Selasa, 20 Ogos 2013

PKR YANG BARU DILANTIK DIGESA TURUN PADANG KETAHUI MASALAH RAKYAT: MUSA


21st August, 2013
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta semua Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) yang baru dilantik di negeri ini supaya sentiasa “turun padang” untuk mengetahui masalah dan keperluan rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, ini penting kerana PKR adalah mata dan telinga kerajaan dan wakil rakyat.
“Jangan malas melawat kampung atau mendekati rakyat, kerana inilah antara punca rakyat peringkat akar umbi akan marah kalau kita tidak melawat kawasan masing- masing.
“Oleh itu adalah penting bagi semua PKR dan Wakil Rakyat sentiasa turun padang dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik seperti yang diharapkan oleh rakyat.
“Sekiranya kita tidak melawat di pelosok kampung, maka apa juga masalah yang timbul di kawasan itu, kita tidak akan tahu sehingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada seramai 48 orang PKR yang mengangkat sumpah pada Majlis Angkat Sumpah di Bilik Persidangan, Wisma Innoprise, di sini, kelmarin.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman, menteri- menteri dan pembantu-pembantu menteri.
Musa berkata, pelantikan PKR bukan satu keistimewaan tapi satu tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh semua PKR yang baru dilantik.
Beliau juga berharap agar PKR dan wakil rakyat dapat mengeratkan hubungan baik bagi membolehkan mereka bekerjasama menyelesaikan masalah rakyat.
“Harus ada hubungan baik antara PKR dan wakil rakyat supaya apa sahaja masalah yang timbul di kawasan mereka dapat dibincangkan dan diselesaikan bersama,” katanya.
Katanya lagi, tanggungjawab dan peranan PKR juga penting untuk memastikan semua program, projek pembangunan dan dasar-dasar kerajaan dapat disalurkan dan memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Musa berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah diberikan mandat oleh rakyat kerana mereka percaya kerajaan BN dapat membawa perubahan dan membela nasib mereka.
Beliau juga berharap agar semua pemimpin termasuk PKR sentiasa berwaspada terhadap anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang cuba memfitnah kerajaan BN dan wakil rakyat yang mewakili kawasan masing-masing.
“Adalah menjadi tanggungjawab PKR untuk menepis segala fitnah agar rakyat tidak keliru dengan fakta-fakta yang diputarbelitkan.
“Kita sedar senario politik sudah berubah sejajar dengan perubahan dunia. Dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pelbagai saluran termasuk laman sosial digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan rakyat.
“Oleh itu saya meminta kepada semua PKR supaya tidak ketinggalan meningkatkan pengetahuan dalam ICT. Saya percaya semua PKR tahu menggunakannya untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan