Rabu, 20 November 2013

Kerajaan lanjutkan tempoh bayaran bantuan kebajikan kepada dua tahun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah berhasrat melanjutkan tempoh pembayaran bantuan kebajikan kepada pemohon yang layak daripada setahun kepada dua tahun mulai Januari depan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid (gambar) berkata manfaat itu dilaksanakan untuk setiap permohonan baharu di bawah Skim Bantuan Kebajikan iaitu Skim Bantuan Am dan Skim Bantuan Anak Yatim yang dibiayai kerajaan negeri.
Katanya bagi bantuan kebajikan yang dibiayai kerajaan pusat, kementeriannya akan mencadangkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya turut memanjangkan tempoh itu kepada dua tahun supaya bantuan dapat diseragamkan.
“Pemanjangan tempoh berkenaan merupakan inisiatif baharu bagi membolehkan tumpuan kerja dapat diberikan kepada perkhidmatan kebajikan lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.
Di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri, beliau berkata kementeriannya menyalurkan bantuan negeri dan Persekutuan berjumlah lebih RM223 juta kepada 71,715 penerima setakat bulan ini.
Menurut Jainab, daripada jumlah itu kerajaan negeri menyumbang RM43 juta yang memberi faedah kepada 2,348 orang, manakala kerajaan pusat memberi lebih RM180 juta untuk 48,504 penerima.
Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik cadangan menjadikan kawasan berhampiran bangunan Wisma Wanita di Jalan Tuaran dekat sini sebagai satu daripada terminal bas bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di pusat bandar.
Ketika mengalu-alukan cadangan Christina Liew (PKR-Api-Api) ketika membahaskan Bajet Negeri 2014 pada persidangan DUN itu, beliau berkata pengwujudan sebuah terminal bas di kawasan berkenaan secara tidak langsung akan memberi kesan baik kepada aktiviti di Wisma Wanita dan kawasan sekitarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata cadangan itu memerlukan kajian lanjut oleh pihak berkaitan mengenai kesesuaian kawasan itu dijadikan terminal bas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan