Ahad, 24 November 2013

Bekas Presiden Parti Setia Sabah kena denda RM2.75 juta, penjara 18 bulan

KOTA KINABALU: Bekas Presiden sebuah parti politik di Sabah, Suaidin@Shuhaidin Langkab @ Langab (gambar), 63 dikenakan hukuman denda RM 2.75 juta dan 18 bulan penjara selepas Mahkamah memutuskan pihak pembelaan gagal untuk mematahkan anggapan permintaan dan penerimaan wang secara rasuah membabitkan dirinya.
Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Dean Wayne Daly, dalam hujah penghakimannya memutuskan pembelaan tertuduh bahawa wang ialah sebagai ‘earnest deposit’ tidak dapat diterima oleh Mahkamah berdasarkan keterangan-keterangan yang ada.
Bagi pertuduhan pertama tertuduh dikenakan hukuman 18 bulan penjara dan denda RM 2 juta manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh menerima hukuman penjara 12 bulan dan denda RM 750,000.00.
Hukuman penjara diarahkan berjalan serentak.
Suaidin ketika melakukan kesalahan merupakan Presiden Parti Setia Sabah telah dituduh pada 13 April 2012 membabitkan dua kesalahan meminta suapan di bawah Seksyen 10(a)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Tertuduh didakwa meminta suapan sebanyak RM 400,000 dan RM 150,000 daripada Chew Ai Wah sebagai dorongan kononnya sebagai bayaran kepada pegawai di Jabatan Tanah dan Ukur.
Bayaran tersebut adalah bagi menguruskan proses pengeluaran geran untuk Lot Tanah PT 80231840-PT80231842 dan PT 80231849-PT80231852 dalam Daerah Pitas Sabah.
Kesalahan tersebut dilakukan pada 28 Ogos dan 19 September 2008 di dua lokasi berbeza iaitu di Hotel Tang Dynasty, dan Restoran Penyu, Hotel Nexus, Karambunai Resort, Kota Kinabalu.
Pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Joyce Blasius dan Pegawai Pendakwa Awang Samsul Baharam manakala tertuduh diwakili peguam bela Zahir Shah.
Sepanjang perbicaraan berlangsung seramai 21 orang saksi pendakwaan dan lima saksi di peringkat pembelaan dipanggil.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan