Ahad, 25 Ogos 2013

Kerajaan berusaha tangani masalah, cabaran dihadapi rakyat Sabah


Tambah(Dari kiri) Abu Bakar, Mohd Irwan, Ahmad Husni, Teo dan Sukarti semasa perasmian
 Majlis Konsultasi Bajet 2014 Sabah di Shangrila Tg Aru Resort & Spa pada Khamis.

KOTA KINABALU: Menyedari cabaran yang dihadapi oleh rakyat negeri Sabah yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan akan berusaha menangani permasalah itu sewajarnya bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dan menyeluruh dapat dilaksanakan.

Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata melihat kepada permasalahan itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan isi rumah termasuk di Sabah.

“Antara program dan inisiatif yang dilaksanakan merangkumi program 1Azam, pemberian BR1M, penyeragaman harga, pemberian subsidi pengangkutan serta Kedai Rakyat 1Malaysia.

“Di samping itu, program Skim Latihan 1Malaysia serta usaha menaiktaraf institusi latihan yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran dan pendapatan belia di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena perasmian Majlis Konsultasi Bajet 2014 Sabah, di Shangri-La Tanjung Aru Resort & Spa, di sini kelmarin.

Ahmad Husni berkata, usaha-usaha yang dilaksanakan itu telah menyumbang ke arah pengurangan kadar kemiskinan isi rumah Sabah daripada 19.7 peratus pada tahun 2009 kepada 8.1 peratus pada tahun 2012.

Katanya, inisiatif yang dilaksanakan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap usaha memakmur dan mensejahterakan rakyat secara menyeluruh. Ia bersesuaian dengan tema Majlis Konsultasi Bajet 2014 ‘Mengotakan Janji, Merancak Transformasi’.

Menyentuh mengenai sumbangan ekonomi Sabah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), beliau berkata Sabah telah menyumbang hampir enam peratus kepada keseluruhan KDNK negara, terutama melalui sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Di samping itu, pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) juga berjaya meyakinkan pelabur dan masyarakat peniaga terhadap prospek ekonomi Sabah.

Ahmad Husni berkata, dalam usaha untuk merealisasikan matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, kerajaan sentiasa memantau rapi perkembangan ekonomi global.

“Ia terbukti dengan prestasi ekonomi Malaysia yang mencatat momentum pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus bagi tempoh separuh tahun pertama 2013 walaupun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

“Keyakinan pelabur juga menunjukkan peningkatan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, di mana indeks Bursa Malaysia mencatat paras tertinggi sebanyak 1,810 mata pada 24 Julai lalu.

“Perkembangan yang menggalakkan ini berikutan pengurusan makroekonomi yang pragmatik dan asas ekonomi yang kukuh, persekitaran perniagaan yang kondusif serta aktiviti ekonomi yang pelbagai,” katanya.

Berkenaan pengurusan kewangan pula, Ahmad Husni berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk mengukuhkan kedudukan fiskal.

Untuk itu, semasa Majlis Konsultasi Bajet 2014 di Putrajaya baru-baru ini, Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Polisi Fiskal bagi mengurangkan defisit fiskal, mengukuhkan kedudukan kewangan dan memastikan kemapanan fiskal dalam jangka panjang.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan mensasarkan defisit sebanyak tiga peratus kepada KDNK pada tahun 2015 berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012 dan seterusnya empat peratus pada tahun ini.

Katanya, Bajet 2014 dijadual akan dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan di Parlimen pada 25 Oktober akan datang.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata majlis seumpama itu penting sebagai paltform untuk kerajaan khususnya Kementerian Kewangan berinteraksi dengan masyarakat peniaga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat mengenai langkah-langkah yang sesuai untuk diumumkan dalam Bajet 2014.

Beliau yakin melalui majlis seperti itu, idea baharu akan dikemukakan dan secara langsung, ia akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sabah dan Malaysia.

Turut hadir di majlis itu adalah Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Teo Chee Kang, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan