Sabtu, 28 September 2013

Faizal tanding Ketua Pemuda Umno Kudat

Antara calon termuda rebut kerusi Ketua Pemuda Umno Bahagian




KOTA KINABALU :  Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kudat, Mohamed Faizal Mohamed Murtaza menawar diri bertanding Jawatan Ketua Pemuda Bahagian Kudat pada pemilihan parti itu Oktober depan.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Putera Umno Bahagian Kudat telah bergiat aktif dalam pergeakan Pemuda Umno sejak 2005, percaya masanya sudah tiba untuknya mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam memertabatkan perjuangan memperkasa Umno.

''Adalah menjadi hasrat saya untuk membawa idea-idea segar dan perubahan yang positif seiring dengan peredaran masa kini dengan menawarkan diri bagi kerusi Ketua Bahagian Umno Bahagian Kudat.'' katanya.

Mohamed Faizal, 30, merupakan antara calon termuda di Malaysia yang merebut kerusi Ketua Pemuda Umno Bahagian. Pertama kali menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno Bahagian, beliau akan berhadapan persaingan lima penjuru calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kudat.

Mohamed Faizal yang juga seorang ahli perniagaan berkata penawaran diri bagi bertanding kerusi Ketua Pemuda Umno Bahagian Kudat ini bukanlah untuk sekadar mengisi jawatan mahupun untuk mempromosikan diri.

''Keputusan menawarkan diri ini adalah kerana saya nekad membawa harapan baru untuk masa depan khususnya kepada golongan belia di bahagian Kudat. Saya juga bertekad untuk menyahut cabaran membawa pergerakan ini ke satu tahap yang lebih tinggi dan berdaya saing,'' katanya.

Beliau percaya masanya sudah tiba untuk Umno khasnya Pemuda Bahagian Kudat melangkah setapak ke hadapan selaras dengan slogan''Transformasi'' dan ''Meremajakan Umno'' yang diilhamkan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menerapkan politik berasaskan idea ke dalam parti.

Katanya, dengan mengambil kira jumlah pengundi yang berada di dalam lingkungan usia 21 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 5.5 juta pengundi pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, adalah menjadi matlamatnya untuk membantu parti menawan hati golongan belia ini untuk berada di belakang Umno dan Barisan Nasional (BN).

''Ini merupakan sebuah perkara penting, kerana golongan ini membentuk 41.86 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi dan akan menentukan keputusan pilihan raya umum akan datang.''

Oleh itu, saya berhasrat untuk menerajui sayap Pemuda Umno Bahagian Kudat dengan mengambil langkah mendekatkan diri dengan golongan belia sambil memahami permasalahan dan kehendak mereka,'' katanya.

Mohamed Faizal berkata di samping itu, beliau juga sentiasa dan akan terus mengamalkan sikap keterbukaan dalam menerima kritikan, cadangan dan idea dari semua pihak untuk memantapkan parti.

''Ini kerana saya percaya sebuah pergerakan yang mantap dan jitu tidak akan dapat dibina oleh seseorang individu tetapi memerlukan penglibatan semua pihak,'' katanya.

''Dengan masih mempunyai sekurang-kurangnya tiga penggal dalam pergerakan Pemuda Umno ia memberi saya kelebihan untuk merancang program jangka masa panjang yang dapat memberi impak berterusan di samping menjaga kelangsungan program-program yang telah dirancang.'' katanya.

Beliau juga berhasrat untuk membantu golongan belia khususnya belia di bahagian Kudat untuk meningkatkan kadar pendapatan dan menaikan taraf kehidupan mereka. Program-program seperti penempatan ke institusi pengajian tinggi, bengkel-bengkel kemahiran dan ekspo pekerjaan akan dilaksanakan bagi mencapai hasrat ini.

Katanya, untuk menjayakan kempen ini, sebuah gerakan akar umbi yang kuat dan teratur amatlah diperlukan.

''Dengan itu, saya menjemput semua yang mengenali saya untuk bersama-sama turut serta dalam kempen ini dan membantu saya dalam usaha untuk membawa perubahan.


SUMBER 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan