Isnin, 26 Ogos 2013

73 individu ditahan bersempena Ops Cantas



KOTA KINABALU: Seramai 73 individu yang dipercayai terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah ditahan sempena pelaksanaan Operasi Cantas Khas (Ops Cantas) di negeri ini, menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.


Beliau berkata kesemua yang ditahan itu membabitkan 251 serbuan sepanjang tempoh sembilan hari operasi berkenaan dilakukan bermula 17 hingga 25 Ogos lalu di seluruh kontinjen polis negeri ini.


“Kita berjaya menahan seramai 73 individu setelah pemeriksaan terhadap 829 individu dilakukan pada tempoh berkenaan.


“Sementara itu, dalam operasi terbabit juga menyaksikan sebanyak lapan senjata berjaya dirampas daripada individu-individu yang ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan dekat sini kelmarin.


Hamza berkata, pihaknya akan terus komited dalam melaksanakan operasi terbabit dari masa ke semasa selaras dengan saranan daripada Ketua Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha membanteras jenayah di negara ini.

“Kontinjen Sabah akan terus berusaha membendung kegiatan jenayah dari masa ke semasa ditambah lagi dengan adanya Ops Cantas yang telah dilancarkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini,” katanya.


Untuk rekod, Ops Cantas terbabit akan meliputi meliputi sekatan jalan raya, pemeriksaan premis perniagaan dan kediaman serta mengesan bekas banduan yang pernah ditahan mengikut Akta Ordinan Darurat (EO) yang disyaki aktif semula dalam kegiatan jenayah.


Sementara di IPK kelmarin, turut berlangsung majlis penyerahan tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah membabitkan Datuk Tan Kok Liang dan Datuk Abdul Malek Harun yang disaksikan oleh Hamza dan ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua polis daerah di negeri ini.



Abdul Malek akan menyandang jawatan sebagai pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah sementara Tan akan menggantikan tugas beliau sebelum ini iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Makmal Forensik).


Kedua-dua mereka akan bertukar portfolio masing-masing berikutan Abdul Malek sebelum ini telah bertugas sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Bukit Aman.



Ketika ditemui, Abdul Malek berkata ini merupakan kali pertama beliau ditugaskan secara rasmi di negeri Sabah memandangkan sebelum itu telah menjawat jawatan terdahulu selama enam tahun.
“Saya telah bertugas di Bukit Aman selama enam tahun sejak 2007 dan turut berkesempatan bertugas di Sarawak sebelum ini.


“Dengan pelantikan ini, saya berharap dapat membantu Kontinjen Sabah dalam pelbagai pencapaian dari masa ke semasa,” katanya yang berasal dari Alor Gajah, Melaka itu.



by RUZAINI ZULKIFLIruzainiub@gmail.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan