Isnin, 19 Ogos 2013

ADUN Kadamaian sertai PBRS?

Ada ahli PBRS mendakwa Uku sudah bertemu dengan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup
KOTA BELUD : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Jeremy Uku Malajad, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikhabarkan akan menyertai Barisan Nasional (BN) melalui Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Khabar angin tersebut mula bertiup di pekan ini hari ini dan bertambah kencang sebab ada ahli PBRS di sini mendakwa Uku sudah bertemu dengan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Setakat ini PBRS hanya mempunyai seorang ADUN iaitu Datuk Ellron Angin dari Sook dan seorang anggota parlimen iaitu Kurup sendiri dari Pensiangan.
Menurut desas-desus di Kadamaian sekarang, Kurup dikatakan dijangka mengumumkan penyertaan Uku ke parti itu minggu depan.
Ketika dihubungi FMT petang ini mengenai desas-desus itu, Uku mengesahkan bahawa desas-desus itu hanyalah khabar angin buat masa ini.
“Belum ada. Itu khabar angin,” jawab Uku dalam teksnya bila ditanya ada khabar menyatakan beliau akan menyertai PBRS tidak lama lagi.
Sebelum ini, Kadamaian diwakili ADUN dari Parti Bersatu Sabah (PBS) iaitu Datuk Herbert Timbun Lagadan. Uku menewaskan Herbert seorang naib presiden PBS, dan dua calon lain dari Star dan SAPP pada pilihanraya umum Mei lalu.
Sementara itu seorang penyokong PKR Kadamaian memberitahu FMT semuanya akan terjawab pada minggu depan, menguatkan lagi desas-desus itu berkemungkinan berasas tetapi masih disimpan sebagai rahsia oleh semua pihak.
PBRS pada masa yang sama difahamkan mengintai peluang mana-mana wakil rakyat pembangkang yang mungkin ingin menyertai kerajaan demi untuk pembangunan rakyat di kawasan masing-masing serta ingin memperkukuhkan kedudukan PBRS dalam BN negeri.

Oleh: Nuraniz Ghaus

Tiada ulasan:

Catat Ulasan