Ahad, 25 Ogos 2013

Isteri maut ditikam suami

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ke atas mayat mangsa di rumah kongsi berhampiran 
tapak pembinaan di Kampung Ganang, Kepayan kelmarin.



KOTA KINABALU: Angkara terlalu cemburu, seorang lelaki warga asing menikam isterinya sendiri sehingga mati dalam satu kejadian di sebuah rumah kongsi berhampiran tapak pembinaan di Kampung Ganang, Kepayan, dekat sini, pagi kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Suria Amuk, 45, meninggal dunia di tempat kejadian, akibat kecederaan parah di bahagian badan selepas ditikam beberapa kali oleh suspek menggunakan senjata tajam dalam insiden sekitar jam 9.45 pagi berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran lokasi sedang berehat di tempat penginapan mereka, sebelum didatangi oleh suspek yang kemudian menengkingnya.

Difahamkan berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri terbabit. Suspek mendakwa isterinya berlaku curang serta menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketika pergaduhan itu, suspek dipercayai meluru ke dalam rumah dan mengambil sebilah pisau sebelum menikam mangsa beberapa kali sehingga mati Suspek kemudian menyerah diri kepada polis yang tiba sejurus kemudian di lokasi kejadian.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata sepasukan anggota digegaskan ke lokasi kejadian dan menahan suspek yang menyerah diri. Polis menerima maklumat berhubung kes itu sekitar jam 9.50 pagi.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan awal, kita mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badannya,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata pihaknya tidak menolak motif kejadian itu disebabkan cemburu kerana suspek dikatakan mendakwa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan individu lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan