Jumaat, 8 November 2013

ADUN Matunggong letak jawatan dalam PKR



Naib Pengerusi PKR Sabah, Jelani Hamdan telah meletak jawatan  atas alasan beliau tidak dapat bekerjasama dengan ketua PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin.

Bagaimanapun, Jelani tidak keluar parti, sekurang-kurangnya buat masa ini. Jelani adalah ADUN Mantunggong.

Ini merupakan tamparan kedua kepada PKR Sabah selepas ADUN Kadamaian, Jeremmy Malajad @ Malazad keluar parti itu pada hari Isnin dan mengisytiharkan dirinya wakil rakyat bebas yang mesra BN.

Dalam satu sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini, Jelani berkata beliau memohon menyertai parti itu pada 2010 tetapi permohonannya tidak diterima secara rasmi, tetapi beliau telah dilantik sebagai naib pengerusi PKR Sabah dua bulan lalu.

Jelani , seorang peguam , memberitahu pemberita bahawa selain Lajim, beliau juga tidak dapat bekerjasama dengan pemimpin PKR di peringkat nasional.

Katanya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubunginya secara peribadi dan memintanya supaya menghormati Lajim kerana dia seorang pemimpin senior.

Tetapi, katanya, beliau bertanya kepada Anwar apa yang dimaksudkannya Lajim seorang pemimpin senior, sedangkan Lajim hanya menyertai PKR dua hari selepas menang kerusi negeri dalam pilihan raya umum (PRU13) lalu.

Ke mana arah haluan Jelani selepas ini?

Jelani adalah ahli Umno dalam tahun 1990-an dan kemudian menjadi ketua Umno cawangan. Beliau juga adalah presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah ( Samora ) sejak tahun 2000.

Katanya, beliau memohon untuk menyertai PKR pada 7 Julai 2010 kerana beliau kagum dengan Buku Jingga yang merupakan dokumen polisi bersama Pakatan Rakyat, dan Deklarasi Kuching gabungan itu, yang menjanjikan autonomi bagi Sabah.

Walaupun beliau bertanding di bawah tiket PKR dalam PRU13, Jelani berkata beliau tidak pasti sama ada beliau mahu meneruskan kerjaya politiknya dengan PKR atas alasan parti itu telah meminggirkan masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus .

"Pada ketika ini, saya tidak tahu jika saya ahli PKR atau tidak kerana saya tidak mempunyai surat rasmi daripada HQ, " kata Jelani kepada pemberita. "Saya tidak menganggap diri saya seorang ahli, saya tidak mempunyai kad keahlian atau nombor ahli. Adakah anda fikir saya ahli?"

Jelani, 47, berkata beliau telah menghabiskan hampir 20 tahun dalam politik, dan menambah beliau dan penyokongnya mungkin membentuk parti mereka sendiri.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan