Jumaat, 15 November 2013

Kenakan tindakan - SPRM terhadap pegawai kerajaan buat keputusan rugikan rakyat dan negara

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan satu undang-undang baharu digubal bagi mengenakan tindakan terhadap penjawat awam yang membelakangkan kepentingan awam sehingga merugikan negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, perkara itu dilihat perlu kerana skop Seksyen 23 Akta SPRM yang diguna pakai sekarang agak kecil.

"Seksyen ini hanya mengkhususkan kepada proses pembuatan keputusan kepada mana-mana pihak yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan individu tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Khas Sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM ke-46, di sini hari ini.

Menurutnya, undang-undang baharu itu dilihat perlu memandangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara terdapat beberapa keputusan yang diambil oleh pegawai kerajaan mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara.

Dengan adanya undang-undang baharu itu, SPRM akan dapat mendakwa individu yang membelakangkan kepentingan awam sehingga menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada rakyat, katanya.

Beliau berkata, SPRM telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara serta pihak yang berkaitan mengenai cadangan itu.


Sementara itu, Abu Kasim berkata, SPRM telah mengemukakan cadangan pindaan undang-undang kepada Peguam Negara untuk mengenakan tindakan ke atas anggota lembaga pengarah syarikat yang membenarkan perlakuan rasuah dalam syarikatnya.

"Kita cadangkan perkara ini jadi satu kesalahan kerana kita nak mengubah budaya dalam masyarakat kita bahawa selain daripada yang menerima dan yang memberi, pihak yang membenarkan pemberian itu juga bertanggungjawab atas kesalahan tersebut," katanya.

Sambutan ulang tahun dengan tema 'Transformasi Menjana Kenggulan' itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Shukri Abdul.

Pada majlis itu, Abu Kassim turut berucap dan berhubung melalui telesidang dengan warga SPRM di seluruh negara. 


- BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan