Rabu, 20 November 2013

Kerajaan lanjutkan tempoh bayaran bantuan kebajikan kepada dua tahun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah berhasrat melanjutkan tempoh pembayaran bantuan kebajikan kepada pemohon yang layak daripada setahun kepada dua tahun mulai Januari depan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid (gambar) berkata manfaat itu dilaksanakan untuk setiap permohonan baharu di bawah Skim Bantuan Kebajikan iaitu Skim Bantuan Am dan Skim Bantuan Anak Yatim yang dibiayai kerajaan negeri.
Katanya bagi bantuan kebajikan yang dibiayai kerajaan pusat, kementeriannya akan mencadangkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya turut memanjangkan tempoh itu kepada dua tahun supaya bantuan dapat diseragamkan.
“Pemanjangan tempoh berkenaan merupakan inisiatif baharu bagi membolehkan tumpuan kerja dapat diberikan kepada perkhidmatan kebajikan lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.
Di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri, beliau berkata kementeriannya menyalurkan bantuan negeri dan Persekutuan berjumlah lebih RM223 juta kepada 71,715 penerima setakat bulan ini.
Menurut Jainab, daripada jumlah itu kerajaan negeri menyumbang RM43 juta yang memberi faedah kepada 2,348 orang, manakala kerajaan pusat memberi lebih RM180 juta untuk 48,504 penerima.
Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik cadangan menjadikan kawasan berhampiran bangunan Wisma Wanita di Jalan Tuaran dekat sini sebagai satu daripada terminal bas bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di pusat bandar.
Ketika mengalu-alukan cadangan Christina Liew (PKR-Api-Api) ketika membahaskan Bajet Negeri 2014 pada persidangan DUN itu, beliau berkata pengwujudan sebuah terminal bas di kawasan berkenaan secara tidak langsung akan memberi kesan baik kepada aktiviti di Wisma Wanita dan kawasan sekitarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata cadangan itu memerlukan kajian lanjut oleh pihak berkaitan mengenai kesesuaian kawasan itu dijadikan terminal bas.


JPNIN lantik 44 orang mediator komuniti bagi selesaikan isu setempat yang wujud

March, 3, 2013 - 6:41 am

KOTA KINABALU:  Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah telah melantik seramai 44 orang mediator komuniti untuk  menyelesaikan isu yang wujud di seluruh Sabah.
Pengarah JPNIN,  Nurul Akmalina Shamsuddin berkata semua mediator komuniti itu adalah sukarelawan tanpa mendapat sebarang bayaran ke atas kerja-kerja mereka.
Katanya, mereka berperanan untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan negeri dan persekutuan dan menyelesaikan konflik yang wujud di peringkat akar umbi.
“Saya menyeru kepada semua mediator agar dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh komited dan profesional,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Ketua Menteri disini baru-baru ini.
Nurul berharap peranan yang dijalankan itu dapat diteruskan untuk membantu kerajaan negeri selesaikan perbalahan dan masalah yang wujud di kawasan masing-masing.

Menurutnya, masalah yang wujud selalunya adalah seperti masalah perebutan pakir kereta di perumahan, dan juga perbezaan ideologi yang melibatkan emosi dan boleh mencetus ketegangan.
“Keadaan sedemikian dan masalah lain perlu diselesaikan agar ianya tidak menjadi virus dalam komuniti itu,” jelasnya.
Katanya, terdapat hampir 100 orang yang memohon menjadi mediator komuniti di Sabah tetapi hanya 44 orang sahaja dipilih kerana lulus dalam ujian empat peringkat yang diberikan kepada mereka.
“Mereka akan diperhatikan oleh badan yang dilantik JPNIN untuk melihat sama ada mereka mampu menyelesaikan isu dalam keadaan tenang tanpa dipengaruhi oleh emosi.
“Mereka yang gagal adalah mereka yang tidak dapat capai ke peringkat ke empat dalam latihan yang diberikan,” tambahnya.


Ahad, 17 November 2013

Pegawai JPN antara 19 ditahan sindiket ‘IC Palsu’

TAWAU: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPD Tawau berjaya membongkar kegiatan sindiket ‘IC Palsu’ yang disyaki didalangi oleh seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bergiat aktif di sekitar Pantai Timur negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Keong Ho Eng, berkata kejayaan itu merupakan tangkapan terbesar yang direkodkan melibatkan kes-kes penipuan dokumen pengenalan diri oleh pihak JSJK di Tawau sepanjang tahun ini.



“JSJK telah menahan seramai 16 individu di sebuah hotel di sini pada 25 Mei lalu kira-kira jam 11 malam dalam serbuan yang diketuai oleh Inspektor Siva Prakash di sebuah bilik hotel berkenaan,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau di sini kelmarin.

Beliau menjelaskan bahawa penangkapan 16 individu terbabit termasuk seorang wanita itu turut membawa kepada tiga lagi penahanan susulan.

Tambahnya, tiga individu terlibat termasuk pegawai JPN terbabit ditangkap dalam tempoh di antara 26 hingga 28 Mei lepas dan lima daripada mereka yang ditangkap telahpun didakwa di Mahkamah Tawau dan Lahad Datu.

“Pegawai berusia 52 tahun itu termasuk seorang lagi suspek didakwa di Mahkamah Lahad Datu, manakala tiga orang lagi yang terdiri daripada dua lelaki Semenanjung dan seorang lelaki tempatan didakwa di Tawau,” katanya.
Mengenai serbuan di hotel berkenaan, pihak polis mendapati sindiket terbabit sedang menguruskan hal-hal pendaftaran pemprosesan dokumen palsu mangsa-mangsa mereka yang dipercayai terdiri daripada warga asing.

Beliau menjelaskan hasil siasatan lanjut juga mengesahkan bahawa sembilan daripada individu terlibat merupakan lelaki warga Malaysia, lapan lelaki warga Pakistan, seorang lelaki berketurunan Jawa Indonesia dan seorang wanita warga Filipina.

Menurutnya, JSJK turut merampas sebuah beg, 107 borang pendaftaran membuat MyKad (belum berisi), lima borang yang dilengkapi cap jari dan gambar, sembilan sijil lahir, dua borang Bantuan Rakyat 1Malaysia, satu ‘stampad’, lima buku cek dan wang tunai RM1,000.

“Modus operandi sindiket ini kita percaya berorientasikan penawaran dokumen berbentuk MyKad asli dan meminta mangsa-mangsa mereka supaya menyerahkan duit di antara RM1,000 – RM5,000, gambar, sijil lahir (jika ada) dan cap jari.

“Malah, sindiket ini juga dipercayai menggunakan jawatan lelaki terbabit sebagai pegawai JPN di Putrajaya dan menggunakan borang-borang pendaftaran yang asli untuk menyakinkan orang ramai supaya mempercayai kegiatan mereka adalah sah di sisi undang-undang.

“Kita percaya mereka bergiat aktif di sekitar daerah Tawau, Lahad Datu dan Semporna, bagaimanapun setakat ini belum ada seorangpun mangsa penipuan sindiket ini yang tampil untuk membuat laporan di Semporna,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai khususnya mangsa-mangsa penipuan sindiket terbabit agar tampil membuat laporan polis bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap anggota sindiket berkenaan.

Beliau berkata, pihak polis juga telah mendapatkan kepastian daripada pihak JPN berhubung status pegawai JPN terbabit yang difahamkan sedang bercuti dan anggota sindiket itu menjalankan proses pendaftaran di luar pejabat JPN sebagai mencurigakan.

Difahamkan, siasatan dan pendakwaan kes itu dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Golongan muda pulihara warisan budaya

Asmat menyampaikan hadiah kepada para peserta pertandingan
KUDAT:  Ketamadunan sesuatu  bangsa  bergantung dengan keunggulan budaya bangsa itu sendiri.

Penolong Pegawai Tadbir (DDO) En. Asmat Mandin berkata dan menyeru semua lapisan masyarakat martabatkan warisan budaya agar ia terus terpulihara dan menjadi  khazanah berharga warisan turun temurun.

Katanya, setiap bangsa mempunyai budaya warisan masing-masing dan sudah pasti ia akan menjadi kebangaan bangsa itu sendiri.
Peserta pertandingan Betitik
“Namun jika tiada usaha meneraju dan pengerak untuk memuliharanya warisan ini sudah pasti budaya bangsa tersebut sukar dipertahankan mahupun dibanggakan’” katanya ketika mewakili Menteri Tugas-tugas Khas YB Datuk Teo Chee Kang merasmikan Program Klinik Betitik anjuran Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah Bahagian Kudat bertempat di Kg. Parapat Laut baru-baru ini.
Asmat bergambar bersama peserta-pesrta program
Hadir sama ialah Pegawai Belia Dan Sukan Kudat En. Matrudin Baluan, Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Pengerusi Persatuan Belia Kg. Parapat Laut dan masyarakat setempat.
Ujarnya, program itu amat penting bukan sekadar sebagai salah satu daya tarikan sektor pelancungan yang  mengiatkan ekonomi, sosial dan pembangunan daerah Kudat,  malah melaluinya  penglibatan golongan muda dapat digerakkan untuk sama-sama  terlibat ke arah pemuliharaan warisan budaya khususnya melalui seni muzik betitik.

Suterabayu.






Jumaat, 15 November 2013

Kenakan tindakan - SPRM terhadap pegawai kerajaan buat keputusan rugikan rakyat dan negara

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan satu undang-undang baharu digubal bagi mengenakan tindakan terhadap penjawat awam yang membelakangkan kepentingan awam sehingga merugikan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, perkara itu dilihat perlu kerana skop Seksyen 23 Akta SPRM yang diguna pakai sekarang agak kecil.

"Seksyen ini hanya mengkhususkan kepada proses pembuatan keputusan kepada mana-mana pihak yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan individu tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Khas Sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM ke-46, di sini hari ini.

Menurutnya, undang-undang baharu itu dilihat perlu memandangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara terdapat beberapa keputusan yang diambil oleh pegawai kerajaan mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara.

Dengan adanya undang-undang baharu itu, SPRM akan dapat mendakwa individu yang membelakangkan kepentingan awam sehingga menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada rakyat, katanya.

Beliau berkata, SPRM telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara serta pihak yang berkaitan mengenai cadangan itu.


Sementara itu, Abu Kasim berkata, SPRM telah mengemukakan cadangan pindaan undang-undang kepada Peguam Negara untuk mengenakan tindakan ke atas anggota lembaga pengarah syarikat yang membenarkan perlakuan rasuah dalam syarikatnya.

"Kita cadangkan perkara ini jadi satu kesalahan kerana kita nak mengubah budaya dalam masyarakat kita bahawa selain daripada yang menerima dan yang memberi, pihak yang membenarkan pemberian itu juga bertanggungjawab atas kesalahan tersebut," katanya.

Sambutan ulang tahun dengan tema 'Transformasi Menjana Kenggulan' itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Shukri Abdul.

Pada majlis itu, Abu Kassim turut berucap dan berhubung melalui telesidang dengan warga SPRM di seluruh negara. 


- BERNAMA


Insiden larikan kereta polis di Maran – Selepas tembak [mati], polis terpaksa berbohong?

Dakwaan polis sebelum ini, seorang lelaki yang bertindak menyerang anggota polis sebelum merampas sepucuk pistol dan melarikan kenderaan peronda polis di susur keluar Tol Chenor Lebuh Raya Pantai Timur, Maran.
Suspek, 22 tahun bertindak melepaskan empat das tembakan secara rambang keluar dari kenderaan yang dilarikannya.
Suspek menyerang menggunakan kunci tambahan motosikal berbentuk U yang berada di dalam raga motosikalnya.
“Suspek kemudian melarikan kenderaan polis yang tidak dimatikan enjinnya ke arah Pekan Awah. Suspek membawa kenderaan tersebut berlegar-legar di sepanjang jalan utama Pekan Awah-Chenor dan ketika itu suspek melepaskan empat das tembakan secara rawak ke arah luar kereta, namun tidak mengenai sesiapa,”
“Pihak polis menggunakan kenderaan polis lain mengekori kereta polis yang dilarikan suspek dan usaha memujuk juga dilakukan dengan bantuan keluarga suspek tapi gagal,”
“Pihak polis terpaksa memecahkan cermin belakang kenderaan itu bagi mengeluarkan suspek yang cedera di kepala dan tidak sedarkan diri.
“Suspek kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut menggunakan kenderaan polis,” kata Ketua Polis Daerah Maran Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid.
Lain pula cerita bapa lelaki tersebut hari ini. Bapanya mungkin akan mengambil tindakan mahkamah. Ini kerana laporan bedah siasat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) menunjukkan anaknya meninggal dunia kerana kecederaan di kepala akibat ditembak.
Bapanya menolak dakwaan polis anaknya meninggal dunia akibat hentakan kepala di stering kereta.
“Saya tanya mereka sama ada Angah lepaskan tembakan dan diberitahu Allahyarham tidak berbuat demikian. Sebaliknya anggota polis lepas tembakan ke arah tayar kereta tetapi tidak kena,” kata bapa mangsa Abdul Nasir Abdullah.
Amat berbeza dengan cerita polis di atas. Siasatan lanjut perlu dilakukan dan jangan biar polis yang siasat polis!!

Pengurus restoran nafi guna najis manusia

Perniagaan nasi kandar di Jalan Yang Kalsom di sini dikenakan notis Perintah Tutup Premis Makanan selama 14 hari kerana melanggar syarat di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 berkaitan kebersihan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kinta (Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan) mulai hari ini. - Foto Bernama

IPOH - Pengurus Restoran Nasi Kandar Ayam Merah di Jalan Yang Kalsom di sini hari ini menyangkal keras dakwaan restorannya ditutup susulan penemuan najis manusia di dalam peti simpanan makanan di premis itu.
   
Mohd Nihmatullah Syed Mustaffah berkata perkara itu yang disebar menerusi laman sosial sejurus selepas notis penutupan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan petang semalam, merupakan fitnah yang bertujuan menjejaskan perniagaannya.
   
"Adakah najis orang kita boleh masak? Kenapa cemburu selepas 55 tahun saya berniaga di sini?," katanya kepada pemberita di sini.
   
Sambil menegaskan penutupan selama dua minggu sehingga 28 Nov itu atas faktor kebersihan, beliau berkata pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut mendakwa najis terbabit untuk disalut di sekeliling periuk.
   
"Kalau ada bukti (saya berbuat demikian) keluarkanlah...," katanya menambah perbuatan tersebut turut menjejaskan imej Perak yang sinonim dengan nasi kandar restorannya yang dikenali sebagai 'nasi ganja'.

Banyak orang kenamaan termasuk menteri dari luar negara datang menjamu selera di sini, justeru bayangkan apa perasaan mereka jika terbaca dakwaan yang dibuat itu, katanya.
   
Mohd Nihmatullah, 59, juga menegaskan hanya restorannya ditutup manakala Restoran Vanggey di Greentown yang turut menjual nasi kandar beroperasi seperti biasa.
   
Restoran Vanggey juga milik keluarga saya, katanya.
   
Beliau berkata, restorannya dijangka beroperasi semula Ahad atau Isnin ini selepas Jabatan Kesihatan melakukan pemeriksaan susulan.
   
Restoran terbabit diarah tutup selama dua minggu bermula semalam kerana gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.
   
Notis perintah tutup premis yang dikeluarkan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Abdul Rahman Ismail, dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. - Bernama