Rabu, 28 Ogos 2013

K'jaan sedia kaji beri elaun kepada anggota skim rondaan sukarela: Joseph Kurup




KOTA BAHARU: Kerajaan akan mengkaji kewajaran memberi elaun kepada anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara yang kini menjalankan tugas dengan baik, membantu mengurangkan jenayah dan isu sosial.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata setakat ini kerajaan memberi beberapa insentif kepada mereka seperti perlindungan insurans, jaket keselamatan dan alat komunikasi walkie-talkie.


“Kami sedar anggota SRS menjalankan tugas dengan cukup baik dalam menjaga keselamatan bersama pihak keselamatan lain. Atas kesedaran ini kerajaan akan mengkaji sama ada mereka perlu diberi elaun,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ketereh di sini, hari ini.




Kurup berkata SRS yang diperkenalkan dalam KRT dengan keanggotaan kira-kira 175,000 orang di seluruh negara setakat ini, melaksanakan tanggungjawab mereka berasaskan semangat kesukarelaan.


Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha dan memberi perhatian serius dalam soal perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya pelbagai program dan pendekatan sedang dan akan dilaksana bagi memastikan usaha itu dapat dilaksana dengan baik dan berkesan.


“Selaras dengan usaha tersebut adalah perlu bagi kita untuk mengekalkan semangat perpaduan serta persefahaman yang erat dalam kalangan anggota Rukun Tetangga dengan masyarakat setempat,” katanya.


Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-56 negara termasuk di kenderaan, rumah, bangunan pejabat dan premis perniagaan.

SUMBER

Tiada ulasan:

Catat Ulasan