Rabu, 20 November 2013

Penulisan kritikal dan membina dialu-alukan

Abidin (dua kanan) menyerahkan cenderakenangan
kepada salah seorang pengadil untuk pertandingan itu.
KOTA KINABALU: Penulisan kritikal dengan memberikan penjelasan mantap dan cadangan dengan teguran-teguran membina juga dialu-alukan.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Abidin Madingkir berkata dengan penambahbaikan berterusan dan sokongan daripada media, DBKK mampu terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada masyarakat.

“Saya juga ingin menyarankan pengamal media agar memahami bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang ada kalanya banyak bergantung kepada permasalahan dana kewangan dalam menyelesaikan sesuatu perkara khususnya yang melibatkan penyelenggaraan.

“Mengatasi isu kesesakan jalanraya dan rungutan tentang kekurangan tempat letak kereta di pusat bandaraya adalah menjadi fokus utama dalam DBKK,” katanya dalam majlis malam kewartawan DBKK baru-baru ini.

Ujarnya, perancangan terperinci mengenainya telah lama dibuat untuk penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

Katanya, ia bertujuan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di bandaraya ini, kini rancangan itu hanya menunggu untuk dilaksanakan.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu, DBKK telah menubuhkan satu jabatan baru iaitu Bahagian Pengangkutan dan Trafik bertujuan memberi tumpuan sepenuhnya berkenaan isu pengangkutan awam, penyediaan tempat letak kereta dan kesesakan jalanraya.

“Mesyuarat melibatkan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Infrastruktur serta jabatan lain sering diadakan bagi membincangkan bersama dan mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai isu-isu berhubung pengangkutan awam dan kesesakan di Bandaraya Kota Kinabalu.

“Saya juga berharap, pihak media terus memberikan liputan yang positif dan membangun kepada DBKK bagi membolehkan pihaknya mempertingkatkan lagi sistem penyampaian dan perkhidmatan DBKK,” ujarnya lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan