Isnin, 19 Ogos 2013

Dua pasangan kekasih suspek samun bersenjata Labuan House dicekup

KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas saki baki suspek yang terlibat dengan kes samun bersenjata membabitkan pejabat milik usahawan makanan segera berpangkat Datuk di Labuan House, Luyang dengan tertangkapnya dua pasangan kekasih di ibu negeri baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra berkata dua pasangan kekasih itu yang berusia lingkungan 21 hingga 22 tahun telah ditahan berhampiran pasar besar ibu negeri di dalam kenderaan jenis Honda Civic yang dinaiki mereka sekitar jam 8 malam.
“Hasil maklumat awam dan risikan, pada Ahad lepas sekitar jam 8 malam lalu sepasukan polis telah berjaya mengesan serta menyerbu keempat-empat suspek iaitu dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai pasangan kekasih di dalam sebuah Honda Civic.
“Setelah diperiksa, kita berjaya menemui beberapa barangan seperti sebilah samurai, pemutar skru, sejenis senjata buku lima, pengumpil besi, dompet dan jam tangan yang kesemuanya dipercayai berhubung kait dengan kejadian samun tempoh hari di Labuan House,” katanya.
Mengulas lanjut, Chandra berkata dua wanita yang ditahan itu dikatakan pelajar kolej swasta tempatan sementara pasangan mereka tidak bekerja dan dipercayai terlibat secara langsung dengan kejadian berkenaan.
Menurut beliau, susulan tangkapan pasangan kekasih itu pihaknya berjaya membawa kepada penemuan dan pencarian seorang lagi suspek yang difahamkan antara dalang utama kes samun itu.
“Hasil soal siasat susulan tangkapan itu, kita akhirnya berjaya mengesan seorang lagi suspek yang masih belum ditahan.
“Suspek itu dikenali sebagai Mohd Riddzy Foo berusia 20 tahun dan alamat kali terakhir di Lot 7 Taman Nosoob Jaya, Fasa 1 Jalan Kobusak Penampang.
“Sehubungan itu, kita meminta kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek untuk terus menghubungi Inspektor Jamirin Tintai di talian 016-5877111 atau 088-24211 bagi membantu siasatan,” katanya.
Setakat ini, 11 individu telah ditahan dengan enam daripadanya dituduh di mahkamah berhubung kejadian samun membabitkan kerugian hampir RM400,000 kepada pemilik kediaman jenis banglo yang dijadikan pejabat urusan perniagaan makanan segera.
Kes terbabit disiasat mengikut 395/397 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan