negara termasuk di kenderaan, rumah, bangunan pejabat dan premis perniagaan.

SUMBER

Isnin, 26 Ogos 2013

73 individu ditahan bersempena Ops Cantas



KOTA KINABALU: Seramai 73 individu yang dipercayai terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah ditahan sempena pelaksanaan Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) di negeri ini, menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.


Beliau berkata kesemua yang ditahan itu membabitkan 251 serbuan sepanjang tempoh sembilan hari operasi berkenaan dilakukan bermula 17 hingga 25 Ogos lalu di seluruh kontinjen polis negeri ini.


“Kita berjaya menahan seramai 73 individu setelah pemeriksaan terhadap 829 individu dilakukan pada tempoh berkenaan.


“Sementara itu, dalam operasi terbabit juga menyaksikan sebanyak lapan senjata berjaya dirampas daripada individu-individu yang ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan dekat sini kelmarin.


Hamza berkata, pihaknya akan terus komited dalam melaksanakan operasi terbabit dari masa ke semasa selaras dengan saranan daripada Ketua Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha membanteras jenayah di negara ini.

“Kontinjen Sabah akan terus berusaha membendung kegiatan jenayah dari masa ke semasa ditambah lagi dengan adanya Ops Cantas yang telah dilancarkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini,” katanya.


Untuk rekod, Ops Cantas terbabit akan meliputi meliputi sekatan jalan raya, pemeriksaan premis perniagaan dan kediaman serta mengesan bekas banduan yang pernah ditahan mengikut Akta Ordinan Darurat (EO) yang disyaki aktif semula dalam kegiatan jenayah.


Sementara di IPK kelmarin, turut berlangsung majlis penyerahan tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah membabitkan Datuk Tan Kok Liang dan Datuk Abdul Malek Harun yang disaksikan oleh Hamza dan ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua polis daerah di negeri ini.



Abdul Malek akan menyandang jawatan sebagai pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah sementara Tan akan menggantikan tugas beliau sebelum ini iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Makmal Forensik).


Kedua-dua mereka akan bertukar portfolio masing-masing berikutan Abdul Malek sebelum ini telah bertugas sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Bukit Aman.



Ketika ditemui, Abdul Malek berkata ini merupakan kali pertama beliau ditugaskan secara rasmi di negeri Sabah memandangkan sebelum itu telah menjawat jawatan terdahulu selama enam tahun.
“Saya telah bertugas di Bukit Aman selama enam tahun sejak 2007 dan turut berkesempatan bertugas di Sarawak sebelum ini.


“Dengan pelantikan ini, saya berharap dapat membantu Kontinjen Sabah dalam pelbagai pencapaian dari masa ke semasa,” katanya yang berasal dari Alor Gajah, Melaka itu.



by RUZAINI ZULKIFLIruzainiub@gmail.com.

Ketua Menteri Sabah mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Fitri Kolej Yayasan Sabah





Kota Kinabalu: Ketua Menteri SabahYAB Datuk Seri Musa Haji Aman hari ini mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kolej Yayasan Sabah yang telah diadakan di perkarangan bangunan Kolej Universiti Yayasan Sabah Kampus Bandaraya Sembulan.







Pada majlis ini, beliau juga yang merupakan Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkesempatan menyampaikan Derma Siswa Biasiswa Yayasan Sime Darby kepada pelajar yang cemerlang dalam keputusan akademik dan kualiti kepimpinan serta membantu mereka meneruskan pembelajaran di peringkat Vokasional., sijil diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.



Selain menikmati hidangan yang disediakan, majlis juga diserikan dengan persembahan hiburan dan tarian kebudayaan oleh Kumpulan Kebudayaan KYS dan juga Fashion Show daripada pelajar-pelajar Program Kraftangan KYS menggamatkan lagi suasana Majlis Rumah Terbuka Kolej Yayasan Sabah pada kali ini.


Turut hadir pada majlis ini Pengarah Yayasan Sabah YB Datuk Haji Sapawi Bin Haji Ahmad, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar YB Datuk Masidi Manjun serta beberapa Kenamaan yang lain.





 


Ahad, 25 Ogos 2013

Isteri maut ditikam suami

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ke atas mayat mangsa di rumah kongsi berhampiran 
tapak pembinaan di Kampung Ganang, Kepayan kelmarin.



KOTA KINABALU: Angkara terlalu cemburu, seorang lelaki warga asing menikam isterinya sendiri sehingga mati dalam satu kejadian di sebuah rumah kongsi berhampiran tapak pembinaan di Kampung Ganang, Kepayan, dekat sini, pagi kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Suria Amuk, 45, meninggal dunia di tempat kejadian, akibat kecederaan parah di bahagian badan selepas ditikam beberapa kali oleh suspek menggunakan senjata tajam dalam insiden sekitar jam 9.45 pagi berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran lokasi sedang berehat di tempat penginapan mereka, sebelum didatangi oleh suspek yang kemudian menengkingnya.

Difahamkan berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri terbabit. Suspek mendakwa isterinya berlaku curang serta menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketika pergaduhan itu, suspek dipercayai meluru ke dalam rumah dan mengambil sebilah pisau sebelum menikam mangsa beberapa kali sehingga mati Suspek kemudian menyerah diri kepada polis yang tiba sejurus kemudian di lokasi kejadian.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata sepasukan anggota digegaskan ke lokasi kejadian dan menahan suspek yang menyerah diri. Polis menerima maklumat berhubung kes itu sekitar jam 9.50 pagi.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan awal, kita mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badannya,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata pihaknya tidak menolak motif kejadian itu disebabkan cemburu kerana suspek dikatakan mendakwa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan individu lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Ejen PKR dakwa kertas undi dikira sekali sahaja

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya semalam diberitahu oleh seorang ejen mengundi PKR bagi kerusi Parlimen Kota Marudu, Ainin Akon bahawa ketua tempat mengundi di saluran mengundi tempat beliau bertugas membuat pengiraan undi sekali sahaja pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas.

Baginya kertas undi perlu dikira dua atau tiga kali, tetapi ketua tempat mengundi di saluran mengundi di Sekolah Kebangsaan Indaraon Laut, berkata tidak perlu.

“Saya ada membuat bantahan. (Tetapi) KTM (ketua tempat mengundi) berkata tidak payah kira (kertas undi) lagi kerana kotak undi akan dibawa ke Dewan Masyarakat Kota Marudu. Di sana akan kira lagi,” katanya.

Ainin memberi keterangan pada mahkamah itu yang mendengar petisyen pilihan raya terhadap kerusi Parlimen Kota Marudu pada PRU13.


Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak diberikan salinan Borang 14, yang merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan bilangan undi rosak.

“Saya sepatutnya diberikan salinan Borang 14. Tetapi KTM tidak menyerahkan salinan borang kepada saya dan KTM berkata telah diberi arahan oleh pegawai pengurus supaya tidak mengedarkan Borang 14 kepada sesiapa,” katanya.

Dalam petisyen itu, calon PKR Datuk Maijol Mahap menamakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya Lovita Koisun sebagai responden kedua dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 13 Ogos lepas, Hakim Datuk Yew Jen Kee memutuskan supaya dakwaan amalan rasuah terhadap Ongkili digugurkan daripada petisyen itu, tetapi Ongkili kekal sebagai responden kerana beliau merupakan pemenang kerusi berkenaan. — Bernama