Isnin, 19 Ogos 2013

‘UMNO Dahulu dan Sekarang’

Walaupun agak pahit untuk ditelan, apa yang diluahkan oleh Tun Dr Mahathir dalam laman blognya bertajuk ‘UMNO Dahulu dan Sekarang’ adalah satu hakikat yang tidak mampu ditolak oleh ahli dan penyokong UMNO khususnya orang Melayu. Ini kerana UMNO yang wujud hari ini pada pandangan beliau sudah tidak lagi dipandang tinggi dan tidak lagi disokong seperti dahulu kerana ramai orang Melayu sekarang sudah meluat dengan UMNO kerana parti itu dilihat tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air.
 
Dalam tulisannya Tun Dr Mahathir juga menganggap UMNO hari ini sudah dianggap tidak lagi releven oleh sesetengah orang Melayu dan parti itu perlu ditolak kerana UMNO yang mereka lihat hari ini lebih mementingkan orang-orang tertentu didalamnya dan ahli-ahlinya sahaja. Atau lebih tepat UMNO hari ini hanya berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati dan untuk poket sendiri.
 
Apa yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir ini tentunya akan menguris hati sesetengah pihak dalam UMNO atau mampu membuatkan mereka yang pernah berjuang bersama UMNO menitiskan air mata. Tidak kurang yang akan menyangkal dakwaan itu berdasarkan pencapaian UMNO yang muncul sebagai parti paling berkuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Memang UMNO muncul sebagai parti yang memenangi paling banyak kerusi baik di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi apakah kemenangan itu benar-benar boleh dijadikan bukti bahawa UMNO sememangnya bertambah kuat pengaruhnya atau ada sebab-sebab lain yang membantu kemenangan tersebut.
 
Dalam soal ini Tun Dr Mahathir ada pandangan tersendiri. Menurut beliau, kemenangan UMNO dalam PRU-13 bukan bermakna orang Melayu masih menyokong UMNO tetapi disebabkan orang Melayu tidak ada pilihan. Orang Melayu takut kalau pakatan pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menang bersama DAP, maka hancurlah harapan orang Melayu. Orang Melayu masih menganggap walau seburuk mana pun UMNO, parti itu masih boleh diharapkan untuk memelihara dan menjaga kepentingan orang Melayu dan atas pertimbangan itu lah orang Melayu masih memilih UMNO kerana mereka sudah tidak punya pilihan.
 
Mengambil kira pandangan Tun Dr Mahathir ini, terlalu banyak banyak persoalan yang perlu dicari jawapan. Apakah UMNO benar-benar tidak lagi releven bagi orang Melayu dan jika parti itu sudah dianggap tidak lagi mewakili dan menjamin kepentingan orang Melayu, apakah sandaran orang Melayu selepas ini? Di mana kedudukan politik Melayu selepas ini ketika orang-orang Melayu berpecah kepada tiga puak dan apakah Pas yang juga berakar umbikan orang Melayu bakal mengambil alih kedudukan UMNO sebagai pembela orang Melayu?
 
Sebenarnya apa yang berlaku pada PRU-13 lalu sudah cukup untuk memberikan satu pengajaran kepada UMNO dan orang-orang Melayu kerana perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu hari ini hanya mendatangkan mudarat. Sebagai kaum yang membentuk majoriti, orang Melayu memerlukan sebuah parti yang bukan sahaja kuat tetapi juga mampu menyatukan semua bangsa Melayu.
 
Walau ada pihak yang menganggap tugas dan peranan itu mampu dipikul oleh Pas, ia perlu dilihat daripada sudut realiti dan hakikat kedudukan dan pengaruh Pas itu sendiri. Melihat kepada konsep pakatan parti itu bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kedudukan dan pengaruh Pas jelas masih dibayangi oleh kedua-dua sekutunya itu. Jadi bagaimana untuk Pas muncul sebagai sebuah parti mewakili aspirasi orang-orang Melayu jika Pas sendiri tidak mampu untuk meletakkan dirinya diyakini oleh majoriti orang-orang Melayu?  Ini lah yang menjadi masalah utama Pas dan mengapa orang-orang Melayu menjarakkan diri dengan parti itu kerana majoriti bangsa Melayu masih sangsi dengan hala tuju Pas melainkan jika parti itu kembali bergerak secara bersendirian dan ini mungkin akan mengubah pandangan orang Melayu terhadap Pas.
 
Selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang, sukar untuk Pas menyakinkan orang Melayu apatah lagi untuk menjadi juara dalam membela dan memperjuangkan nasib orang Melayu dan agama Islam. Melihat kepada situasi itu, UMNO tidak punya pilihan. Seperti yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO perlu mengambil serius soal ini dan pada pilihan raya akan datang, UMNO tidak boleh harap keadaan ini berterusan.  Jika Umno tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain.
Apa yang dibangkitklan oleh Tun Dr. Mahathir ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. Buktinya setiap kali perhimpunan parti itu, ramai yang bercakap tentang soal perjuangan dan perlunya UMNO untuk kembali menjadi sebuah parti yang menjadi sandaran dan diyakini oleh bangsa Melayu. Tetapi, saranan itu seperti kebiasaannya hanya bergema seketika di dalam dewan, keluar dewan perhimpunan, masing-masing lupa soal perjuangan, lupa soal bangsa sebaliknya leka untuk mengejar pangkat, jawatan dan memperkayakan diri.
 
Mungkin tidak adil untuk menuduh semua ahli dan pemimpin UMNO sedemikian rupa kerana masih ada sebahagian pemimpin dan ahli yang kental jiwa dan perjuangan bangsanya. Malah ramai juga orang Melayu yang berada di luar UMNO yang masih sayangkan UMNO dan mahu melihat parti itu terus menjadi payung kepada bangsa Melayu. Cuma mereka tidak diberi peluang untuk menjadi sebahagian ahli parti kerana pelbagai sekatan yang akhirnya menyebabkan UMNO gagal untuk berubah.
 
Seperti kata Tun Dr Mahathir, ini lah kesan yang dihadapi oleh UMNO hari ini. Keahliannya bukan sahaja tidak bertambah selaras dengan pertumbuhan jumlah bangsa Melayu tetapi mereka yang berkebolehan dan berbakat tidak lagi berpeluang untuk menyertai UMNO. Mereka yang boleh menyertai UMNO hanyalah mereka yang kurang berkebolehan berbanding dengan yang sedia ada. Disebabkan kemasukan atau penyertaan ke dalam parti mestilah melalui cawangan, biasanya yang masuk menjadi ahli ialah mereka yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan.
 
Apabila ini berlaku, ia akan menyebabkan UMNO semakin kehilangan pemimpin-pemimpin berbakat yang layak untuk menjadi calon dalam pilihan raya sekali gus akan melahirkan pemimpin dalam kerajaan yang juga di kalangan mereka yang kurang berbakat dan berkebolehan. Akibatnya ramai di kalangan mereka yang tidak diterima ini akan mengalih perhatian kepada kepada pihak lain yang bijak mengambil ruang dan peluang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan